Yum yum yum.. Syawarma! (repost from miorjqaf.blogspot)

Yum yum yum....
Tak tahu saya rupanya di Johor Bahru ni pun ada Syawarma Arabi! Sebelum ini fikir saya Syawarma Arabi hanya di Ampang sahaja.. Nampak gayanya bolehlah umi dan babah kembali menikmati makanan sewaktu zaman belajar di Jordan dulu tu selalu! Tidak hanya ketika cuti sekolah sahaja kalau pulang ke Sg. Buloh, Selangor.

Bagi yang duduk di JB dan ingin menikmati Syawarma Arabi ni, boleh la ke Mat'am Banafe (muqabil Hotel New York). Harganya hanya RM8.

Mungkin ramai yang sudah tahu tentang Mat'am Banafe ni!, tapi bagi yang belum tahu atau yang baru tahu macam saya, apalagi! Hayya bil arabiyah! :)

Gatal tangan...

Hari ni entah kenapa babah gatal betul tangan.. Mungkin sebab tak ada aktiviti yang babah boleh buat pada waktu lepas zohor, babah pun ambil pensil 2B dan kertas A4, dan bermulalah kerja babah melukis gambar Faei...

Dah lama betul babah tak melukis.. Kalau tak salah babah, sejak babah jadi guru j-QAF babah dah tak pernah melukis lagi. Maknanya dah hampir 5 tahun babah tak melukis. Memang kekok rasanya... Tangan pun dah jadi keras... Tapi puas hati juga sebab masih dapat mengekalkan bakat yang dianugerahkan Allah pada babah ni. Alhamdulillah...

Anak-anak babah nanti nak pandai melukis juga ke!?

Puting...

Itulah bahan yang adik (baby Faei) tidak perlukan lagi sekarang ini.. :)

Babah dan umi bersyukur sangat-sangat bila akhirnya baby Faei tidak lagi perlukan 'candu' yang dia ketagih sangat-sangat ketika hendak tidur tu. Memang inilah saat yang yang babah dan umi tunggu-tunggu.. Puting kosong adik putus dan tidak boleh dihisap lagi.

Mari babah nak bercerita. Sejak dari Abang Adi, Kakak Iman sampailah ke Baby Faei, kalian memang hisap puting kosong. Memang tidak dinafikan keburukan hisap puting kosong ni. Yang paling ditakuti ialah gigi jadi jongang! Mulalah jadi mat senyum memanjang! Marah pun macam senyum! Tapi babah dan umi bersyukur sebab tiga-tiga anak babah ni tak ada yang jongang. Yang rongak adalah! Hehehehe...

Tidak dinafikan ada ibu bapa yang langsung tidak pernah mengenalkan anak-anak mereka dengan puting kosong tersebut. Memang baguslah tu! Tapi masalah karenah dan perangai anak kecil bukanlah sama semuanya. Ada anak-anak kecil yang baik, senang dijaga dan tidak banyak menangis atau banyak karenah. Letak saja dah tidur. Bertuah betul ibu yang mengandungkannya. Namun, anak-anak babah ni semuanya lebih kurang sama sahaja perangainya. Kalau time nak tido tu sikit punya susah! Dah naik buai pun boleh turun berlari atau merangkak ke sana ke sini dan ketawa lagi kalau tidak ada puting. Padahal matanya dah mengantuk sangat-sangat. Tapi susah nak pejam. Hmm.. Itulah dia karenah si kecil yang biasanya ibu dan ayah yang memiliki anak sebegitu akan menyudahkan kerjanya dengan menyumbat puting kosong tu. Terus senyap dan tidur dengan lena...

Bagai ibu bapa yang macam umi dan babah, ramai juga yang kami dengar susah nak berhentikan anak-anak mereka dari menagih getah plastik tu. Tapi bagi kami caranya tidaklah terlalu sukar. Alhamdulillah, anak-anak babah semuanya berhenti menghisap puting kosong dalam lingkungan umur setahun setengah sahaja. Tak sampai pun ke usia dua tahun atau tiga tahun. Lebih malang lagi ada yang dah nak sekolah pun masih menyonyot getah kuning tersebut. Isk isk isk... Kasihan...

Cara yang umi dan babah lakukan adalah dengan tidak menggantikan puting kosong tersebut dengan puting yang baru apabila ia sudah lama atau getahnya sudah menjadi kembang. Itulah puting yang sama yang digunakan sejak dari kecil sampai lah ia tidak boleh dihisap lagi.

Sekiranya puting tersebut kerap diganti, ia akan menjadikan kalian tidak kisah dengan puting apa bentuk sekalipun semuanya kalian akan ngap. Berbanding kalau babah dan umi biarkan dengan satu puting sahaja, memang kalian akan sedap dengan yang satu itu sajalah! Bila diberi puting yang lain kalian akan mencampakkannya kerana tidak sama dan tidak sesedap seperti yang satu tu.

Memang tidak dinafikan lama-kelamaan getah puting tersebut akan kembang, lembik dan agak menjijikkan. Apa yang perlu babah dan umi lakukan, hanya memastikan puting tersebut sentiasa bersih. Soal getah dah kembang, dan lembik tu.. biarkan sahaja. Lama kelamaan, getah tersebut akan putus digigit oleh kalian yang gatal gusi kerana hendak tumbuh gigi. Bila dah putus, kalian sendiri akan lihat hasilnya dan seterusnya langsung tidak mahu menghisap puting. Cuma awas! Jangan sampai tertelan sudahlah getah puting yang putus tu!

Puting yang putus tu babah dan umi tidak terus buang! Tetapi dijadikan bahan bukti apabila kalian tiba-tiba teringin nak berputing kembali. Terus umi dan babah hulurkan puting yang putus tu dan kalian akan menolaknya... Hehehehe.. (padan muka!)

Satu masalah yang akan timbul apabila hanya ada satu puting sahaja ialah kalau ianya hilang. Sudah menjadi kebiasaan bagi umi dan babah menggeledah rumah mencari puting kalian yang hilang tak tahu di mana. Biasanya puting tersebut dijumpai dalam laci, bawah almari, bawah peti ais, dalam raga kain dan pernah juga sampai ke dalam almari kasut. Semua tu gara-gara kalian sendiri yang main dan meninggalkan atau mencampakkan puting tersebut merata-rata. Sudahnya bila nak tidur tak ada puting, mulalah kalian menangis, menjerit, melolong-lolong mahukan puting yang sudah hilang tu.

Begitulah halnya yang berlaku pada baby Faei dan Kakak Iman. Kalian sendiri yang menggigit puting tu hingga putus, dan langsung sejak dari itu kalian berdua pun berhenti dari menghisap puting.

Tetapi lain pulak kisahnya Abang Adi berhenti menagih puting! Abang Adi mula menghisap puting kosong sejak dari Jordan lagi. Babah masih ingat lagi puting tersebut lebih kurang macam dalam gambar puting adik yang putus di atas. Cuma warna plastiknya kuning.. Masa tu puas umi dan babah nak cari ganti puting lain sebab dah teruk sangat puting abang tu. Tapi memang tak jumpa yang sama. Maklumlah puting luar negara.. mana nak dapat kat dalam negara.. Hehehehe..

Kalau Kakak Iman dan Baby Faei berhenti puting kerana putus digigit sendiri, tapi Abang Adi berhenti menghisap puting kerana abang sendiri yang mencampaknya ke dalam lubang tandas.

Babah masih ingat lagi ketika itu, pada suatu petang di rumah sewa kita yang lama (Taman Bukit Mutiara) di JB ni, Abang Adi yang sudah tidak berpakaian masuk ke bilik air dengan puting masih melekat di mulutnya. Bila babah mengarahkan supaya mencabut puting sebelum masuk ke bilik air, abang terus mencampakkannya keluar, tetapi terkena dinding bilik air yang akhirnya melantun dan terus masuk tepat ke lubang tandas. Peristiwa yang disaksikan sendiri oleh abang itulah yang menyebabkan abang terus berhenti dari menghisap puting. :) Bila diminta, jawabnya "puting abang kan dah jatuh dalam lubang jamban!".. :)

CUTI - BOSAN...

Cuti raya cina kita pada kali ini agak membosankan! Tidak seperti cuti raya cina pada tahun-tahun sudah, kita pasti dikunjungi oleh sahabat handai babah dan umi mahupun sanak saudara kita sendiri di kampung.

Sudah empat hari kita cuti. Kasihan anak-anak babah ni terlalu boring duduk di rumah. Frustnya mereka kerana mama satu family dan pok de satu family dari Ampang tak jadi datang ke rumah kita. Asalnya mereka dua family tu merancang nak datang bercuti di Johor Bahru barang dua malam di sini, tetapi disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan mereka terpaksa membatalkan rancangan mereka untuk datang ke sini pada pagi yang dijadualkan mereka akan bertolak ke sini (pagi sabtu). Punyalah frust abang dan kakak sebab tak dapat jumpa baby Khayr, Ameena dan baby pok de (Jannah). Sampai pagi tadi pun abang dan kakak masih bertanya kenapa mama tak jadi datang.. Dah tak tahu babah dan umi nak jawab macammana.

Memang babah dan umi juga dah bersedia dengan kehadiran family mama dan pok de ke rumah kita ni. Lauk penuh satu peti ais. Air kotak satu kotak besar babah dah beli. Kebetulan banyak jualan murah sempena raya cina ni. Buah-buahan pun sampai dah tak muat peti ais. Semua tu masih banyak lagi dalam peti ais.

Lepas tu Sudahnya kita semua tak payah keluar ke mana-mana. Kalau keluar nanti kita akan makan di luar. Baik kita duduk di rumah sahaja. Makan makanan yang banyak dalam peti ais tu. Lepas tu tido. Bangun dari tido kita makan lagi, tengok tv lagi.. lepas tu tido... :) Hehehe..

Entri Khas untuk sahabat babah... Terima Kasih Ammu Mazri...

Dalam debaran babah menanti hari rabu yang bakal membuatkan jantung babah seolah tercabut (kerana temuduga guru j-QAF ke Oman akan berlangsung di JPN Melaka), hari ini babah tersenyum syahdu menerima kiriman bungkusan hadiah dari sahabat lama yang paling babah sayangi... Terima kasih Rie kerana sudi berkongsi limpahan kegembiraan kau pada aku...

Dengan tiada bersempena, hadiah itu dikirimkan olehnya sebagai ole-ole sewaktu percutiannya ke Bandung, Indonesia pada cuti sekolah akhir tahun yang lalu. Terima kasih Rie... terima kasih yang tidak terhingga atas hadiah yang terlalu mahal dan tak mungkin aku mampu membelinya itu...

Mazri bin Romly.
Itulah nama seorang insan yang berhati luhur dan ikhlas dalam menjalin ikatan persahabatan dengan babah sejak di bangku sekolah lagi sehingga ke hari ini.

Dialah sahabat... dialah teman...
Telah pelbagai kisah hidup pahit dan manis telah kami kongsikan bersama-sama selama ini. Kami belajar erti kehidupan, kami belajar erti pengorbanan, kami belajar erti perjuangan.. dan sebagainya..

Babah mengenali Ammu Mazri sejak dari babah menjejakkan kaki ke sekolah menengah lagi di Sekolah Menangah Agama Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Namun, persahabatan kami baru mula terjalin dengan lebih erat tatkala kami sudah di tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama Al-Falah Batu Talam, Raub Pahang.

Di situlah bermulanya episod persahabatan kami yang berkekalan sehingga ke hari ini...

Persahabatan itu diteruskan sehingga ke bumi para Anbiya' di Jordan. Kami sama-sama belajar di tahun dan jurusan yang sama. Namun rezeki tidak menyebelahinya ketika itu, Ammu Mazri pulang ke tanah air sewaktu dunia sedang gawat apabila Soros membuli mata wang dunia. Ammu Mazri terpaksa berundur di tengah perjuangannya sebagai seorang mahasiswa di Al-alBayt Universiti, Jordan. Ammu pulang ke tanah air dan meneruskan perjuangannya di Universiti Malaya. Namun pun begitu, ikatan persahabatan yang terjalin antara kami itu tetap terus tersimpul rapi meski jauh dari pandangan mata.

Setelah itu, babah dan Ammu Mazri terus semakin jauh. Jauh dari pandangan mata. Sehingga ke hari ini.

Namun kini, kami sebenarnya masih berada dalam bidang yang sama iaitu kami sama-sama sebagai guru Bahasa Arab j-QAF kohort yang pertama. Hanya tempat yang memisahkan kami. Kita di Johor Bahru sedangkan Ammu nun jauh di Kuala Lipis, Pahang. Walaupun begitu, kami masih selalu berhubung samada melalui email atau telefon. Kami masih berkongsi cerita. Kami masih berkongsi pengalaman dan kenangan, sebagai seorang sahabat dan teman....

MPTI dalam kenangan...


4 tahun yang lalu..
di sinilah babah dan umi mula bertapak...

4 tahun yang lalu..
debaran hati sentiasa bergelora..

4 tahun yang lalu..
babah dan umi sama-sama mendaftarkan diri sebagai guru pelatih j-QAF ambilan Januari 2005..

4 tahun yang lalu..
babah dan umi sama-sama belajar dalam satu kelas yang sama di sini..

4 tahun yang lalu..
babah dan umi benar-benar belajar erti kepayahan membina satu empayar keluarga bahagia yang kita kecapi pada hari ini..

Setelah 4 tahun..
MPTI telah bertukar menjadi IPTI
kini babah kembali ke sini.. atas undangan..

Babah diundang oleh pihak pengurusan IPTI untuk menyampaikan slot 2 jam kepada pelatih-pelatih j-QAF ambilan Januari 2009. Tajuk yang diberikan adalah situasi guru-guru j-QAF di sekolah, sebagai persediaan untuk pelatih-pelatih tersebut menjejakkan kaki buat pertama kali ke sekolah pada 2 Februari nanti..

Pertama kali babah ke sini setelah begitu lama meninggalkan MPTI, babah terasa sayu dan terharu. Seolah-olah kepayahan babah dan umi 4 tahun yang lalu baru semalam sahaja berlaku. Begitu cepat masa berlalu. Di sinilah babah dan umi belajar menjadi seorang guru yang cemerlang. Akhirnya babah berjaya.

Babah masih ingat sewaktu mula-mula babah dan umi menjejakkan kaki ke MPTI ini buat pertama kali untuk mendaftar diri di sini, babah berbisik pada umi, "Umi, babah nak jadi guru j-QAF yang cemerlang di sini. Babah rasa menyesal kerana selama babah belajar di universiti, babah gagal menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Jadi babah perlu menebusnya di sini", kata-kata tersebut masih segar dalam ingatan babah dan umi.

Sewaktu mengisi borang permohonan di wakaf berhadapan Dewan Seri Temenggong MPTI pada ketika itu, sekali lagi babah berbisik kepada umi perkara yang sama. Itulah dua kali babah menzahirkan niat babah kepada umi ketika itu.

Selepas daripada itu, babah dan umi menjalankan tugas seperti biasa sebagai seorang pelatih guru sepertimana pelatih-pelatih guru yang lain. Segala kepayahan, kesusahan dan keperitan serta kesempitan hidup termasuk kesedihan, babah dan umi harungi bersama-sama. Babah sudah lupa akan niat babah pada mula-mula itu tadi. Namun, semuanya babah dan umi harungi satu demi satu dengan ketabahan. Kalian terpaksa ditinggalkan. Berkorban demi sebuah kehidupan.

Akhirnya... setelah tamat tempoh pengajian selama 18 bulan, tanpa babah duga, niat babah yang telah babah lupakan telah menjadi kenyataan. Bermula dari babah dianugerahkan cemerlang praktikum, diikuti dengan keputusan straight A dalam peperiksaan akhir maktab dengan point 3.82, akhirnya babah dinobat sebagai satu-satunya pelatih j-QAF cemerlang keseluruhan MPTI ambilan Januari 2005.

Hari ini..
Babah di sini lagi.. berkongsi kenangan dan pengalaman dengan pelatih-pelatih baru j-QAF ambilan Januari 2009. Semoga mereka berjaya dan terus berjaya...

Temuduga.. doakan... (ulang siar dari www.miorjqaf.blogspot.com)

Hari ini benar-benar satu kejutan..

Sebelum pulang dari sekolah, Ust. Ahmad Zakuan (Pegawai Khas Bahasa Arab JPN Johor) menelefon minta saya hadir ke pejabatnya pada sebelah petang. Kebetulan saya memang tidak ada apa-apa jadual pada petang ini, dan memang juga sudah berniat untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan pandangan beberapa perkara tentang tajuk slot saya di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim untuk pelatih-pelatih j-QAF yang baru ambilan Januari 2009, pada hari Isnin ini. Jadi selesai solat jumaat, saya pulang sebentar ke rumah, dan keluar semula ke jabatan untuk bertemu dengan Ust. Zakuan seperti yang dijanjikan.

Khabarnya di dalam telefon ada sepucuk surat untuk saya. Apabila ditanya surat apa, jawabnya hanya surat-surat biasa untuk saya. Walaupun dalam hati saya cuba mengiyakan bahawa surat itu hanya surat biasa yang mungkin watikah JLU untuk tahun 2009, tapi jauh di sudut hati, mungkin surat panggilan kursus atau mesyuarat ke mana-mana yang perlu saya hadiri seperti tahun-tahun lepas. Tengoklah nanti surat apa.

Kerana SPI ada meeting tergempar, Ust. Zakuan perlu segera. Sesampainya saya di mejanya, tanpa berkata panjang, Ust. Zakuan terus menghulurkan surat seperti yang di atas, yang terus membuatkan saya tersenyum kelat.
"Allahu Akbar... surat interview nak pergi Oman ke..? sah sah la saya tak lepas nanti.." :(

Hakikatnya saya masih tidak berapa yakin untuk bersama-sama dengan kumpulan guru-guru j-QAF terpilih untuk ke Oman bagi melaksanakan satu misi penting dalam Pendidikan Agama Islam di Malaysia. Namun kepercayaan yang telah diberikan oleh JPN tidak harus saya sia-siakan.

Surat tersebut di atas yang bertarikh 14 Januari 2009 sebenarnya ditujukan kepada ketua-ketua Sektor Pendidikan Islam di semua Jabatan Pelajaran Negeri. Itu adalah salinan yang Ust. Zakuan berikan pada saya untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut kerana tarikhnya telah amat hampir iaitu pada 21 Januari 2009 (hari RABU depan) di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. Surat susulan dari JPN untuk saya ke sekolah akan menyusul kemudian. Sekiranya saya tidak diberitahu seawal hari ini, sudah tentu saya tidak punya banyak masa untuk bersedia menghadapi temuduga tersebut.

Di dalam surat tersebut, menyatakan setiap negeri perlu menghantar 3 orang calon untuk ditemuduga. Namun, hanya seorang sahaja yang akan terpilih untuk menyertai misi tersebut sekiranya berjaya dalam temuduga ini nanti. Dan saya adalah orang pertama yang dipilih oleh jabatan diikuti dengan JLU Bahasa Arab Negeri Johor yang lain, Ust. Nazihar Sisak. Seorang lagi calon dari Negeri Johor belum diketahui lagi siapa orangnya.

Apapun, saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk terpilih ke misi tersebut. Memandangkan saya bukan anak Negeri Johor, mungkin Ust. Nazihar lebih layak. Ditambah lagi dengan kemahirannya dalam bidang Nahu dan Sorof, memang tidak dapat dinafikan lagi, beliau memang pakar.

Apapun, saya akan bersiap sedia juga untuk menghadapi cabaran ini. Seandainya saya terpilih, saya akan menjadikan ini sebagai satu cabaran yang besar untuk diri saya setakat ini. Saya perlu menyahut cabaran tersebut. Namun, seandainya pula saya tidak terpilih saya tidak akan berkecil hati. Malah saya merasa amat bangga dan bersyukur sehingga terpilih untuk ditemuduga. Persediaan ini juga sebenarnya akan membantu saya meningkatkan tahap profesionalisme saya sebagai guru bahasa Arab di sekolah dan sebagai jurulatih utama negeri Johor.

Penatnya abang...

Hari semalam babah jemput abang balik dari sekolah agama. Umi ada hal sikit. So, dalam perjalanan balik dari sekolah abang nak balik rumah kita yang tak sampai 10 minit tu pun abang boleh tertidur dalam kereta. penat sangat abang belajar dari pagi sampai petang. Kalau tidak, usah harap la abang nak duduk diam dan tidur macam tu dalam kereta... :)



Tapi bila dah sampai rumah.. masuk bilik air.. terus segar dengan aksi renang kuak lentang dan kuak kupu2nya dalam bilik air.... siap pakai google lagi.. takut pedih mata kena sabun.. :)


UNCONTROLED

Entah kenapa... tiba-tiba babah tidak dapat mengawal perasaan...

Kisahnya bermula ketika babah di sekolah. Pagi jumaat yang pertama untuk sesi persekolahan 2009 ni (9 Januari 1009). Seperti kebiasaan setiap jumaat bersekolah, babah akan mengetuai bacaan Yaasin di sekolah. Meskipun di sekolah babah ada seorang lagi ustaz, tapi babah merebut peluang ini untuk mengepalai bacaan Yaasin yang pertama untuk tahun 2009 ini.

Sebelum bacaan Yaasin dimulakan, seperti biasa babah akan memberi sedikit tazkirah kepada murid-murid tahun 4, 5 dan 6 yang menyertai bacaan Yaasin tu. Hari pertama ni memang banyak perkara yang boleh babah cakapkan. Tentang niat, azam, semangat, kesyukuran dan kesedaran serta banyak perkara lagi yang boleh disentuh dalam tazkirah babah.

Sesejuk bayu pagi yang bertiup entah dari mana di selatan tanah air ni, babah juga menuturkan bicara kepada murid-murid babah dengan begitu tenang dan bersahaja. Murid-murid babah pula seakan terpukau mendengar bicara tazkirah babah yang mungkin dirindui mereka setelah hampir 2 bulan cuti sekolah akhir tahun. Babah jadi seronok dan idea datang mencurah-curah untuk dilontarkan kepada murid sebagai panduan mereka di hari kemudian kelak.

Tanpa dirancang, tatkala babah bercakap tentang kesedaran dan kesyukuran, fikiran babah dilorongkan Allah untuk memperingati saudara-saudara seIslam kita yang sedang menderita di bumi Palestin. Babah pun terus bercerita tentang penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman tentera zionis Israel. Babah juga membuat perbandingan antara keperitan yang sedang mereka lalui pada saat ini dengan kemewahan dan kesenangan, kebahagiaan dan keamanan yang sedang kita semua kecapi tidak henti-henti di bumi bertuah ini.

Dan akhirnya, disaat babah mula membacakan doa untuk saudara-saudara kita di Palestin, ketika itulah hati babah telah merasai kelainan. Seperti keperitan rakyat Palestin itu telah mencengkam hati babah. Remuk! Babah tidak dapat mengawal perasaan lagi.. Dalam nada yang bersedu, babah terus menuturkan doa satu persatu dan diaminkan oleh murid-murid babah dan guru-guru yang ada di dewan ketika itu. Ramai juga murid-murid babah terkesan dengan sedu babah. Masing-masing mengeluarkan sapu tangan sambil mengesat-ngesat mata. Tak kurang juga yang memicit-micit batang hidung antara dua mata bagi menahan air mata dari turut sama mengalir ke pipi.

Babah cuba menahan sedu. Tapi babah gagal. Babah tidak dapat lagi meneruskan tazkirah.. Hati dan perasaan babah sudah seperti dihiris-hiris.. Babah perlu memulakan bacaan Yaasin. Namun, babah tidak mampu untuk mengucapkan "Astaghfirullahal'azim" sebelum membaca Yaasin. Suara babah sudah bergetar kerana cuba menahan sedu. Akhirnya babah menyerahkan microphone di hadapan babah kepada Ustaz Azmi yang sedari mula memang duduk di sebelah kiri babah. Ustaz Azmi lah yang meneruskan bacaan Yaasin pada hari tu hingga ke akhirnya. Sementara babah terus cuba mengawal perasaan yang terus menerus bergelora kesedihan dan kesayuan... Alahai...

DOA untuk palestine

" Ya Allah... Kau tetapkanlah iman saudara2 seagamaku di Palestine, Kau semarakkanlah semangat jihad mereka... Kau tiupkanlah kekuatan rohani dan fizikal ke dalam diri mereka..

Ya Allah.. bantulah mereka dalam menjalani kehidupan mereka.... bantulah mereka dalam memenangi peperangan ini...... sesungguhnya ya Allah.. mereka berjuang demi agama Islam, bangsa, negara, dan juga maruah mereka ya Allah..

Ya Allah.. Kau lindungilah anak2 mereka... para wanita mereka... agar selamat.. supaya di hati mereka yang bergelar pejuang itu.. tiada gentar, tiada risau dan tenang selalu...

Ya Allah.. Kau pertajamkanlah sasaran peluru mereka..... agar padu menembusi tubuh Yahudi laknat itu... .kerana mereka itu cuba untuk merosakkan kebenaran agama mu ya Allah..

Amin... ya Robbal 'alamiin

ALLAHU AKBAR

Abang Adi Lagi.... Ke Sekolah..

Hampir seminggu abang Adi dah ke sekolah. Bangga rasanya bila anak babah dan umi ni dah semakin membesar dan bersemangat ke sekolah. Begitu jugalah yang dirasakan oleh semua ibu bapa yang baru pertama kali merasai pengalaman pertama anak mereka ke sekolah.

Namun abang Adi hari ni bukanlah kali pertama ke sekolah, malah sejak usia awal 4 tahun lagi abang Adi sudah pun pergi ke sekolah. Dan pada tahun ini, abang Adi sudah naik darjah satu di sekolah umi, Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau, Johor Bahru.

Alhamdulillah.. Abang Adi tidak ada masalah untuk bangun pagi. Dengan sekali panggil sahaja abang Adi sudah pun boleh mencelikkan matanya seawal 6 pagi. Dan seawal 6.30 pagi kita semua sudah bergerak ke sekolah masing-masing. Babah ke sekolah babah, umi dan abang adi ke sekolah umi. Tinggallah baby Faei, bibik dan kakak Iman yang akan ke Tadika Suria Bestari pada jam 11 pagi sehingga jam 2 petang.

Bangga rasanya melihat anak babah dan umi ni bila kali pertama berseragam putih dan biru.

Nama budak-budak

Sesiapa yang berpengalaman berjalan berdua samada dengan abang Adi atau Kakak Iman akan merasai dua pengalaman yang berbeza. Babah sendiri dah banyak kali merasai kelainannya.

Kalau babah ke mana-mana dan bawa kakak bersama, memang perjalanan itu sungguh tenang dan lancar. Mungkin juga menjadi sesuatu yang membosankan! Apa tidaknya, dari awal perjalanan kakak akan terus menyonyot botol susunya dan memejamkan mata. Mungkin kerana kakak bimbang akan muntah kalau perjalanan itu memeningkan kepalanya.

Tapi lain pula dengan karenah abang! Kalau babah memandu berdua dengan abang, babah tidak akan berpeluang langsung mendengar kemerduan lagu yang berkumandang di corong speaker radio kereta. Babah juga tidak berpeluang mendengar celoteh DJ2 radio seperti radio PahangFM, IKIM dan SinarFM yang babah suka sangat dengar. Babah juga langsung tak de can nak layan blues sorang-sorang dalam kereta. Isk isk isk.. Kenapa ek? Sebabnya... abang Adi lah! Celoteh mulutnya memang tak boleh diam. Sampailah pada suatu ketika sewaktu babah dan abang Adi berdua dalam perjalanan ke suatu destinasi.........

"Babah, kalau abang besar nanti boleh tak abang tukar nama abang jadi Mior Muhd. Shahrul?", tanya abang Adi kepada babah yang baru nak leka mendengar lagu2 favorites babah.

"Isk.. kenapa pulak abang nak tukar nama abang? Nama Mior Muhd. Irsyadi yang babah dan umi beri tu tak sedap ke?"

"Bukan... Nama Mior Muhd. Irsyadi tu nama budak-budak la babah. Bila abang dah besar nanti, tak kan abang nak guna nama budak-budak. Malu lah abang!", abang memberi alasan dengan penuh yakin sambil babah menjeling kepadanya.

"Isk abang Adi ni.. Mana boleh tukar-tukar nama suka-suka hati! Nama babah ni Mior Syazril dari babah baby sampailah babah dah tua. Tak tukar-tukar nama pun!", babah cuba memahamkan abang.

"Laa.. nama babah dah memang nama orang besar. Sebab tu la babah tak tukar nama. Dah tu! Kenapa umi dan babah letak nama abang nama budak-budak. Bila dah besar nanti abang tak suka orang ketawakan abang sebab nama abang nama budak-budak".

"Isk.. tak lah abang.. semua orang ada satu je nama. Dari dia lahir sampai dia besar dan akhirnya mati, dia tak boleh tukar nama. Dia kena guna nama yang ibu dan ayah dia beri masa dia lahir. Faham tak?", babah terus cuba memahamkan abang.

"Kalau macam tu, abang nak suruh umi mengandung lagi, abang nak baby boy. Lepas dia lahir, abang nak bagi nama dia Mior Muhd. Shahrul jugak. Biar bila besar nanti kawan dia tak ketawakan dia sebab nama dia bukan nama budak-budak macam nama abang", abang Adi membalas yang bunyinya seakan-akan merajuk sebab babah tak setuju abang tukar nama lain.

Sambil tersenyum babah pun membalas, "Kalau macam tu, apa kata kalau abang Adi belajar pandai-pandai, lepas tu dah besar abang Adi kahwin. Lepas abang Adi kahwin dapat anak, boleh la abang Adi letak nama anak abang tu Mior Muhd Shahrul bin Mior Muhd. Irsyadi! kan!? Best tak!?", babah cuba nak menyedapkan hatinya.

"Apalah babah ni! Kelakar betul! Ada ke nama ayah dia nanti nama budak-budak!.. Kelakar la babah ni!", abang Adi mengejek babah..

Dan babah tergelak besar memikirkan anak ku yang baru je masuk umur 6 tahun pada November yang lalu tapi dah terlalu kritis berfikir macam tu.. hik hik hik... anaaaaak anaaak...

Kenangan Sepanjang Cuti Akhir Tahun 2008

1. Majlis Kenduri Kahwin Mak Long Yana (Afrah AlHana) di Bentong (22 November 2008)

Semoga Mak Long Yana & Pak Long Nizam bahagia hingga ke Syurga...


2. Mengiringi pemergi Atuk Akob (abang atuk umi) yang berangkat ke tanah suci menunaikan fardhu haji. (23 November 2008)


3. Berjalan-jalan sekitar KL - Tugu Negara, Berjaya Times Square, KLCC & Aquaria dan Zoo Negara. (24 & 26 November 2008)


4. Mengiringi pengantin Mak Long Yana ke rumah Pengantin lelaki (Pak Long Nizam) di Felda Keratong Rompin. (29 November 2008)


5. Makan angin 4 hari 3 malam di Cameron Highland untuk kali yg ke2 tahun 2008. (30 November - 3 Disember 2008)


6. Hari Raya Aidil Adha 1429H. (8 Disember 2008)
Tak de gambar.. Petang raya, babah balik JB sorang untuk tempoh seminggu lebih.. ada kerja..

7. Sambil2 buat kerja, babah mengemas rumah untuk surprise umi, abang dan kakak bila balik JB nanti. Bibik kita dulu pandai membersih je tapi kurang pandai mengemas.. kali ni babah pulak yang mengemas.. Bagi yang tak pernah datang rumah kita, boleh la jenguk2 dulu kat sini..

Mengemas kain baju adalah yang paling memenatkan. Lebih-lebih lagi mengumpul dan menyimpan baju-baju yang dah banyak mengecil. :) Bukan tuan yang membesar ye!
Bibik dulu tau memasak dan membersih je. Tak pandai nak mengemas dan menyusun atur...

Hobi baru babah dan umi adalah mengumpul magnet hiasan peti ais. tengoklah koleksi umi dan babah tu!..

8. Sementara babah di JB, umi, abang, kakak, Faei dan opah, Acu serta Mak Ngah balik kampung di Bagan Datoh, Perak menjengah Opah Apit di sana naik kancil atuk.

Sekitar jeti Bagan Datoh.

9. Babah balik dari JB ke Sg. Buloh, kita pergi Bukit Malawati dan Kampung Kuantan Kelip-Kelip di Kuala Selangor. Tapi cuaca hujan.. tak dapat nak naik sampan tengok kelip-kelip. Kalau tak hujan, kita akan tunggu di masjid bersebelahan sehingga maghrib, lepas tu baru kita naik sampan tengok kelip-kelip. Susah nak jumpa kelip-kelip zaman sekarang ni. Kalau tak bawa ke sana, nanti anak-anak babah tak kenal pun kelip-kelip.


10. (21 Disember 2008) Sehari sebelum kita balik JB, babah dengan Abang Adi bawa opah dan atuk babah di Karak ke 2 kenduri kahwin di Kuantan. Umi, kakak dan Faei tinggal di Sg. Buloh. Di sana, lepas pergi kenduri, atuk babah nak pergi rumah kawan haji dia, babah dengan abang Adi dan Mak Cek pergi jalan-jalan bandar Kuantan, Teluk Cempedak dan akhirnya ke Taman Teruntum. Di sana, Abang Adi dapat naik Jeap! Seronok betul dia.. Sampai nak masuk longkang! Nasib baik babah sempat selamatkan abang.


11. (23 Disember 2008) Dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh ke Johor Bahru, kita singgah di Melaka. Singgah tu semata-mata untuk babah bawa kita semua naik menara Taming Sari. Memandangkan hari tu babah naik sorang-sorang masa babah kursus di Melaka, so kali ni babah nak bawa kita semua naik menara tu dan menikmati pemandangan Kota Melaka. Lepas turun, kita semua ke Ayer Keroh untuk solat Maghrib dan makan malam, dan terus menyambung perjalanan pulang ke Johor Bahru.


13. (26 Disember 2008) Tanpa dirancang, lepas kita pergi tengok tapak rumah kita yang sedang rancak proses pembinaannya di Kempas Utama, kita pergi mandi kat kolam mandi Star Hill Golf Resort di Kempas Johor Bahru. Seronok betul anak-anak babah mandi. Esoknya, babah belikan kolam mandi angin kat Tesco, babah letak kat garaj kereta. Dari pagi sampai petang anak-anak babah mandi. Tapi lupa ambil gambar masa kat kolam sendiri tu. Lain kali la babah ambil gambar ya!


14. (27 Disember 2008). Sehari sebelum kita hantar Mak Ngah balik ke Sg. Buloh, malam minggu tu kita pergi Danga Bay. Dah lama tak datang Danga Bay malam-malam. Begitu meriah sekali Danga Bay pada waktu malam. Apa lagi.. anak-anak babah ni macam dah tak keruan bila melihat banyak betul mainan-mainan tema. Lepas naik itu nak naik ini.. lepas tu yang itu.. lepas tu yang itu.. Lama-lama umi dah naik hot.. :) Kita pun balik..


Semuanya menjadi memori untuk famili kita.. Moga cuti sekolah akan datang, kita dapat berjalan dan melancung ke tempat-tempat lain pula..

PERMOHONAN DITUTUP

DUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA JAWATAN KOSONG SEPERTIMANA YANG DIIKLANKAN DI BAWAH TELAHPUN DI ISI

MAAF.. PERMOHONAN ANDA TELAH TERLEWAT

SEBARANG SURAT MENYURAT TIDAK AKAN DI LAYAN



Hehehe.. :) melawak je..

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............