Sayangi bumi kita

Hijaukan bumi kita.. dan sayangilah bumi kita.


Hari ni kereta JLU Babah tak ubah seperti lori pengangkut sampah. Isk... lupa pulak nak ambil gambar.


Semalam, Babah dan Abang Adi bertungkus lumus menyisih barang-barang yang tidak diperlukan lagi di kuaters apartment kita di Putrajaya. Kertas terpakai, buku-buku kerja yang sudah digunakan, botol-botol plastik minuman dan krim mandian, kotak-kotak minuman, printer rosak dan macam-macam lagi. Penuh satu Estima.


Bukan duit jadi ukuran bila barang-barang kitar semula ni di hantar ke Pusat Kitar Semula, tetapi kesedaran terhadap menjaga alam sekitar itulah yang paling penting. Kalau kertas-kertas tu dibuang di tempat sampah biasa, ia tidak akan dikitar semula. Ia akan menjadi longgokan sampah di tempat sisa pepejal di sana-sini.


Tetapi, kalau dilihat nilai-nilai tukaran barang kitar semula tersebut, adalah lebih baik menyimpan kertas putih terpakai berbanding besi buruk yang nilainya jauh berbeza.



Babah 

2017 tahun penuh cabaran

Bismillahi..
Allahu akbar..


Kesempatan pagi ini sambil menunggu giliran rawatan gigi di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, Babah nak menulis sesuatu tentang cabaran tahun baharu 2017 ini.


Selain cabaran untuk sekolahkan Amin yang Babah tulis dalam beberapa entri sebelum ini, banyak lagi cabaran besar yang Babah, Ummi dan anak-anak Babah semua perlu tempuhi pada tahun ini.


Kalau di dada-dada akhbar, ahli politik, ahli perniagaan dan negarawan akan bercakap tentang cabaran ekonomi negara dan dunia yang semakin meleset. Itu memang tidak dapaf dinafikan. Kejatuhan mata wang ringgit yang paling teruk setakat ini (USD1 menghampiri RM5) sudah tentu memberi kesan yang menyeluruh kepada negara dan kita juga. Kenaikan harga barang keperluan harian dan petrol sudah cukup menjadi sebab kemelut rakyat Malaysia hari ini.


Namun, cabaran dalam negara Babah sendiri bersama Ummi dan anak-anak Babah adalah dengan ketiadaan Bibik Ana mulai awal Januari 2017 lagi. Bertahun lamanya Bibik Ana menabur bakti membantu Ummi menguruskan banyak perkara di rumah. Sejak tahun 2007 lagi keluarga kita mempunyai pembantu rumah. Sejak kelahiran Abang Faei lagi. Kini Abang Faei dah hampir berumur 10 tahun. Lebih kurang selama itu jugalah Babah dan Ummi memerlukan pembantu di rumah.


Tapi kini tidak lagi. Sudah sampai masanya negara Babah dan Ummi ini perlu ditadbir urus oleh Babah dan Ummi sendiri . Sama seperti ibu bapa yang lain. Anak-anak Babah dan Ummi dah besar! Kalau kalian tidak belajar hari ini, bila lagi?


Rutin Babah dan Ummi kali ini berubah 180 darjah. Seawal jam 5:30 pagi lagi Babah dan Ummi dah macam lipas kudung. Menyiapkan makan pakai kita sekeluarga, mengemas rumah dan segala bagai yang perlu diuruskan untuk kelancaran tugas kita sepanjang hari. Alhamdulillah, anak-anak Babah dan Ummi rajin membantu bila diperlukan. Teruskan ya anak-anak.


Kalau bercakap soal kerja, tahun 2017 ni tugas Babah di pejabat semakin mencabar. Tugas Babah makin bertambah. Babah ditugaskan menguruskan satu subjek baharu di samping subjek lama yang masih Babah uruskan. Ummi juga begitu. Tugas sebagai setiausaha HEM cukup membuatkan Ummi sering tak cukup tangan nak buat kerja-kerja sekolah yang lain.


Tahun 2017 ini juga, Abang Adi akan menduduki PT3 dan Irfan pula akan menduduki UPSR. Ummi dan Babah perlu memastikan Abang Adi dan Irfan berjaya dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan mereka. Begitu juga dengan Abang Faei dan Lisa.


Babah dan Ummi akan sentiasa mendoakan kesejahteraan kita sekeluarga. Semoga cabaran-cabaran tajun ini dapat kita semua tempuhi dengan gagah dan jaya. Moga Allah memberi kita rezeki yang melimpah ruah untuk dikongsikan dengan yang lain, keberkatan dan keredhaanNya di dunia dan akhirat. Amin.


Babah

Selamat Pengantin Baru; Am & Deena


#Back dated story

Dua orang anak buah Babah; Abang Am & Kak Deena (anak Mama Yanee dan Ayah Ayiee) dah selamat diijabkabulkan pada bulan Disember 2016 yang lalu.

Tahniah kepada pasangan pengantin Abang Am dan Kak Adawiyah serta Kak Deena dan Abang Ejee. Semoga kalian bahagia hingga ke jannah.

Gambar Babah dan Ummi bersama pasangan pengantin Abang Am dan Kak Adawiyah je yg ada dalam telefon bimbit Babah ni. Gambar bersama pasangan pengantin Kak Deena dan Abang Ejee dalam ipad Kakak Iman yang telah dibawa balik ke asramanya. Kena tunggu Kakak Iman baliklah baru boleh dimuat naik semula.

Majlis persandingan Abang Am dan Kak Deena telah diadakan di Hotel Flamingo Ampang. Memang cukup meriah dan mewah! Tahniah pada Mama Yanee dan Papa Ahnel. Majlis berjalan lancar dengan tetamu yang sangat ramai. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Ramai juga tetamu kenalan Mama Yanee dari kalangan selebriti yang hadir. Antara selebriti penting yang hadir ialah selebriti pengacara TV3 Ahmad Fetri Yahya. Beliau menjadi pengacara majlis pada malam tersebut. Memang cukup menarik tutur katanya sebagai pengacara. Tersusun dan kemas walaupun tanpa sebarang teks. Semuanya dilakukan secara spontan.

Babah sempat berswafoto bersama Ahmad Fetri Yahya ketika sesi raptai di sebelah petang sebelum majlis bermula.


Antara selebriti yang hadir dan sempat bergambar bersama.

Dalam majlis ini, Babah telah diminta oleh Mama Yanee untuk berselawat ketika ketibaan pengantin-pengantin. Pada awalnya, bukan Babah seorang sahaja yang akan berselawat, tetapi Pak Long, Pak Lang dan Ayong Syakirin yang akan berselawat bersama-sama. Namun akhirnya, Babah seorang diri sahaja yang dapat berselawat di hadapan pentas menggunakan pembesar suara. Pada awalnya terketar-ketar juga dalam rangkap oertama. Mujurlah ini bukan kali pertama Babah berselawat dalam majlis sebegini. Akhirnya Babah boleh meneruskan selawat dengan suara yang lebih yakin dan alunan lagu selawat yang lebih baik. Ramai juga yang memuji. Alhamdulillah.

Babah 

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari ketiga, Amin dah seronok pergi sekolah!


Amin dah seronok pergi ke sekolah seawal hari ketiga! Alhamdulillah.. satu peningkatan yang sangat memberangsangkan. Semoga ianya terus kekal begini. Setakat hari ini; entri ini ditulis - hari keenam Amin bersekolah, Amin gembira bangun pagi, gembira gosok gigi dan mandi dan gembira pergi ke sekolah. Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah. Setiap kali Babah dan Ummi teringatkan Amin di sekolah, Babah dan Ummi pasti baca dan sedekahkan al-Fatihah untuk Amin. Semoga Allah bukakan pintu hati Amin, gembirakan Amin dan mudahkan Amin mendapat pelajaran yang diajarkan guru. Seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Tahniah guru-guru Tadika Inspirasi Minda Bestari yang berjaya menjadikan Amin dan kawan-kawan seronok ke sekolah. Setiap kali Amin balik, ada sahaja cerita Amin tentang seronoknya dia melakukan pelbagai aktiviti di sekolah. Mungkin ini pengalaman pertamanya bersekolah, menjadikan dia seronok dengan pelbagai aktiviti di sekolah. 4 tahun lebih sebelum ini, dunia Amin hanya di rumah bersama TV, tablet dan bibik kesayangannya; Bibik Ana. Kini Amin sudah melihat dunia luar! Kehidupan bersama insan-insan lain selain ahli keluarganya sendiri. Allah ma3aka ya habibie waladie saghir...

Babah

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari kedua.




Selepas trauma hari pertama persekolahannya yang ditinggalkan Babah (sedih benar dia kena tinggal dengan Babah), sudah tentu hari kedua adalah hari cabaran bagi Babah untuk menyiapkan Amin ke sekolah.

Sejak dari bangun tidur, memandikan dan memakaikan pakaian sekolah, Amin menangis tak mahu pergi ke sekolah. Hmmm.. Babah mengaku, perangai tak nak sekolah ni memang perangai Babah.. hahaha... Tak hairanlah kalau anak Babah pun mengikut. Puas jugalah Babah memujuk dengan mengeluarkan segala hikmat yang ada untuk menyiapkan juga Amin dalam pakaian sekolahnya. Bila ditanya kenapa Amin tak nak ke sekolah? Jawapannya adalah jawapan semalam, "Nanti Amin tinggal Babah" (Nanti Babah tinggal Amin). Alahai sayunya.

Setelah berjaya menggunakan segala hikmat yang Babah ada, akhirnya Amin berjaya juga dibawa masuk ke kereta. Dari keluar rumah, masuk lif sampai dalam kereta, mukanya adalah seperti muka dalam gambar di atas. Buat muka sayu dan kesian.

Untuk menceriakan Amin, dalam lif Babah ajak Amin main pijak-pijak kasut. Walaupun itu bukan permainan yang baik untuk Amin (sebab nanti dia pijak kasut kawan dia pula), tapi itu idea yang terlintas dalam fikiran Babah ketika itu. Amin seronok cuba untuk memijak kasut Babah. Mujur kami cuma berdua sahaja dalam lif tersebut. Jadi, berjayalah Babah membuatkan Amin ketawa sedikit untuk menghilangkan rasa sedih dan takutnya.

Bila keluar lif, Amin muncung kembali. Katanya tak mahu ke sekolah. Hikmat seterusnya... Babah dukung! Sampailah ke kereta. Amin duduk di kerusi hadapan.

Dalam perjalanan Amin tetap mengulang kata-katanya, "Amin tak nak pergi sekolah". Hikmat Babah seterusnya, "Amin, tengok tu!" sambil Babah menunjukkan sebuah kapal terbang yang sedang terbang di udara. "Amin, itu Ultraman kan!? Dia nak terbang pergi mana tu? Mesti dia nak pergi lawan rasaksa". Babah cuba mengajak Amin berimaginasi untuk melupakan perasaannya. "Dei Babah! Itu kapal terbanglah. Bukan Ultraman" Amin membalas dalam nada marah. Amin memang biasa menggunakan perkataan "dei" merujuk kata-kata Gopal dalan siri animasi Boboiboy di TV3.

Babah ketawa sendiri mendengar jawapan spontan Amin. Dalam masa yang sama, Babah sudah memberi lampu isyarat kenderaan untuk membelok ke kiri memasuki kawasan Desa Pinggiran Putra di mana sekolah Amin dalam kawasan tersebut. Tiba-tiba "No.. no.. no! No Babah!" Amin menjerit. Amin tahu itu simpang jalan ke sekolahnya.

Sesampai di sekolah, ribut taufan telah melanda. Walau didukung Amin tetap menangis menjerit meronta tak mahu ke sekolah. Babah terus serahkan Amin kepada gurunya. Gurunya terus memeluk Amin. Babah pula terus melambai dan meninggalkan kawasan sekolah dengan mencekalkan hati melihat situasi itu. Huh... kesian Amin.

Babah

Hari kedua Amin bersekolah. Babah dan Ummi datang jemput Amin pukul 5:30 petang. Masuk je kereta terus dapat upah.

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari pertama.

Tahun 2017 ni Amin dah mula bersekolah untuk umur 5 tahun.

Ummi dah Babah pada awalnya agak ragu-ragu nak sekolahkan Amin. Dengan keadaan Amin yang lambat bercakap (Amin mula pandai bercakap diawal usia 3 tahun) dan sikapnya yang manja, memang membuatkan Ummi dan Babah ragu-ragu.

Pertuturan Amin masih belum lancar sepenuhnya. Ayatnya masih lintang pukang walaupun tahun 2017 ni Amin akan masuk usia 5 tahun. Amin masih menerima rawatan terapi pertuturan di Hospital Putrajaya. Kata pakar, kosa kata kerjanya masih belum cukup seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Rasa ragu-ragu Ummi dan Babah alhamdulillah dapat diatasi dengan keyakinan yang tinggi. Disamping terus berdoa untuknya, Ummi dan Babah cekalkan hati untuk menghantar Amin ke sekolah juga pada tahun ni.

Hari Pertama
Amin gembira bangun pagi, mandi dan masuk ke kereta untuk ke sekolah. Sampai di sekolah, Amin juga steady berjumpa guru dan rakan-rakan baharunya. Amin terus masuk ke barisan perhimpunan. Babah hanya memerhati. Dalam diam-diam, Babah masuk ke kereta tanpa Amin sedari. Kalau diikutkan, perjalanan balik tidak perlu melalui kawasan hadapan sekolah Amin lagi. Tapi, dek kerana ingin melihat Amin yang masih berhimpun, Babah membelok kereta ke kanan untuk melalui kawasan hadapan sekolah. Dalam fikiran Babah, Amin masih membelakangkan jalan yang Babah akan lalui. Babah pun memperlahankan kenderaan sambil membuka tingkap kereta untuk meninjau keadaan perhimpunan tersebut. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Babah, tunggu! Amin nak ikut!". Terus babah menekan pedal minyak dan memecut laju.


Dalam hati Babah rasa bersalah meninggalkan Amin begitu tanpa memberitahu Amin yang Babah akan menjemput Amin sebelah petang nanti. Ummi juga berpandangan begitu. Tapi perkara dah berlaku. Tak boleh nak diundur kembali.

Dalam hati Ummi dan Babah, macam manalah keadaan Amin di sekolah. Tiba-tiba Ummi forward satu gambar yang dikirimkan oleh gurunya. Amin ceria di sekolah sambil memegang belon. Sekejap sahaja Amin sedih ditinggalkan. Alhamdulillah. Amin pandai bawa diri.

Tatkala Ummi datang menjemput Amin pada sebelah petang, ayat pertama Amin kepada Ummi, "Kenapa Amin tinggal Babah!?" yang bermaksud "Kenapa Babah tinggal Amin?". Dan bila Amin sampai sahaja di rumah, ayat itu juga yang diucapkan kepada Babah berkali-kali.

Huh... Macam manalah Babah nak menghadapi hari kedua Amin ke sekolah esoknya nanti..

Babah

Mior Muhammad Irhamni

Ini anak Ummi dan Babah yang bongsu. Panggilannya Amin. Babah yang pilih nama panggilan ini sempena nama adik Ummi, arwah Mohd Amin yang meninggal ketika masih dalam hari selepas dilahirkan.

Kisah Amin anak Ummi dan Babah ni masih tak ada lagi dalam blog ni setakat hari ini. Kesian Amin kan!? Hari ini Amin dah berusia lebih kurang 4 tahun setengah. Amin dah masuk sekolah!

Jadi, ini entri pendahuluan dan pengenalan untuk Amin. Selepas daripada ini nak cerita banyak tentang Amin!

Babah.

Selamat Kembali & Selamat Tahun Baharu 2017

Bismillah ar-Rahman ar-Raheem.

Hmm... Lama... Lama sangat! Terlalu lama blog ini terbiar sepi...

Terlalu banyak cerita-ceriti yg dah terlepas untuk dikongsikan di sini. Huh...

Azam tahun 2017 ni, nak aktifkan semula laman Kasih Kami ni... Rindu nak menulis tentang kita. Untuk tatapan anak cucu babah suatu masa nanti. Semoga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayang Allah selalu...

Babah.

Anniversary ke 11..Kasehkami..



22.2.2012..genap 11 tahun umi dan babah menyambut ulangtahun perkahwinan kami yang ke-11..Alhamdulillah..segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan umi dan babah kebahagiaan sehingga ke hari ini..dan semoga kebahagiaan ini berkekalan hingga ke syurgaMu..Amin.

Di tambah dengan kehadiran permata-permata yang umi dan babah kasihi..Abang Adi, Kakak Iman dan Faei(abang Chik,panggilan yang diminta olehnya sendiri). dan yang paling bermakna, baby dalam kandungan umi ni..semoga selamat dan sihat si dalam perut umi ni nak..kami akan sabar menantimu...
Dan istimewa buat babah, suami, sahabat dan kekasih yang umi kasihi Lillah..terima kasih tak terhingga atas kasih sayang yang diberi selama ini..drama 4.12pagi akan umi ingat sampai bila- bila...Terima kasih Sayangku...:)


Happy Birthday to Babah..


Bersempena hari ulang tahun Babah yang ke 34 hari ni...
Babah buatkan satu video klip lagu "Sepanjang Hidup" nyanyian Maher Zain
istimewa Babah tujukan untuk Ummi kalian..

Buat pertama kali dalam hidup Babah,
Babah menyambut tarikh ulang tahun kelahiran babah sendirian..
tanpa Ummi.. tanpa Abang Adi.. tanpa Kakak Iman dan tanpa Abang Faei!
tanpa juga ahli keluarga Babah yang lain
tanpa juga kawan-kawan Babah
Babah sendirian hari ini di sini

Walauapapun, Babah tidak rasa sedih pun..
Apalah yang ada pada sebuah nombor berbanding ingatan kalian terhadap Babah..

Yang penting.. kalian tetap di hati dan ingatan Babah..

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............