Sudah nak jadi...

Hmm.. hari ni babah memang sakit kepala menguruskan ePelaporan j-QAF untuk daerah Johor Bahru ni. Sepatutnya tarikh akhir guru-guru j-QAF Johor Bahru hantar pada babah hari semalam. Tapi setakat pukul 10 pagi tadi, daripada 69 buah sekolah j-QAF di Johor Bahru tahun ni, hanya ada 10 buah sekolah sahaja yang dah hantar pada babah.

Maka secara tak semena-mena babah kena jadi operator talifon. Start dari pukul 10.30 pagi, babah mula menelefon satu persatu ke sekolah-sekolah yang masih belum menghantar ePelaporan j-QAF untuk akhir tahun 2008 ni.

Sampai habis bateri telefon babah... tapi baru 20 buah sekolah je! Babah turun ke pejabat sekolah pulak. Guna telefon dalam bilik Guru Besar untuk call lagi baki-baki sekolah yang tak hantar tu.

Sampai waktu zohor, babah solat zohor dan pukul 2.. babah dah terpaksa bergegas ke PPD untuk berbincang dengan penyelia agama PPDJB Ustazah Mariah berkenaan 3 aktiviti peringkat daerah Johor Bahru yang akan di jalankan dalam 2 minggu ni.

Di PPD juga, babah meneruskan kerja babah menelefon saki-baki sekolah yang tak hantar tu sampai habis semua sekolah babah telefon. Fuh! Memang panas tul telinga ni.. Penat! Tapi kelakar jugak! :)

Tengah babah nak bersiap-siap balik masa jam hampir menunjukkan pukul 4.30, tetiba telefon babah yang dah nyawa-nyawa ikan baterinya tu berdering. Terpapar kalimah "Habibtie" di telefon babah.. Isk.. kenapa lak umi ni... Bila babah pickup the phone.. Terus dengar suara umi menangis teresak-esak...

Hah! Mesti kena lagi ni!... Memang betul....

Kesian umi... Umi eksiden lagi untuk kali yang kedua sejak umi dapat lesen awal tahun hari tu.
Tapi kali ni nampaknya macam teruk je. Sebab yang pertama hari tu tak de lah umi nangis-nangis.. Kali pertama dulu umi langgar pagar sekolah dek sebab nak mengelak kereta Toyota Wish kawan umi.. Kali ni, di tempat yang sama, umi melanggar bas yang sedang bergerak.. Isk isk isk... Macammana tu..?

Dalam hati babah dah mula riiiiisau sangat... Babah buat video call kat umi.. nak tengok macammana keadaan umi dan kereta umi. Tapi babah tak faham gambar tu.. Sebab mungkin umi tak boleh pegang handphone umi dengan betul sebab gabra dan macam-macamlah perasaannya tu.. (hihihi.. babah faham...) hmmm abis gambar dalam video call tu asyik bergoyang-goyang je.. Babah tak faham tengok..

Babah terus pecut ke sekolah umi dari PPD. Hampir setengah jam la jugak! Sampai aje, ramai pakcik-pakcik drebar bas sekolah yang berkumpul kat kereta umi... Dua tiga orang cikgu sekolah umi pun ada.

Alah... tak de lah teruk sangat.. Bumper depan je yang jatuh dan lampu depan pecah.. Sikit je tu.. Umi pun tak cedera apa-apa. Cuma mungkin umi terkejut je dengan kejadian tu.

Kalau ikutkan.. memang salah umi... Umi keluar simpang pagar sekolah tu umi tak tengok kanan. Umi terus meluncur dan hanya menoleh ke kiri je. Sedangkan di sebelah kanan umi sebuah bas sekolah yang ala-ala bas Geng Bas Sekolah sedang meluncur laju juga. Teruslah umi melanggar tepi badan bas yang sedang bergerak depan umi tu.

Kalau ikutkan yang sebenar-benar juga.. Bas tu pun salah! Sebab jalan keluar sekolah umi tu one way dari arah kiri umi. Sebab itu umi tak menoleh ke kanan.

Tapi kata babah pula.. Walaupun itu sekolah umi.. tapi babah tahu yang one way tu memang tak guna. Bas sekolah dan kereta-kereta banyak yang masuk juga menetang arus one way tu. So, kalau umi tak drive ke sekolah, dan babah yang hantar dan jemput umi.. memang babah hati-hati kat corner tu bimbang ada kereta dari depan.

Apapun.. Dah nak jadi.. Nak buat macammana... terimalah sebagai asam garam seseorang yang memegang lesen memandu kereta yang bukan kereta lembu... :) Kenangan... umi kan!

Buat Mak Cek yang diingati..

Jeng jeng jeng.. Mak Cek!
Memperkenalkan Mak Cek kasehKAMI!
Mak Cek ni sebenarnya adik bongsu perempuan babah. Baru je bertunang bulan 8 yang lalu (9 Ogos 2008).

Saje babah uploadkan gambar Mak Cek ni.. Babah dengar-dengar Mak Cek dengan tunang Mak Cek ni asyik rajuk merajuk je.. Isk3.. Janganlah macam tu.. Manja tul la Mak Cek ni.. Asyik nak kena pujuk je. Bakal Pak Cek pun lebih kurang gak le tuh.. Nak manja-manja.. Wei... Sabo dulu.. Tunggu tahun depan ye! Bila dah sah nanti.. Nak merajuk dan manja-manja macam mana pun ikut suka hati Mak Cek la ye!...

He he he.. Jangan marah Mak Cek.. Nanti babah tak nak sponsor banner kenduri Mak Cek nanti.. :) Salam sayang dan rindu dari kami semua di Jay Bee untuk Mak Cek.. Kirim salam la kat bakal Pak Cek tu ye! Jgn merajuk slalu..

Ni.. babah selitkan senikata lagu yang babah dan umi suka dengar lagunya.. Khas untuk sepasang sejoli.. suami dan isteri.. Tapi Mak Cek belum lagi.. Cuma boleh buat angan-angan je lah dulu ye!

ERTI PERTEMUAN
Ning Baizura & Jay Jay

Menerjah batas gelora pun berserpihan
Menghempaskan buih di lautan
Acapkali tumpas masih jua menyusuri
Arus pergolakan.. setianya

Begitulah adat resminya hidup
Selagi jasad dan hayat berpautan tangan harus bersahut

Benar kata "Jatuh Bangun Seorang Lelaki
Bergantung Siapa Wanita Di Sisi"
Mujur, tuah, nasib diri kita ketemui
Jikalaulah tidak mungkin tak ku sedari

Bukankah kita ini dicipta Tuhan
Sepasang takdir berlainan
Lemah sana... sini kekuatan

Masing-masing punyai bibit kelebihan
Supaya saling memerlukan
Bertemu demi menyulam
Cahaya nurani dan akal fikiran
Naluri serta perasaan
Menyingkap erti tangisan

Dirimu, diriku bagaikan pelita
Yang memercikkan sinar
Menyuluhi malam

Gaya Seorang Puteri Babah

Puteri babah yang sorang ni memang suka melawa dan pandai bergaya..

Menara Taming Sari


Selepas babah dan kawan-kawan babah menziarahi Ibnu Syafi yang mengidap sakit jantung di Hospital Melaka hari tu, babah dan kawan-kawan sempat melewati seketika untuk menikmati kepesatan pembangunan Bandaraya Bersejarah Melaka.

Paling akhir babah datang ke sini adalah sewaktu kita bersama-sama bercuti di Melaka hampir 2 tahun yang lalu. Kita satu family duduk 3 hari 2 malam di sini bersama atuk dan opah umi. Opah Apik dr Kg Bagan Datoh pun join kita masa tu. Memang best kenangan waktu tu.

Tapi bila babah datang semula ke Melaka, telah banyak perubahan dan penambahan dalam kota Melaka ni. Antaranya ialah Menara Taming Sari.

Babah dan kawan-kawan sempat naik menara ni sebelum kami pulang ke resort untuk persediaan kursus slot malam pula. Harga naik menara ni RM20. Tapi kalau kita tunjukkan kad pengenalan, harganya ialah RM10 sahaja. Pengembaraan dari bawah naik ke puncak, berputar di atas dan turun semula ialah lebih kurang 7 minit. Babah dan kawan-kawan dapat melihat dengan jelas seluruh kepesatan bandaraya bersejarah ni. Tengoklah sendiri rakaman yang babah buat melalui camera handphone babah ni! Best!

video

video

video

Babah cakap kat umi.. nanti akhir tahun kita nak balik Sg. Buloh boleh lah kita singgah Melaka kalau nak naik Menara Taming Sari. Lepas tu boleh kita pergi Zoo Melaka pulak! Tentu seronok bawa Faei tengok binatang.. kan!

pst : Lepas babah & kawan-kawan balik ke resort, tiba-tiba lepas makan malam tu, satu Klebang tak ada api. So, kami yang kat resort pun terpaksalah batalkan slot pembentangan bengkel malam tu. Ramai peserta yang keluar ke bandar. Tapi babah dengan JLU2 yang lain bersama pegawai JPN, terjun kolam renang dalam gelap! Tengah syok2 mandi manda dan terjun menerjun, tiba2 kolam dah jadi terang! Dah ada api.. Kami teruskan mandi sampai kecut dan merah biji mata!.. Best betul!! tak tahu lah ada peserta perempuan yg mengintai kami ke tak!.. :) hik3...

Doakan Kesejahteraanya..

Babah masih berkursus. Kali ini di siri yang ke4.. siri yang terakhir untuk babah bulan ni. Di Klebang Beach Resort Melaka. Namun... Kursus kali ni, betul2 membuatkan hati babah shahdu dan pilu.

Disebalik senyum tawa dan gurau senda salah seorang peserta kursus kali ini (Iskandar bin Hamzah) terselit seribu keperitan dan kepayahan hidupnya yang mampu disembunyikan olehnya. Beliau bukanlah seseorang yang asing bagi babah. Beberapa siri kursus yg babah beri, dia adalah antara pesertanya. Seorang bekas pelajar dari Universiti Mu'tah Jordan yang hanya babah kenal di sini dan bukannya di Jordan sewaktu babah juga belajar di sana.

Sungguh syahdu...
Dua orang dari tiga orang anaknya (Yang sulung Zaid Al-Harithah, 9 tahun dan anaknya yang bongsu Ibu Syafi, 3 tahun) mengalami masalah jantung sejak lahir lagi. Kedua-duanya sudah berada di tahap kritikal yang memerlukan pembedahan entah kali yang keberapa agaknya, babah kurang pasti.


Semalam (23 Oktober 2008), babah dan beberapa orang JLU sempat menziarahi mereka setelah tamat slot petang pada pukul 4.30. Babah betul2 tidak menyangka kehadiran babah ke wad kanak2 Hospital Melaka tu, membuatkan babah hampir2 menjatuhkan air mata di pipi babah. Sudah bergenang dan berkaca-kaca mata ni. Namun babah sembunyikan dari pandangan kawan-kawan babah yang lain. Sungguh syahdu melihat keadaan Ibnu Syafi yang duduk di katil sambil mewarna buku warna Power Rangger dalam keadaannya yang sungguh lemah. Nafasnya tercungap-cungap kerana kurangnya tenaga. Pandanganya layu. Suaranya juga tidak begitu kedengaran.



Ketika babah sampai, Ibnu Syafi baru sahaja berbuka puasa setelah doktor membatalkan jadual pembedahannya kerana beberapa masalah yang babah kurang pasti. Memang sungguh kasihan. Sungguhpun begitu, Ibnu Syafi mampu menyambut salam kami yang hadir dan mengucupnya. Syahdu! Melihat badannya yang kecil walaupun sudah berusia 3 tahun, berat badannya yang tidak pun sampai 10 kilo, matanya yang layu dan membengkak, kuku-kukunya yang lebam dan hitam. Hati siapa yang tidak tersentuh! Terbayangkan anak-anak babah yang sihat dan ceria berlari-lari di rumah sambil menjerit-jerit keceriaan. Babah bertambah pilu! Babah teringat saat babah merengus rimas bila anak-anak babah baru ditimpa batuk, selsema mahupun demam. Itupun babah sudah hampir hilang kewarasan. Risau dan moyok! Susah hati dan sebagainya. Sedangkan Iskandar dan isterinya begitu tabah mengharungi segala kepayahan dan keperitan tu. Diwajah mereka tetap tersenyum. Tetap dengan lawak2nya yang membuatkan orang lain juga tersenyum. Masih mampu untuk hadir ke kursus ni. Babah kagum dengan ketabahan mereka. Mampu menyembunyikan kesusahannya agar tidak menyusahkan orang lain. Babah insaf...



Pagi ini di kursus, satu kutipan derma kilat telah dilancarkan kepada peserta-peserta kursus. Babah sungguh terharu dengan keprihatinan peserta-peserta yang sudi menghulurkan derma. Ada yang sanggup memasukkan nota RM100 sekeping! Tak kurang banyaknya juga nota-nota RM50. Allahu Akbar! Jumlah keseluruhan kutipannya adalah lebih dari seribu ringgit. Semoga Allah membalas segala kebaikkan penderma-penderma dengan kebaikkan yang berganda-ganda juga. Dan marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan adik Zaid dan adik Ibnu Syafi. Moga Allah memudahkan segala urusan mereka dan segera menyembuhkan mereka. Moga Allah juga mengurniakan kegembiraan di hati-hati ahli keluarga mereka. Amin...

Kesunyian...


Umi.. abang, kakak & Faei.. Babah sunyi sangat sekarang ni kat hotel ni... Pukul 2 tadi, semua peserta kursus dah balik. JLU2 pun dah balik.. Yang tinggal hanya babah je sorang2 kat Hotel Seri Malaysia Mersing ni.

Memang babah yang buat keputusan tak nak balik. Sebab babah byk sgt kerja yang perlu disiapkan. Lagipun khamis ni babah masih ada kursus di hotel ni sampai Sabtu. Jadi lebih baik babah stay sajalah di sini. JPN pun dah sanggup utk bayar hotel babah ni sampai khamis ni sebelum menyambung siri kursus yang seterusnya. (Kalau duit babah sendiri.. mungkin babah balik juga!)

Pukul 5 tadi babah jalan-jalan sekitar Mersing. Memang ini first time babah ronda-ronda pekan Mersing yang tenang ni. Tak sibuk pun macam JB. Tak nampak pun orang bawa kereta laju2. Pekannya kecil... tetapi tenang! Dengan suasana yang nyaman dengan udara yang segar di tepi pantai. Tentu seronok kalau kita semua dapat bercuti di sini penghujung tahun ni.


Babah dah ronda-ronda cari tempat untuk beli keropok lekor bila nak balik hari sabtu nanti. Babah pun dah jalan-jalan kat pekan Mersing cari apa yang boleh di bawa pulang untuk anak-anak babah. Hadiah untuk baby Pak Lang Amirah Umairah pun babah dah belikan. Untuk umi je belum lagi.. tak tahu la nak beli apa umi.. Keropok lekor je boleh!!? ;)

Pandangan dari hotel.

Menyusuri pantai


Babah Demam

Sejak petang jumaat lagi babah dah demam. Sampai la hari ni. Pagi tadi masih pening dan tekak rasa loya2 lagi. Tapi sekarang dah rasa ok sikit.

Entri ni ditulis, dalam bilik hotel di Hotel Seri Malaysia Mersing. Semalam lagi (ahad) babah dah sampai. Itupun dah agak terlewat. Dekat nak maghrib baru babah sampai. Sampai terus makan. Babah di sini untuk menyampaikan slot Sukatan Pelajaran Bahasa Arab yang baru pada guru-guru j-QAF yang baru sahaja tamat latihan dan di posting pada Julai lalu. Babah juga diamanahkan utk menyampaikan tajuk PCG Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, PKSR Bahasa Arab dan Pengurusan Fail dan Panitia Bahasa Arab. Sepatutnya slot babah dah habis pukul 12 tghhari tadi. Tapi sedikit rombakan jadual di buat. Babah akan sampaikan slot babah malam ni atau pagi esok. Elok juga. Demam babah pun baru nak baik. Biarlah babah kumpul tenaga dulu untuk bercakap.

Tapi, babah rasa cukup terkilan pada tetamu babah dan umi sejak petang jumaat lepas. Tetamu tu adalah kaum kerabat umi yang datang tiga kereta dari Bagan Datoh Perak. Mereka sampai lepas maghrib jumaat lepas. Opah umi, Mak Long, Pak Long, Wak Yunus, Wak Zaharah, Ina dan Jef bersama 2 hero mereka, Kak Mas yang datang dengan 2 puterinya, Tok Cu, Cik Ali dan Salleh. Kehadiran mereka adalah untuk menghantar rombongan meminang sepupu umi (Pak Su Salleh) yang dapat orang Pasir Gudang. Malam tu melimpah ruah rumah kita dengan sedara-sedara sebelah umi ni. Babah memang seronok. Nanti babah upkan gambar2nya kemudian.

Tapi malangnya, babah tak dapat nak melayan sepenuhnya tetamu2 yang hadir bermalam di rumah kita malam sabtu tu.. sebab babah dah tak larat nak tegak. Teruk demam babah malam tu. sampai umi pun tak boleh tidur. Kesian umi. Dah lah penat melayan tetamu.. nak tidur malam pun tak boleh tidur bila babah asyik mengerang sakitnya demam. Umilah yang picit2 kepala dan badan babah. Lepas subuh, mujur ada opah umi. Opah pula yang take over mengurut babah. Badan babah sengal2 semacam je. Bestnya ada mak mertua yang pandai mengurut. Sedap betul!

Terima kasih opah! Kerana opah dah mengurut babah, babah laratlah nak drive kereta pagi sabtu tu untuk menjadi ketua rombongan meminang ke Pasir Gudang. Ketua rombongan je.. bukan ketua meminang! Orang lain tak tahu jalan nak pergi ke rumah pihak perempuan tu. Babah je yang tahu jalan. So, kereta babah la jalan depan. 4 kereta semuanya kita bergerak ke sana.

Sesampai di sana, semuanya berjalan dengan lancar. Lepas selesai semuanya, apa lagi.. makan lah! Banyak betul orang tu masak. Sedap2 pulak tu. Tapi babah hanya menjamah sepotong pisang, segelas air dan sesudu bubur. Nasi langsung tak usik. Tekak babah loya! Walaupun lauknya memang mengancam! Senyap2 babah pergi ke kereta, telah panadol 4 biji dan babah tidur dalam kereta sementara menunggu yang lain makan.

Selesai makan dan berangkat pulang, mereka nak pergi jalan-jalan pulak. Tak pelah. Semuanya baru first time sampai JB (kecuali opah umi), jadi kenalah bawa mereka pusing2 bandar dan ke Danga Bay. Di Danga Bay pun sama. Babah tak turun kereta. Babah tidur je dalam kereta. Mereka semua shoping. Seronok betul mereka.

Bila nak balik, 2 dari 4 kereta terpisah. Puas pulak mencari jalan nak balik ke rumah. Hampir 2 jam baru jumpa. Itupun babah suruh 2 kereta yang terpisah tu berhenti di mana mereka berada, babah gi ambil. Isk3.. Kesian!

Apapun.. harapan babah supaya semua yang hadir tu janganlah serik datang ke JB lagi. Babah minta maaf banyak2 sebab tak dapat layan dengan sebaik-baiknya. Tapi yang penting, babah happy sedara-sedara umi yang jauh dari Bagan Datoh tu akhirnya sampai juga ke rumah kita.

Petang sabtu pukul 5 petang, semuanya dah bersiap nak bertolak balik ke Perak semula. Belum sempat mereka bergerak, sahabat babah dan umi dari Nilai 3 pun sampai nak beraya. Wah! Memang tetamu tak putus2. Abang Azim dan Kak Sue sekeluarga sampai juga ke rumah kita akhirnya. Dah lama kami ajak. Babah dah sampai 2 kali ke rumah mereka di Nilai 3. Kali ni barulah adil!

Sekarang babah dah ada di Mersing untuk tempoh seminggu. Sampai sabtu ni (18hb). Ahad (19hb) kena bagi slot di Hotel Selesa Pasir Gudang pula.. sampai 21hb (selasa). Rabu (22hb) ke Klebang Beach Resort pulak untuk siri yang terakhir.. sampai jumaat (24hb). Allahuakbar... 2 minggu babah tak de di rumah.. Siaaaan anak2 babah. Tentu rindu babah.. kan! :)

Tudung Umi

Hari ini umi buka blog terkejut bila umi baca ada seorang 'student' yang umi rasa bukan student umi pun, tulis dalam chat box blog ni yang berbunyi "Kenapa tudung ustazah pendek ya!?"

:) Betuah betul anak murid tu ye! Mungkin soalan itu diajukan berikutan gambar umi di Taman Tasik Titiwangsa sewaktu mendukung Faei dalam entri sebelum ni agaknya..

Alahai.. babah pulak kata.. ini ada orang baling batu sembunyi tangan ni! Kalau 'student' tu tulis nama dia, tentu senang kita nak berbicara.. Tapi dia tak tulis.. Dah tentu bukan.. kan!? Menegur biar ikhlas.. dan kena cara.. Tapi... masalahnya, umi tak pakai pun tudung pendek? Malahan tak ada pun tudung umi yang pendek. Cuba lihat gambar umi di bawah... Gambar tu adalah tudung yang sama yang umi pakai sewaktu di Titiwangsa tu...


Haaa.. pendek ke tudung tu 'student'? Mungkin dalam gambar di titiwangsa dalam entri sebelum ni, tudung tu tertarik sewaktu umi mendukung Faei yang sedang lasak tu.

Buat pengetahuan, ini adalah fesyen tudung terbaru umi. Umi tiru fesyen tudung Tuanku Permaisuri Agung. Cuma tudungnya umi labuhkan. Tempah ni! Umi ada satu, mama kakak babah beri yang original dari butik Munawwarah. Harganya kalau di butik Munawwarah kat KL tu sampai beratus ringgit. Tapi yang ni umi tempah tak sampai pun rm50. Umi sekarang sedang mengumpul koleksi tudung sebegini. Dah malas nak guna tudung lipat macam tudung bawal tu. Jarang! dan kadang2 nampak leher.

Untuk 'student' umi tu, terima kasihlah menegur. Dan minta maaf juga kerana umi dah terpaksa suruh babah delete msg dia dalam chat box tu. Sementara umi menaip entri ni, tak de lah orang salah anggapan yang umi memang pakai tudung pendek. Lainlah di rumah!

Babah juga dah dapat ID 'student' tu (219.93.152.34). Nanti babah cari lokasinya. Mungkin boleh tahu siapa orangnya.. :) Kita berkenalan ek! :) Nak jadi anak murid atau 'student' kenalah kenal antara satu sama lain.. kan!

10 minit di Tasik Titiwangsa

Hari Raya Ke3 yang lalu, kita semua satu family kecuali bibik sempat menyinggah ke Taman Tasik Titiwangsa di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Kebetulan selepas kita hantar bibik ke rumah kawannya di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, KL ternampaklah sign board Tasik Titiwangsa ni la. Terus umi cakap kat babah..
"Babah!.. Walaupun umi ni dari kecil duduk di Sungai Buloh, tapi sampai dah umur 30 tahun ni, tak pernah sekalipun umi pergi ke Taman Tasik Titiwangsa..."

Alah, kesian la pulak kat umi. Kebetulan dah lalu kat situ, babah pun kata, "Jom kita singgah. Kejap je lah! Kita nak balik Sg. Buloh ni.. nak beraya lagi.. tak kan nak beraya kat Tasik Titiwangsa kot!"

Kebetulan juga, lampin pakai buang Faei dah perlu ditukar, elok sangatlah kalau singgah sekejap di situ sambil umi menukar lampin Faei, kita hirup udara nyaman di tengah-tengah kesibukan kota ni. Makan Aiskrim.. Nymm.. nyum nyum nyum!

Hmmm.. Nyaman betul kat sini. Terimbau kenangan sewaktu kecil-kecil dulu. Memang di sinilah babah dan adik-adik babah bermain. Masa tu masih di bangku sekolah rendah lagi. Mak Teh Yanti, dan Mak Cek Wani pun masih baru darjah 1 dan 2 agaknya masa tu. Atuk babah selalu bawa kami datang main-main di sini. Indahnya kenangan waktu tu... Rasa macam nak lari-lari lagi cam dulu.. Tapi nanti orang cakap apa pulak.. Hari tu dah orang kata babah 'dugung terdampar' masa mandi laut.. Ni orang kata 'gajah sarkis' terlepas pulak nanti.. Isk isk isk...







Episod Raya 2008

Hari ini kita semua dah kena pergi sekolah. Alahai, mod raya masih tebal! Nak beraya pun masih tak puas. Tapi apakan daya, demi tugas dan tanggungjawab, kita kena ikhlaskan diri untuk meneruskan amanah yang telah diberi.

Seperti yang dijanjikan, babah & umi nak menulis entri kenangan hari raya aidilfitri 1429H/2008M di sini, yang boleh babah episodkan beberapa episod bagai drama kisah benar yang telah terjadi dalam tempoh seminggu cuti berhari raya di kampung Sg. Buloh Selangor, Karak Pahang dan di Johor Bahru sendiri.

EPISOD 1 : BALIK KAMPUNG
(SABTU - 26 SEPTEMBER 2008 / 26 RAMADHAN 1429H)

Kita bertolak balik ke kampong Umi di Sg. Plong, Sg. Buloh Selangor pada jam 1.15 pagi. Niat nak bergerak pukul 12 tengah malam. Boleh tak tersedar. Tepat kul 1 pagi bibik miscall handphone umi. Baru la tersedar. Nasib baik beg2 semua umi dan babah dah susun siap2 dalam kereta sebelum tidur. Tempat tidur abang dan kakak pun babah dah siapkan dalam kereta. Sebab nanti tengah malam babah terus angkat abang dan kakak je masuk dalam kereta.

1.15 pagi kami pun bertolak, sampai di rumah opah di Sg. Buloh tepat jam 4.30 pagi. Maknanya tepat 3 jam 15 minit babah drive dari rumah di Seri Austin JB, terus sampai ke Sg. Buloh ikut lebuhraya Gateri, keluar ikut Kubu Gajah. Opah kata babah terbangkan kereta.. sebab tu cepat sampai. Boleh sempat bersahur pulak.

Drama
Dikeheningan pagi 27 Ramadhan tu, babah drive sorang2 tanpa bersembang dengan sesiapapun. Umi, bibik dan anak2 babah semuanya tidur. Babah pula dengan penuh tekun memandu mpv babah dengan kelajuan 160km/sejam. Babah sendirian je melayan lagu bekas awek babah, Siti Nurhaliza.

Setelah babah melepasi exit Pedas Linggi, babah masih bertenaga memandu. Apa tak nya. 2 tin minuman Red Bull babah telan. Itulah minuman yang akan babah minum apabila nak memandu jauh. Memang mata terang betul walaupun memandu malam.

Tiba-tiba babah terpandang nun jauh di depan. Ada satu lembaga kelabu yang agak besar di hujung jalan. Babah mengecil-ngecilkan mata babah untuk mengamati apa ke benda lah agaknya tu. Babah masih dikelajuan yang sama, 160km/sejam. Makin lama benda tu makin hampir. Lori ke agaknya tu ya? Lori tak de lampu agaknya.. Isk.. babah mesti hati-hati.

Tanpa mengurangkan kelajuan, babah terus memecut. Namun apabila sudah hampir sangat dengan benda alah tu, lebih kurang 50 meter je, baru babah dapat melihat dengan jelas benda kelabu tu. Rupanya, itu adalah lori treler yang baru sahaja terbalik dan melintang 2 lane di kiri dan di tengah. Babah menjerit.. SUBHANALLAAAAAAAAAAAAH!!!! Semua orang terbangun! Babah dah tak sempat brek lagi, Kalau babah brek, tentu kereta babah tersasar!

Babah yang sejak tadi memandu di lorong tengah terus mencari peluang untuk mencelah lori yang melintang jalan tu. Nasib baik dalam masa yang terlalu singkat tu mata babah sempat menyorot ke kanan jalan yang kosong dan babah terus mencelah di situ. Nasib baik tak de serpihan-serpihan lori tu di situ. Memang kosong! Dan babah terus memecut laju untuk segera sampai ke Sg. Buloh. Alhamdulillah.. Salaaamah!


EPISOD 2 : KUEH RAYA
(AHAD – 27 SEPTEMBER 2008 / 27 RAMADHAN 1429H)

Lepas sampai kampung opah, bersahur dan solat subuh. Babah rehat dulu. Sebab pagi ni babah dan umi nak pergi claim kuih raya melalui vaucer B******S di Tanjong Karang. Seribu ringgit lebih jugak nilai vaucer tu. Seronok betul umi dan babah pilih kueh raya. Lebih 500 ringgit umi dan babah shoping kuih raya tanpa keluar duit sesen pun.

Cuma nak kena tunggu turn. Babah dapat nombor 3692. Nombor yang sedang dipanggil 3630! Masa tu dah jam 12 tengahari. 62 orang nak kena tunggu! Ya Allah.. Sampai petang la ni!

Nasib baik umi dan babah memang baik hari tu. Sewaktu giliran baru sampai ke nombor 3640, ada sorang makcik yang beri kami nombor baru. Dia dah nak balik. Dia bagi nombor dia 3657. Alhamdulillah.. kira2nya.. kami jimat 35 giliran dari giliran kami yang sebenar. Penuh citra babah dengan kueh raya!

* bersambung episode seterusnya…

EPISOD 3 : MAAFKAN KAMI MAK ANJANG! (KHAS)

Dari raut wajah, reaksi dan tutur kata.. kami tahu Mak Anjang sedih dan marah pada kami. Memang layak untuk Mak Anjang marah pada kami.

Sejurusnya kami memohon ampun dan maaf pada Mak Anjang sekeluarga kerana tidak dapat membantu untuk kenduri pernikahan permata tunggal Mak Anjang, Yana, pada 3 Syawal yang lalu.
Bukan niat kami untuk tidak berkampung di rumah Mak Anjang dan membantu Mak Anjang untuk kenduri tersebut, malah kami sangat teruja untuk bersama-sama. Sementelah lagi Mak Anjang kami dah anggap bagai ibu kami sendiri, dan Yana bagai adik kami sendiri. Jasa Mak Anjang yang banyak kepada kami tidak akan terbalas oleh kami di dunia ni. Hanya Allah yang mampu membalas segala yang dah Mak Anjang curahkan pada kami lebih-lebih lagi babah.

Mungkin faktor masa, atau cuti yang hanya seminggu, atau masa berkenduri pada 3 Syawal itu yang mendatangkan masalah pada kami untuk berkampung di rumah Mak Anjang. Kami tahu Mak Anjang sedih dan marah. Tapi kami dah tak ada pilihan.

Memandangkan giliran beraya tahun ni bagi kami adalah giliran di karak, yang sepatutnya Angah , Yanti dan Udy pun sama.. tapi mereka bertiga tak dapat beraya bersama kerana masalah masing-masing. Tinggallah kami sekeluarga dan dua orang adik bujang Wani & Syabil sahaja di Karak. Memang tak ada orang lain yang diharapkan untuk hari raya di Karak selain kami.

Sejak hari raya pertama, orang tak putus bertamu di Karak. Kata bibik, tangannya 'mekar'.. mujur tak tumbuh lagi. Tak berhenti bibik di dapur membasuh pinggan mangkuk yang kotor. Dan untuk pengetahuan, sepanjang 3 hari kami beraya di Karak, hanya sebuah rumah sahaja yang kami sempat beraya tahun ni. Itupun pada hari raya yang kedua. Iaitu rumah Chu Nah di Bentong. Masa tu pun baru nak menyuap, ada pula sahabat kami dari Kuala Lumpur yang dah on the way nak datang ke Karak. Terpaksa kami meninggalkan rumah Chu Nah lebih awal dan bergegas pulang ke Karak. Kami sampai, mereka dah sampai lebih awal 5 minit dari kami. Kami pun melayan mereka sampai ke malam. Lebih kurang pukul 8.30 malam juga baru mereka pulang semula ke Kuala Lumpur. Niat nak beraya kali yang pertama bersama atuk dan opah ke Mentakab rumah mak tiri abah juga tidak kesampaian. Atuk dan opah sahaja yang pergi. Kami tinggal di rumah melayan tetamu.

Setelah tetamu pulang, kami dah tak larat nak ke Bentong semula ke rumah Mak Anjang malam tu. Memandangkan esoknya (JUMAAT) kami akan balik ke Sg. Buloh setelah 4 hari di karak (sejak pagi selasa), jadi malam tu kami buat keputusan untuk tidak ke rumah Mak Anjang. 2 hari tak putus melayan tetamu, bibik memang sibuk. Jadinya kain-kain baju kami memang bertabur. Terpaksalah malam tu bibik berkemas beg pula. Sebab esoknya (pagi Jumaat) kami akan awal2 ke Rumah Mak Anjang untuk majlis akad nikah Yana. Kalau malam dah ke Bentong, bila pula nak mengemas kain-kain baju tu. Sebelum tu memang tak sempat dan tak de masa nak mengemas. Orang datang silih berganti. Yang tak pernah jumpa pun ada.

Kesesokkan harinya, kami sampai tepat pada masanya walaupun dikategorikan lambat. Namun kami sempat menyaksikan upacara akad nikah Yana.

Dan selepas majlis, sebelum solat Jumaat kami dah berangkat pulang ke Sg. Buloh.

Yang sana tarik, di sini tarik.. dah tak tahu nak buat apa. Keluarga di Sg. Buloh juga minta pulang awal ke Sg. Buloh kerana kami masih belum beraya di sana. Hari tu dah Jumaat. Esoknya sabtu (malam) kami dah nak balik ke JB. Jadinya memang itulah sahaja waktu yang ada (petang jumaat dan siang sabtu) masa untuk kami beraya di sebelah Sg. Buloh pula. Kami terpaksa meninggalkan kenduri Mak Anjang lebih awal kerana kesuntukan masa.

Petang jumaat tu juga, kami sempat beraya 2 buah rumah di Sg. Buloh. Sampai ke malam! Dan esoknya sabtu, sepanjang hari, 5 buah rumah kami pergi beraya. Dari Sg. Buloh ke Rawang, kemudian ke Kajang, KL, Ampang dan Damansara Damai. Last sekali di Sg. Buloh semula, baru balik ke rumah.

Sampai di rumah jam dah hampir pukul 9. Babah terus berehat, Umi dan bibik menyambung mengemas kain baju. Tepat jam 12;30 malam kami pun bertolak balik ke Johor Bahru.

Memang penat Mak Anjang. Kami dah gunakan sepenuhnya masa cuti kami untuk memenuhi kehendak semua orang. Tapi apakan daya. Kami manusia lemah. Namun, kami akan cuba untuk menyumbang segala yang ada masa kenduri besar nanti pada bulan November. InsyaAllah.

Akhirnya.. maafkan kami Mak Anjang.

EPISOD 4 : ADUHAI BIBIK
Memang dari dulu orang cakap bibik ni macam-macam perangai. Nasib lah kena yang baik atau tidak. Bibik kita sebelum ni pun perangai dia memang tak tahan umi dan babah di buatnya. Dia jadi bos, kita pula yang kena ikut cakap dia. 3 bulan juga bertahan, terus tukar dengan bibik sekarang. Alhamdulillah. 6 bulan dah bibik ni kerja dengan kita, sekali pun umi dan babah tak pernah rasa tension pada dia. Memang ok. Alhamdulillah. Harap2 dia pun ok kerja dengan kita.

Drama bibik pada raya baru ni adalah berkenaan dengan persatuan bibik-bibik adik beradik babah lah!. Ketuanya bibik mama angah (kakak babah) di Ampang. Setiausahanya bibik pok de udy (abang babah) di Ampang juga. Bendahari dan ahlinya mungkin bibik kita dan bibik pak lang (abang babah) lah kot! Nasib baik Mak Teh Yanti (adik babah) dah tak guna bibik. Kalau tidak tentu lebih meriah persatuan bibik-bibik adik beradik babah ni.

Kisahnya adalah bibik Pak Lang dah lari tak nak balik kerja lagi dengan Pak Lang. Kata dah setuju nak kerja 6 bulan. Alih2 baru sebulan dah lari tak nak kerja lagi.

Masa balik dari kenduri Wan Anjang di Bentong tengahhari Jumaat tu (3 Syawal), babah nak hantar bibik kita ke Kg. Baru KL, bagi dia cuti sehari di rumah kawan-kawannya. Kesian dia penat basuh pinggan tak putus-putus di Karak. Bagi la dia cuti sehari. Sabtu nanti masa kita beraya, kita jemput la dia semula. Bila bibik Pak Lang tahu yang bibik kita nak bercuti, dia pun cakap kat Pak Lang, dia juga nak cuti sehari dan nak tumpang kita ke Kg. Baru KL tu. Pak Lang yang menaruh percaya penuh pada bibiknya pun izinkanlah dia ikut kita. Nanti nak jemput, kita jemput sekali, baru jumpa Pak Lang.

Alih2 bila kita tengah syok2 beraya sabtu tu, sebelum ambil bibik, babah dah dapat call dari Mama (kakak babah). Kata mama, bibik kita sms bibik mama, kata bibik Pak Lang dah tak nak balik ikut ke JB lagi. Kira nak berhenti lah!

Ya Allah!.. kenapa jadi cam tu? Kesian Mak Lang. Dah lah baru bersalin 2 hari sebelum raya tempoh hari. Memang mengharapkan sangat bibik dia dapat membantu menguruskan anak-anak Pak Lang yang 4 orang tu masa Mak Lang dalam hari nanti. Akhirnya tak jadi pula. Isk Isk Isk.. Tak tahu babah nak cakap apa. Nampak bibik tu baik dan seronok je kerja dengan Pak Lang. Kenapa pula nak lari? Hmm.. tu lah manusia.. Rambut sama hitam.. hati siapa yang tahu?

Macam-macam cerita babah dengar dari bibik kita dan bibik mama serta bibik pok de tentang bibik Pak Lang ni. Babah dan umi tak tahu nak percaya yang mana. Kata umi.. dah lah!.. Kita mintak2 bibik kita jangan lah perangai macam tu juga. Setakat ni babah dah dengar juga mama kata, bibik kita mengadu dengan bibik mama, bibik kita penat melayan karenah kakak iman. Memang karenah kakak iman kadang2 melampau dengan bibik. Manja sangat! Kesian bibik tu. Penat!.. Umi la kena kontrol ye! Jangan sampai dia lari juga! Naya kita!

EPISOD 5 : APA CERITA? MENYOROK?

Masa kita beraya rumah salah seorang sedara kita hari raya baru ni, telah berlaku satu tragedi yang tidak di sangka-sangka. Memang tak sangka boleh jadi macam tu.

Kita dah janji nak datang pada hari tersebut, so kita pun tepatilah janji kita untuk datang beraya ke rumahnya. Kita juga dah sedia maklum, suami dia kerja hari tersebut. Tapi kata dia, isterinya ada di rumah bersama 2 orang anaknya. Tak ada masalah kalau kita nak beraya rumah dia pun walaupun suaminya tak ada. Jadi kita pun satu kereta ke sana nak beraya. Dah lama juga tak ke sana. 3 tahun lepas rasanya kali terakhir babah dan umi ke rumah dia.

Sesampai di rumah, yang ada hanya 2 orang anak bujangnya itu sahajalah yang ada. Umi dan babah pun tanyalah mana ibunya. Kata anaknya yang sulung, ibu pergi ke Johor pagi tadi. Kami pun terkejutlah! Sedangkan dah janji kami nak datang. Suaminya pun kata isterinya ada di rumah.

Alih2 bila sampai yang ada hanyalah 2 anak bujangnya sahaja.

Kami pun tak fikir panjang. Kebetulan pula babah dan umi tengah hangat membincangkan pasal bibik Pak Lang yang lari tak nak balik dalam telefon bersama Mama. Jadinya tak kisah sangat lah kalau dah tak de rezeki nak jumpa tuan rumah tu. Umi pun yang sibuk di dapur rumah orang tu membancuh air minum sambil sembang2 tentang bibik Pak Lang ni.

Tak lama selepas tu kami pun berangkatlah. Dah tuan rumah tak de, malas lah nak duduk lama2. Kami pun terus la gi beraya rumah yang seterusnya.

Alih2.. semalam.. kami baru dapat tahu.. Suaminya call mintak maaf nangis2 sebab kelakuan isterinya. Sebenarnya masa kami datang beraya di rumahnya, isterinya ada dalam bilik dan berkunci dari dalam. Anak-anaknya di suruh merahsiakan kelakuan ibunya itu..

Isk isk isk.... kenapa sampai menyorok dalam bilik? Tak faham laaa... Kita datang nak bermaaf-maafan kalau ada salah dan silap. Tapi kenapa sampai menyorok macam tu. Kalau umi dan babah ada buat salah.. Maafkanlah kami. Berilah tahu apa salah kami. Supaya jadi pengajaran dan sempadan untuk kami.

EPISOD TERAKHIR : KEMALANGAN

Dari Sg. Buloh pukul 12.30 tgh malam. Sampai JB tepat jam 3.30 pagi. Maknanya tepat 3 jam babah drive dr Sg. Buloh balik ke JB malam ahad semalam. Padahal babah tak speed sampai 160km/j pun! Tapi babah maintain 130km/j tak kurang2.. Kereta banyak atas jalan. Nasib la kalau nak kena speed trap pun. Yang penting segera sampai ke rumah di JB. Dah penat sangat dari Karak, pergi kenduri Wan Anjang, balik Sg. Buloh beraya pulak sampai ke malam, rehat tidur2 ayam dalam tak sampai 3 jam dah terus bertolak balik ke JB. Setakat pagi tadi babah check saman kat internet tak de pun! Mintak2 memang tak de laa..

Episod Kemalangan ni, bukan kita yang kemalangan. Tapi kawan babah la.. Ammu Khir. Eksiden dengan kereta LIVINA yang baru 2 bulan tu sewaktu dalam perjalanan nak beraya ke rumah kita di Seri Austin.

Masa tu jam 4.30 petang. Keluarga Wan Cik dari kelantan baru je beransur dari rumah kita jam 4 petang sebelum tu. Dari jam 12 lagi keluarga Wan Cik dah sampai di rumah kita. Dan dari pagi juga umi dan babah dah sibuk berkemas rumah dan ke pasar untuk siapkan makan tengahhari keluarga Wan Cik. Memang penat! Apa tidaknya, malam tu baru sampai JB dari Sg. Buloh jam 3.30 pagi. Seawal selepas subuh dah sibuk berkemas dan ke pasar. Tapi kami seronok dan puas dapat beraya bersama ramai tetamu. Baru lah raya namanya!

Jam 4.30 petang, ammu Khir call babah cakap eksiden.. babah dan umi terus melompat sarung baju dan terus start kereta menuju ke tempat kejadian yang tak jauh pun dari rumah kita. Teruk juga kereta LIVINA ammu kena langgar dengan Motor Kapcai. Nasib baik ammu dan acik Siti tak de apa2. Orang yang langgar kereta ammu je yang nampaknya macam patah tulang tangan. Isk.. Na'uzubillah!

Memang salah penunggang motosikal tu. Dia langgar lampu merah ketika ammu membelok ke kanan. Abis la dia rempuh kereta ammu. Lebih malang penunggang motosikal tu tak de lesen. Dan motor tu pulak bukan motor dia. Tapi motor Mak Cik dia.

Lepas call polis.. Dekat dua jam polis tak sampai2.. Last2.. baik ambil je gambar kita bawa ke balai. Penunggang tu awal2 lagi dah ada orang bawakan ke hospital. Kami pun terus la ke balai polis Johor Jaya buat laporan. Siap laporan kat situ, kena pulak gi balai polis cawangan Trafik di Seri Alam. Hari dah maghrib. Duduk di sana.. sampailah pukul 10 malam. Baru selesai urusan. Aduuuh.. Penat betul! Sampai rumah dah jam 11 malam. Baru nak makan malam dengan ammu dan acik Siti sekali. Jam 12 malam, ammu dan acik siti pun balik ke Kota Tinggi dengan menaiki kereta iswara ummi. tak pelah.. Kereta ammu dah masuk bengkel, ummi naik dengan babah je lah minggu ni. Kita bagi pinjam ammu kereta. Kesian ammu.

5.30 pagi.. kriiiiiiiiiiing.. Alamak.. dah pagi ke? Alahai.. tebalnya lemak kat badan ni! nak kena gi sekolah ke? huk3...

1 Syawal 1429H






Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua. Hari ini, kasehKAMI hanya berhari raya di rumah opah di Karak. Tak kemana-mana pun. Tunggu tetamu sahaja yang datang. Esok baru rancang nak beraya ke Kuatan. Jom!


Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............