8 TAHUN


Alhamdulillah..
Aku bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup..
Aku yakin..
Bahawa pasangan hidupku ini adalah pasangan terbaik
yang Allah tentukan untuk hidupku
Sesungguhnya..
Ketentuan Allah adalah yang terbaik..

Mior Syazril & Izan
22.02.2001 - 22.02.2009

HANGAT!!...

Umi.. kenapa umi buat babah macam ni? Sampai hati umi buat babah macam ni.

Bukankah ulang tahun perkahwinan kita yang ke8 bakal tiba lagi 2 hari saja lagi. Kenapa situasi ini harus timbul?

Mungkin umi tak tahu kenapa babah tulis macam ni. Walaupun umi rahsiakan semuanya dari babah, tapi babah dah tahu segala-galanya. Semuanya abang Adi dah ceritakan pada babah.

Hari ini sudah hari ke3 babah terpaksa menjemput abang Adi balik dari sekolah agama. Semua ini kerana umi yang terpaksa ke mesyuarat di SMKA Johor Jaya yang dah masuk hari ke3. Maka, terpaksalah babah mengambil alih tugas umi menjemput abang Adi balik, dan waktu babah menjemput abang Adi ni lah segalanya telah terbongkar. Sampai hatimu umi...

Tatkala abang Adi buka saja pintu kereta babah, belum sempat pun ianya ditutup kembali, lantas saja dengan penuh semangat abang Adi berkata,

"Babah, abang ada cerita hangat! Abang ada cerita hangat!"

Sambil berbeliak-terbeliak mata abang Adi yang beriya-iya nak bercerita dengan babah. Mungkin sudah lama abang Adi memendam cerita hangatnya itu hingga ia nampak bersungguh-sungguh betul nak bercerita.

"Apa yang cerita hangat tu abang..? Kut ye pun, tutuplah pintu kereta tu dulu.."

Setelah abang Adi menutup pintu kereta, terus abang Adi bercerita dalam keadaan yang termengah-mengah dan tergagap-gagap dia tu..

"Babah nak tahu, masa abang tengah buat kerja Sains kat sekolah, abang nampak ada tiga orang budak tahun enam mengorat umi.. babah! Abang tengok je budak tahun 6 tu tersenyum-senyum kat umi. Abang pun tak tahu budak tahun 6 tu nak cakap apa kat umi, sebab abang tak dengar apa-apa pun. Betul babah! Budak tahun 6 tu mengorat umi. 3 orang babah!"

Kah kah kah kah...
Babah geli hati betul dengar cerita abang. Nak marah sebab tunggu dia lama kat tepi jalan tu tak jadi nak marah. Malah digeleteknya hati kita dengan cerita kelakar abang tu.

"Oooo, itulah dia cerita hangat abang tu ye!? Kalau itulah cerita hangatnya abang.. memang hangat betullah tu! Betuah punya anak." :)

Hai lah anak, engkaulah permata, engkaulah penyejuk jiwa.

Umi, kita bakal meraikan ulang tahun perkahwinan kita yang ke 8 pada 22 Feb ni. Niat babah nak tulis cerpen bersiri tentang kisah kita dulu-dulu, sebelum dan selepas kita berkahwin. Tapi sibuk sangat lah pulak! tengoklah bila ada masa terluang, babah akan tuliskan juga. Bukan apa, sebagai catatan dan kenangan yang paling manis dalam hidup kita untuk ditatap oleh anak-anak kita satu hari nanti. Mungkin boleh dijadikan panduan dan sempadan bagi mereka apabila tiba waktunya untuk mereka pula menempuhnya kelak.

Hai lah hangat... :)

............................

Sebenarnya petang tadi masa babah taip dah post entri ni, entri ni habis kat sini je.
Tapi, malam ni babah terasa nak sambung sikit endingnya. Bukannya apa, petang tadi masa babah taip dan post entri ni umi tak balik pun lagi dari mesyuarat. Tapi bila umi dah balik dan selepas umi baca entri ni lepas solat maghrib tadi, rasanya macam nak tambah sikit je lagi ending dia.

:)
Umi tergelak besar bila baca entri yang terbaru ni.
Sebab apa? Sebabnya umi cakap yang budak tiga orang yang senyum-senyum kat umi tu bukan budak darjah 6, tapi budak-budak pendidikan khas (yang besar-besar badannya tu). Tapi abang yang tak tahu apa-apa, dia kata budak-budak tu budak tahun 6. Eh, silap! Bukan tahun 6, tapi tingkatan 6. Sebab badannya memang besar semacam. Abang kata abang agak je sebab abang tengok badan dia besar sangat! :)

GENG! Upin & Ipin

Memang best!.. Betul betul betul best punya..

Selama lebih kurang 2 jam kita satu family menonton panggung cerita Upin & Ipin di TGV Jusco Tebrau di sini, memang tidak sedikit pun mendatangkan rasa jemu dan bosan. Dari cerita itu bermula sehinggalah nak melangkah keluar.. kita semua dan penonton-penonton yang lain asyik ketawa sahaja melihat lucunya watak-watak dalam movie GENG Upin & Ipin tu. Sampaikan umi dan babah tak henti-henti mengesat air mata dek kerana lucunya watak-watak mereka. Memang tidak perlu disanggah lagi. Sejuta tahniah kepada team Les'Copaque Production yang telah menerbitkan filem animasi keluarga yang sebaik ini. Tak lupa untuk anak sedara Pak Lang (anak sedara sebelah Mak Lang @ anak kakak Mak Lang) yang merupakan salah seorang daripada animator Upin & Ipin sedari awal kemunculan 2 watak yang mencuit hati ini di Malaysia.

Sebenarnya kita tak rancang pun nak pergi menonton Upin & Ipin malam minggu semalam. Tapi kebetulan Pak Lang satu family datang minum petang di rumah kita petang sabtu tu, dan mereka telah menyatakan hasratnya untuk pergi menonton Upin & Ipin bersama 4 orang anak mereka pada malam hari yang sama. Kebetulan juga babah sebelum ni sudah 'ter'janji dengan abang Adi untuk bawa abang pergi menonton Upin & Ipin di panggung ketika memujuk abang yang buat perangai baru-baru ni. So, tertunailah sudah janji babah pada abang. Janji abang pada babah pula macammana? Boleh mengaji lancar-lancar tak!? Jangan selalu hilang fokus lagi ye bila mengaji!

Kelakarnya abang Adi bila menonton movie Upin & Ipin malam semalam. Di tengah-tengah debaran Upin, Ipin dan gengnya dikejar ular raksasa, abang bersuara kuat pada babah.. "Babah! Bila kita nak balik ni! Jom la kita balik.. Abang takut!" Alamak! Itulah abang Adi.. Kalau menonton cerita tu, macam dia pulak yang masuk dalam cerita tu. Punyalah menyelami perasaan-perasaan pelakon-pelakon tu. Sampai betul-betul abang takut pada ular raksasa dalam cerita tu. Tapi, babah ingat abang sorang saja yang macam tu. Selang seminit dua, bila bunyi cerita tu sunyi seketika, babah terdengar pula suara budak lelaki di belakang tempat duduk kita berkata pada ayahnya "Ayah.. jom la kita balik!"... Hehehehe.. Babah ingat abang Adi sorang je yang menyelami betul-betul cerita tu.. Rupanya memang sifat kanak-kanak macam tu agaknya...

Apapun... kita semua enjoy menonton malam tu. Punya la ramai budak-budak dalam panggung TGV tu. Semua datang dengan family masing-masing. Kecik besar tua dan muda semuanya ada. Memang meriah betul dengan suara budak-budak.

Malangnya, bila kita keluar dari panggung lebih kurang pukul 11 lebih, tuh diaaaa... berbaris orang nak bayar parking di kaunter. Rupanya malam semalam malam laknat rupanya.. (valentine day) Babah tak teringat langsung! Babah dan Pak Lang bergegas dari satu kaunter ke satu kaunter.. Namun semuanya penuh dan berbaris panjang. Akhirnya kami kembali kepada Mak Lang yang telah masuk barisan dari kaunter yang kedua tadi dan akhirnya dalam tempoh tak sampai sepuluh minit, urusan bayar parking pun selesai.

Masuk kereta je, tak sempat keluar dari parking lagi abang dan kakak sekali lagi terus menyelami cerita penuh aksi dan kelakar dalam Pengembaraan Upin & Ipin itu tadi.. tapi kali ini dalam mimpi kalian.. Kesian, penat... :)

JJC408 tinggal kenangan...

Kalau ikut hati.. babah sayang sangat motor Kriss Modenas babah ni.
Usianya belum sampai 4 tahun. Tapi dah dekat-dekat dah..

Babah dan umi beli waktu kami dapat duit elaun maktab yang pertama masa kami di maktab awal tahun 2005 dulu.

Masa tu motor ni memang betul-betul berjasa.. Babah dan umi jarang naik kereta. Kereta kita masa tu hanya disimpan di rumah saja. Hanya digunakan diwaktu betul-betul perlu sahaja.

Duit elaun maktab yang babah dan umi dapat RM1300 seorang sebulan masa tu bukanlah untuk dibelanja kepada minyak kereta semata-mata. Tetapi, babah dan umi lebih pentingkan makan minum dan susu kalian berdua sahaja (Faei masih belum lahir). Motor inilah yang membuatkan babah dan umi dapat berjimat duit belanja bulanan ketika itu, semata-mata untuk membesarkan kalian berdua.

Tetapi, setelah sekian lama motor ini tersadai disudut rumah kita, akhirnya babah dengan rela hati melepaskan motor ini pergi...

Memang telah sekian lama motor ini tidak digunakan. Bukannya rosak!.. bukan juga sudah buruk... Malah masih cantik lagi rupa bentuk parasnya... Tak pernah eksiden...

Tapi kesempatan babah untuk menggunakan motor tu sudah tidak ada lagi. Kalau nak ke sekolah dengan motor memang bahaya. Tambah lagi rumah sewa sekarang dah makin jauh. Terpaksa melalui highway untuk masuk ke bandar dan sekolah babah. Memang babah tak berani nak bawa. Kereta semua laju-laju... Silap-silap disenggolnya babah... Kalau nak bawa ke kedai pula... Motor ni selalu tersepit di celah dinding rumah bila babah dah masukkan 2-2 kereta dalam garaj. Daripada babah terpaksa keluarkan salah satu kereta untuk keluarkan motor, lebih baik babah terus sahaja bawa kereta tu ke kedai.. Kan lebih mudah...

Jadi, dengan cadangan dari babah sendiri agar motor babah ni di kirim ke kampung untuk kegunaan atuk di Karak. Lagipun atuk dah tak ada motor sebab motor atuk telah diambil oleh Pak Itam Chair untuk kegunaannya selama tempoh praktikal.

Tak pelah.. daripada motor tu rosak tidak bergerak.. lebih baik atuk yang guna..

Semalam (13 Februari 2009 - Jumaat) babah pun dengan rela hati melepaskan JJC408 itu pergi ke Karak dengan menaiki Pos Laju. RM184 kos penghantaran motor tu. Tetapi berbaloi juga dengan cepatnya motor tu sampai. Semalam dalam pukul 3.30 petang babah hantar motor tu di Pejabat Pos Laju Larkin Johor Bahru ni, pagi ni tadi pukul 8 pagi Pejabat Pos Laju Bentong dah telefon atuk suruh datang ambil motor tu. Cepat betul!

Sekarang motor tu dah selamat berada di Karak... biarlah atuk yang guna pula...
Motor tu telah menjadi kenangan dalam diri babah dan umi...

Hmm...
Macam-macam peristiwa dan kenangan yang ada pada motor ni...

Pernah suatu ketika babah dan umi basah lencun dalam perjalanan menuju ke kelas di MPTI (kini IPTI).

Pernah juga waktu mula-mula beli motor ni, umi jatuh ketika umi menungganggnya ke kedai di rumah sewa lama kita di Taman Bukit Mutiara. Kata umi masa tu umi nak membelok, tetapi motor tu terlalu berat lalu umi pun jatuh bersama motor tu. Bila balik ke rumah dan setelah diberitahu kepada babah, babah terus melihat luka motor terlebih dahulu dari melihat luka yang ada pada umi. Isk isk isk... :(

Pernah juga beberapa kali kita berempat beranak ketika itu bersiar-siar di sekitar Johor Bahru dengan menaiki motor tu. Yang kelakarnya dah separuh jalan, umi baru perasan yang umi terlupa nak pakai topi keledar... Terpaksa patah balik ke belakang... Kelakarlah umi ni!

Pernah juga sesekali dua kita pergi shoping di Plaza Angsana dengan menaiki motor. Bila siap membeli baru teringat yang waktu tu kita naik motor. Habis barang-barang nak letak mana!? Terpaksa umi pegang kiri dan kanan, selit sana selit sini...

Pernah juga berlaku satu peristiwa yang tak dapat babah lupakan sampai bila-bila.. Walaupun bukan kerana motor ini, tetapi peristiwa itu berlaku dengan menaiki motor ini. Peristiwa memalukan yang berlaku kepada babah gara-gara Abang Adi.. Waktu tu abang baru belajar tak guna pampers. Babah dan abang naik motor tu pergi ke bank BSN untuk babah cucuk duit elaun maktab. Sesampai di ATM BSN, punyalah ramai orang beratur. Ada lebih kurang 10 orang. Disebabkan babah dah tak de duit untuk dipegang dalam poket, babah beratur juga di belakang sekali sementara menunggu giliran untuk mengeluarkan duit tu. Abang Adi yang mengikut babah pula sibuk bermain dengan burung-burung dalam sangkar yang ada di kedai sebelah BSN tersebut. Dari giliran babah yang entah ke berapa belas sampailah hanya tinggal seorang sahaja lagi untuk sampai giliran babah men'cucuk' duit, tiba-tiba abang tarik-tarik seluar babah sambil mengatakan abang dah terberak dan t*** nya telah berketul-ketul di atas lantai depan BSN tu. Orang di belakang babah sama ramai macam mula-mula babah sampai tadi. Babah terus tak jadi nak 'cucuk' duit, terus angkat abang ke motor yang babah park tepi BSN tu dan terus memecut balik ke rumah meninggalkan sisa abang yang bertaburan di lantai depan BSN tu. Maluuuuuuuuuuuunya tidak terkata... Dalam perjalanan pulang, tanpa dapat mengawal hati dan perasaan babah, berkali-kali babah mencubit peha abang kerana telah memalukan babah... Dan bila sampai di rumah, umi pula ketawakan babah bagai nak pecah perut... Adaka patut!? ;)

Tinggal kenangan...



Hari Keluarga PIBG SK Taman Suria

Ahad, 8 Februari 2009 - Program Hari Keluarga PIBG SK Taman Suria (sekolah babah) telah diadakan di Mutiara Motor Resort, Sedili Johor.

Alhamdulillah.. pada tahun ini babah dapat menyertainya bersama-sama dengan guru-guru sekolah babah dan AJK PIBG.

DEMAM
Pada awal rancangannya, kesemua kita akan pergi ke sana termasuk bibik. Malangnya, bila tiba masa untuk bertolak, abang Adi yang demam sejak malamnya tiba-tiba muntah dan tidak bermaya. Akhirnya, abang terpaksa ditinggalkan bersama bibik di rumah untuk berehat. Hanya babah, umi, Kakak Iman & Faei sahaja yang akhirnya ke sana.

Sejak balik dari kenduri cukur jambul di rumah Mak Lang sehari sebelumnya, abang dah mula dedar badannya. Kata umi, puncanya mungkin ia terlalu seronok bermain di sana sehingga tidak hiraukan makan dan minum. Bila ditanya katanya sudah makan dan tak nak makan. Asyik mengulang meneguk air oren sahaja kata bibik. Akhirnya bila pulang ke rumah, badannya mula panas.

Malam tu Abang tidur awal kerana excited untuk pergi ke Hari Keluarga sekolah babah di pantai Sedili. Dan bila abang bangun pagi, memang panas demamnya telah pulih. Namun tidak disangka pula rupanya kepalanya masih berat dan ketika kita betul-betul hendak bertolak, abang muntah di meja makan dan terus lembik tidak bermaya. Kasihan abang... Terpaksa ditinggalkan walaupun abang beriya-iya nak ikut sama pergi pantai sejak dari malam lagi. Dan babah umi pun berjanji untuk pulang awal dari hari keluarga tersebut. Tak sedap pula kalau tak pergi memandangkan kita semua dah bersiap. Dah start kereta pun.. Tambahan lagi babah dah janji dengan jawatankuasa hari keluarga tersebut untuk turut sama menyertainya tahun ni.

HARI KELUARGA

Perjalanan dari rumah kita di Seri Austin menuju ke Mutiara Motor Resort, Sedili mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Cuaca yang cerah seolah merestui program tersebut diadakan pada hari ini. Oklah tu.. Hari minggu! Esoknya pula cuti sempena Hari Thaipusam yang jatuh pada hari ini. Boleh lah berehat sehari sebelum ke sekolah semula pada hari Selasa.

Kita sampai ke Mutiara Motor Resort tu pada jam lebih kurang 9.30 pagi. Nasib baik acara belum dimulakan lagi. Kehadiran kami tepat pada masanya. Sejurus kami bersalam-salaman, barulah pengerusi majlisnya mengumumkan untuk berkumpul dan pembahagian kumpulan dibuat untuk acara sukaneka.

Umi telah dimasukkan dalam kumpulan YDP PIBG (En. Jamil bin Karsin), manakala babah pula dalam kumpulan NYDP (Pn. Hjh Rubiah) bersama-sama dengan beberapa orang guru dan AJK PIBG yang lain.

Sehingga makan tengahhari sebelum kita bertolak balik, 4 acara daripada 6 acara sukaneka telah dijalankan dan babah dapat menyertainya. Acara dimulakan dengan pertandingan lari dalam guni, terompah gergasi, tiup gula dalam tepung dan futsal 4 sebelah.

Kumpulan babah (Kumpulan NYDP) telah menjuarai ketiga-tiga pertandingan yang mula-mula. Namun begitu, tendangan babah yang terakhir dalam acara yang keempat iaitu pertandingan Futsal 4 sebelah telah menyelamatkan kumpulan babah dari mendapat tempat terakhir dalam pertandingan futsal tersebut. Tendangan babah di saat-saat terakhir itu menjadikan mata 2-1 menentang kumpulan Bendahari yang akhirnya menempatkan kumpulan babah di tempat yang ke3. Manakala kumpulan umi (Kumpulan YDP) telah menjuarai pertandingan futsal tersebut setelah ketuanya bertindak membeli pemain (Cikgu Bahagia - cikgu PJ) dari kumpulan lain untuk bertanding bagi pihak rumahnya. :)


Tendangan babah di saat-saat terakhir masa penentuan yang menempatkan kumpulan babah (Kumpulan NYDP) di tempat yg ke3 dengan gol 2-1 menentang Kumpulan Bendhari dalam pertandingan futsal, Hari Keluarga PIBG SKTS 2009

video
Babah lari dalam guni... Johan!

video
Kumpulan babah johan lagi.. terompah gergasi pulak!


PERSEKITARAN MUTIARA MOTOR RESORT


Sekitar Majlis Cukur Jambul & Hari Lahir Di Rumah Mak Lang

Sabtu, 7hb Februari 2009, bersamaan 11 Safar 1430H, satu majlis kesyukuran atau cukur jambul puteri bongsu Mak Lang & Pak Lang, Amirah Umairah yang telahpun berusia lebih kurang 3 bulan, dan majlis sambutan ulang tahun putera dan puteri Pak Lang & Mak Lang, Meor Syarifuddin (Along Uddyn), Ainnur Mardhiah (Kak Ainnur) dan Meor Shahminuddin (Shahmi) telah diadakan di rumah mereka di Taman Desa Jaya, Johor Bahru.

Semoga Allah mengurniakan keberkatan, kemuliaan dan kebahagiaan untuk Pak Lang & Mak Lang sekeluarga dunia dan akhirat...

Berikut adalah beberapa rakaman gambar dan video melalui telefon bimbit umi...


video

video

video

Cuti dah habis..

Esok, kita semua akan kembali ke sekolah setelah sembilan hari bercuti sempena Sambutan Hari Raya Cina tahun ini. Semangat anak-anak babah untuk kembali ke sekolah nampak seperti biasa. Tidak seperti pada awal tahun dulu. Kalian memang berkobar-kobar untuk pergi ke sekolah setelah begitu lama bercuti. Ditambah lagi dengan kelengkapan-kelengkapan persekolahan yang baru ketika itu, semuanya nampak begitu bersemangat. Namun kali ini, tiada satu pun barang yang baru yang akan kalian bawa ke sekolah esok. Yang baru mungkin pengalaman sepanjang cuti sembilan hari ini.

Cuti raya cina kita pada tahun ini, nampak seperti hambar sahaja. Sebabnya kita tidak ke mana-mana pun sepanjang sembilan hari ini. Dan kita juga tidak didatangi sesiapa pun dari kampung seperti cuti-cuti raya cina pada tahun-tahun sudah. Pada asalnya 2 family abang dan kakak babah dari Ampang akan bertandang ke rumah kita barang semalam dua di sini telah membatalkan hasrat mereka dek kerana jalan raya pada ketika itu yang terlalu sibuk. Tak mengapalah. Tak ada rezeki mereka nak datang sini cuti raya cina kali ini. Kali terakhir mereka datang memanglah pada cuti raya cina pada tahun 2008 yang lepas.

Sepanjang sembilan hari yang lepas kita hanya bercuti di rumah sahaja. Rehat dengan sepuas-puasnya.. Sampaikan si Faei pun dah tak tahan duduk lama-lama di rumah, mencapai kunci sendiri dan cuba untuk membuka pintu pagar untuk keluar. Mencuba selagi mampu dan akhirnya mengamuk keseorangan kerana gagal membuka mangga pagar tu. Kasihan...

Namun kita juga ada melakukan aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang lain seperti aktiviti berendam dalam kolam angin besar dalam bilik air babah! Berjam-jam lamanya kalian duduk berendam dalam kolam dalam bilik air tu. Babah la ketuanya! Sebab itu gambar-gambarnya tidak boleh disiarkan di mana-mana. :) Hehehe... Dek kerana terlalu seronok bermain air, sampaikan kakak jatuh terlentang ke lantai. Asalnya hanya benjol biasa. Tidak menangis, cuma meng'aduh-aduh' saja. Tapi bila babah nak melihat dan memegangnya, kakak kata sakit. Sampailah sudah hari ketiga selepas kakak jatuh tu, baru babah dapat melihat tempat kepala kakak yang jatuh tempoh hari. MasyaAllah! Teruk juga! Koyak kulit kepalanya! Tapi lukanya sudah kering... Bila dilihat umi, apalagi lah! Mulalah bising mulut umi kerana membiarkan luka tersebut tanpa diketahuinya... Lantas umi pun terus mencapai minyak gamat dan menyapu di kepala kakak... Isk isk isk.. Kalau ke klinik garenti kena jahit punya...

Selain aktiviti bermain air di bilik air, babah juga mengaturkan beberapa siri latihan matematik untuk abang dan kakak sepanjang cuti sembilan hari ini. Babah tahu anak-anak babah ni memang suka matematik. Sebab itu babah sedaya mencari latihan-latihan matematik di internet dan mencetaknya untuk kalian selesaikan semua soalan yang diberikan. Memang abang dan kakak cukup minat dengan matematik, lebih-lebih lagi kakak. Semua soalan kakak yang siap dulu berbanding abang. Sampaikan babah mengatakan lebih baik kakak lah yang masuk darjah 1 sama-sama dengan abang! Tulisannya besar, jelas dan terang. Nombor-nombornya bulat dan tepat. Berbanding dengan si abang yang konon-konon nak tunjuk terer menulis dengan cepat.. tapi banyak bentuk nombornya yang tidak cantik. Isk isk isk.. Apapun, kalian berdua memang anak-anak yang bijak.. Semuanya dapat dijawab dengan betul dan baik. Tahniah..
Selain latihan matematik yang babah beri, babah juga melatih abang dan kakak mengira duit. Bermula dari 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen sampailah seringgit. Sampai menangis-nangis lah abang kena marah dengan babah sebab lambat faham nak kira duit. Kakak pun jadi kecut nak ikut belajar... Tapi bila babah trick lawak sikit, pembelajaran jadi seronok kembali. Hasilnya, hampir 80% la abang dah boleh menguasai pengiraan duit-duit kecil. Tahniah..
Selain itu juga, kita adakan pertandingan mewarna, menulis tulisan cantik dan tak lupa pertandingan baca lancar Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris. Semua tu telah dirancang oleh babah dan umi untuk kalian sepanjang cuti sembilan hari yang lalu

Hmm.. Sesuatu yang lain dari yang lain pada hari raya cina kali ni juga adalah jalan raya yang lengang dan kosong. Memang susah nak jumpa time2 siang macam ni jalan raya lengang tanpa satu kenderaan pun!.. Seronok berjalan... Raya cina kedua tempoh hari kita keluar jalan-jalan ke bandar JB. Perjalanan yang tanpa haluan. Sengaja nak bawa anak-anak babah ambil angin luar dari terperap di rumah sahaja. Bila sampai persisiran Pantai Lido menempuh Zoo Johor, babah terus membelok dan untuk kali yang ke berapa puluh sejak kita tinggal di JB, kita pun melawat lagi binatang-binatang yang macam sakit je dalam kurungan tu..
Selain jalan-jalan ke bandar, kita juga sempat menziarahi Ammu Ali Hanapiah di rumahnya di Taman Perling. Besar dan cantik rumah Ammu Ali. Kita ke sana dengan menaiki Grand Livina Ammu Khir. Kehadiran kita ke sana adalah undangan Ammu Ali yang mahu menjamu kita semua nasi Maqlubah Arab!.. Memang best betul Ammu masak. Babah makan sampai dah tak de space dalam perut. Ammu hidang pulak kek pisang yang panas berasap.. Fuh! Memang kekenyangan.. Nak balik, diberi pula bungkusan makanan yang kita makan tu.. Memang pemurah sungguh Ammu Ali... Sayangnya tiada sekeping gambar pun yang sempat babah rakamkan pada waktu tu. Babah betul-betul terlupa kerana terlalu seronok bersembang dan makaaannnn....

Dan akhir sekali, mungkin sesuatu yang boleh dikatakan ciptaan sejarah hidup abang Adi, bila abang buat pertama kalinya berjaya menunggang basikal 2 roda. Sebelum ni memang abang bawa basikal 2 roda kecil di belakang. Kasihan pula babah lihat abang dah besar pun masih guna roda kecil tu. Babah pun sengaja membuka roda kecil tu dan menyuruh abang menunggangnya. Dengan tak disangka-sangka, rupa-rupanya abang sudah pun pandai menunggang sendiri! Cuma apabila membelok abang kelihatan cuak dan takut terjatuh. Apapun tahniah lagi sekali untuk abang.
pst.. abang darjah 1 dah pandai tunggang basikal 2 roda. Babah dulu darjah 4 baru pandai!

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............