Selamat Jalan Babah

Belum pun sampai 24 jam kita semua memberi lambaian selamat jalan pada babah, kakak dan abang dah menyebut- nyebut nama babah. "Abang, babah dah pegi satu kan? babah kata pegi tiga puluh, banyak lagi kan bang?" tanya kakak tentang babah seolah- olah baru perasan yang pemergian babah ke kursus kali ini agak luar biasa lamanya dari yang sebelum- sebelum ini.
Abang dengan spontan terus menjawab "Aah la Man, banyak lagi la". Umi pun terus menegaskan pada Abang Adi dan Iman yang babah akan balik lama lagi. Jadi umi sarankan pada mereka janganlah asyik mengira hari, nanti terasa lamanya.
Sememangnya anak-anak umi ini pasti akan mengira hari, bilakah babah mereka akan balik dan seperti kebiasaan akan menuntut apa-apa yang biasanya babah dah 'MOU' kan pada abang dan kakak..heheh
Yang pasti umi dan anak-anak akan mendoakan babah sentiasa sihat dan dapat menjalankan misi yang diamanahkan sebaik mungkin. Insya-Allah..

Ujian Bulanan Pertama Abang Adi di SK Kangka Tebrau


Ujian dah selesai. Markah pun dah dapat. Inilah hasil usaha pertama abang di SK Kangka Tebrau, Johor Bahru ni. Walaupun tak capai target nak dapat semua 100%, tapi pencapaian abang sudah cukup membanggakan umi dan babah. Ujian kedua nanti abang buat lebih baik ye!

Kertas ujian Pendidikan Islam : 100%
Kertas ujian Bahasa Melayu Pemahaman : 100%
Kertas ujian Bahasa Melayu Penulisan : 96%
(dua kesalahan dari soalan yang mengelirukan)
kesalahan abang dalam memilih jawapan yang paling tepat.
Kertas Ujian English : 98%
Kertas Ujian Sains : 88%

Bahasa Melayu Pemahaman : 100%
Bahasa Melayu Penulisan : 96%
Bahasa Inggeris : 98%
Matematik : 98%
Sains : 88%
Pendidikan Islam : 100%

Kenangan kelmarin... Entri khas untuk Ammu Yoman..

Kenangan kelmarin amat berharga buat babah...
Ammu Yoman atau nama sebenarnya Khairul Azman dari blog ceritakudat adalah abang angkat babah yang dah hampir 10 tahun babah tak jumpa. Maka, kelmarin adalah titik pertemuan pertama kami setelah terpisah sejak tahun 2000 lagi. Perpisahan kami ketika itu adalah kerana tamat belajar di Universiti al-Albayt, Mafraq Jordan. Ammu pulang bersama isteri tercinta iaitu Acik Kak Bie. ;)

Sebenarnya perkenalan babah dan ammu tidaklah begitu lama sebelum titik perpisahan terakhir tahun 2000 tu. Seingat babah, babah mula mengenali ammu ketika babah di tahun 3 pengajian (1998) sedangkan ammu pula di tahun akhir. Hanya lebih kurang 2 tahun sahaja perkenalan babah dan ammu sebelum perpisahan itu. Tetapi titik pertemuan pertama babah dan ammu itulah satu titik rahmat dalam hidup babah. 2 Tahun bagaikan berkurun lamanya. Pertemuan yang tidak dirancang dalam satu rehlah ilmiah ke Laut Mati ketika itu, telah menemukan hati-hati kami di jalan Allah dengan penuh ukhuwah dan kasih sayang yang berpanjangan sehingga ke hari ini.

Terus terang babah katakan... Sebelum babah mengenali ammu, hidup babah ibarat kapas yang berterbangan. Selama tiga tahun pengajian babah di Jordan (sebelum mengenali ammu), babah hanya mengikut kata hati dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di sana. Setiap apa yang babah lakukan tiada siapa yang halang dan memaksa. Babah bebas tanpa kawalan sesiapa. Hidup babah ketika itu terumbang ambing dibuai gelombang kehidupan yang melalaikan.

Namun setelah babah mengenali ammu, hidup babah banyak berubah. Ammu banyak membimbing dan menegur salah silap babah. Tetapi yang babah hairan ketika itu, mengapa setiap teguran ammu, semuanya tidak pernah mendatangkan malu apalagi rasa marah kerana ditegur. Nasihat dan teguran ammu telah jatuh nun jauh ke dalam lubuh hati babah. Betul-betul memberi kesan dalam hidup babah. Tidak pernah sekali pun babah merasa rimas dengan teguran-teguran yang ammu lemparkan pada babah. Tidak pernah sekalipun babah rasa benci untuk bertemu dengan ammu lantaran babah sedia maklum bila babah bertemu dengannya, babah pasti akan ditegur.

Sebelum babah mengenali ammu, babah jarang sekali menghadiri majlis-majlis ilmu di sana selain kelas-kelas wajib di kuliah. Masa dan kehidupan babah tidak terisi! Tiada sesiapapun yang mendampingi babah dan mengajak babah untuk memperbaiki mutu kehidupan sebagai hamba Allah di sana.

Namun, setelah pertama kali babah diajak untuk menghadiri satu majlis ilmu yang dipimpin sendiri oleh ammu, babah telah diminta untuk bercakap tentang sesuatu tajuk (tazkirah) di situ. Itulah kali pertama bagai nak tercabut jantung babah lantaran tidak pernahnya babah melakukannya sebelum daripada itu. Tapi dek kerana rasa hormat pada ammu, babah tetap meneruskan penyampaian babah ketika itu. Malangnya, babah sendiri tidak faham apa yang babah sampaikan. Pelik betul!

Dan ketika itulah satu ayat keramat ammu yang babah ingat sampai ke hari ini. Setelah majlis itu tamat dan ketika babah menikmati juadah yang dihidangkan, ammu menghampiri babah dengan senyumannya yang sungguh manis, lantas membisikkan sesuatu ke telinga babah dengan penuh kelembutan dan pujukan..

"Mior.... bila kita bercakap.... bercakaplah dari hati. Kerana setiap percakapan yang keluar terus daripada hati... akan terus juga jatuh ke hati orang-orang yang mendengarnya..."

Itulah kata-kata keramat ammu untuk babah yang masih babah pegang dan ingat sampai ke hari ini. Barulah babah faham kenapa babah tidak pernah kecil hati dan marah kepada setiap teguran yang ammu berikan pada babah. Rupa-rupanya ammu menegur babah dari hatinya yang tulus ikhlas dan suci. Ikhlas kerana Islam. Ikhlas kerana ukhuwah. Kerana itu babah juga dapat menerimanya dengan ikhlas dan redha. Memang babah sentiasa menjadikan kata-kata ammu itu sebagai panduan untuk babah sehingga ke hari ini.

Satu lagi kata-kata hikmat ammu yang babah pegang sehingga ke hari ini ialah kata-kata ammu ketika babah dan umi baru sahaja berkahwin. Ketika itu ammu sudah tidak ada lagi di bumi Jordan. Hanya melalui email dan chating sahaja babah dan ammu berhubung. Kata-kata ammu yang amat berharga buat babah ketika itu yang masih babah pegang sehingga ke hari ini...

"Mior... Sebelum berkahwin, kita melihat pasangan kita adalah yang paling sempurna untuk kita. Tetapi setelah berkahwin, satu persatu kelemahan pasangan kita itu akan kelihatan dan amat menyakitkan. Maka, setiap kelemahan yang timbul itu sebenarnya boleh menjadi sempurna dengan tanggungjawab kita sebagai penyempurnanya..."


Anak-anakku...
Ammu adalah sahabat dan abang terbaik buat babah. Kenangan babah bersama ammu tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Bagaimana babah pernah dijirus ammu di atas katil kerana tidak bangun solat subuh berjemaah di masjid. Bagaimana babah diheret menghadiri majlis-majlis ilmu dan qiamullail.. Bagaimana babah ditekan supaya sentiasa berdampingan dengan al-Quran dan Mathurat setiap pagi dan petang... Semua itu adalah kenangan apa yang telah dilakukan ammu kepada babah. Namun babah tidak pernah rasa marah pada ammu. Babah tidak pernah rasa benci pada ammu. Malah sentiasa rasa tenang dan bahagia. Rasa seronok dan bersyukur. Kerana setiap dakwah atau ajakan yang dilakukan ammu kepada babah sungguh penuh HIKMAHNYA...

Tidak sampai pun setengah tahun babah berdampingan dengan ammu. Jodoh ammu telah pun sampai di sana. Ammu berkahwin dengan Acik Kak Bie pada tanggal 30 Ogos 1998. Tarikh tersebut masih kekal dalam ingatan babah. Biarpun babah sedih kerana babah sedar akan keadaan tidak lagi memungkinkan babah serapat seperti sebelumnya dengan ammu, kerana selepas itu tidak akan ada lagi kongsi dapur untuk memasak.. tidak akan ada lagi ma'rad Palestin (pameran Palestin) kedua yang akan kami sama-sama usahakan... tidak akan ada lagi rakaman nashid untuk album nashid seterusnya... tetapi babah tetap gembira dan berterima kasih kepada ammu, kerana telah memberi kepercayaan kepada babah untuk menjadi orang pertama yang mengetahui dari kalangan rakan-rakannya tentang berita perkahwinan ammu di sana. Hal ini dinyatakan sendiri oleh ammu... Thanks abe! :)

Pernikahannya juga disaksikan babah yang mana ianya berlaku di mana tempat babah dan umi bernikah lebih kurang dua tahun selepas ammu bernikah. Dan dihari majlisnya, babah sempat menyumbangkan nashid bulan bintang sebagai persembahan di hari majlis perkahwinan ammu. Lagu bulan bintang itu tetap menjadi satu nostalgia berharga dalam hidup babah.

Buat anak-anak babah... ketahuilah...
Sesungguhnya ammu adalah sahabat dan abang yang terbaik dalam hidup babah. Sahabat dan abang yang sentiasa mendorong babah untuk melakukan sesuatu yang terbaik dalam hidup kita yang hanya sekali ini. Biarpun masa telah terlalu jauh menjarakkan babah dan ammu kini, tetapi sesekali berhubung, pasti ada terpalit pautan dakwah dan ukhuwah biarpun ianya kecil.

Bila kalian besar nanti, carilah sahabat seperti ammu. Yang boleh membimbing hidup kita kepada kebaikkan di dunia dan di akhirat. Jauhilah dari mencari kawan yang akan merosakkan diri kita dan membawa kita kepada kelalaian, kemurkaan dan kemaksiatan Allah. Na'uzubillahi min zalik.

Kepada ammu Yoman...
Terima kasih atas segalanya... Terima kasih atas ukhuwah ini... Terima kasih atas kenangan yang berharga yang pernah kita lalui satu ketika dahulu...
Semoga ukhuwah ini berpanjangan... semoga ukhuwah ini berterusan dalam dakwah dan mahabbah...

Pertemuan setelah hampir 10 tahun terpisah... Ammu tidak banyak berubah..

Gambar cover album nashid babah dan ammu

Bersama-sama mengadakan pameran Palestin di rumah sendiri


Hari bersejarah buat ammu dan acik



Dan di sinilah titik pertemuan pertama babah dan ammu
Rehlah Ilmiah ke Laut Mati telah menemukan hati-hati kami
untuk menjalinkan ukhuwah fillah sepanjang hayat... Amin.



Welcome Mak Cek

Ahlan wa sahlan Mak Cek..
Welcome Mak Cek..
Selamat menjadi ahli bayt kita...!

Masih tidak terlambat ucapan ini ditulis di sini meskipun hari ini sudah cukup 9 hari Mak Cek telah menjadi ahli rumah kita.

Sejak 1 April lalu, Mak Cek telah diterima mengajar sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sultan Ibrahim Girl School (SIGS) Johor Bahru untuk mata pelajaran Sains, Bahasa Melayu dll. Walaupun pada awalnya Mak Cek memohon atas tiket guru Pendidikan Islam kerana kelayakan STAM yang Mak Cek ada, tetapi pihak sekolah SIGS lebih berminat kepada degree Business Administration UUM yang Mak Cek ada. Mungkin kerana itulah mereka tidak menyuruh Mak Cek mengajar subjek agama di situ.

Walauapapun, kita semua gembira menerima kehadiran Mak Cek di sini. Bertambah meriahlah rumah kita! Janganlah malu-malu duduk dengan kita. Rumah kita pun rumah Mak Cek juga!

Untuk Mak Cek..
Babah dan Umi doakan Mak Cek tabah hadapi liku-liku hidup sebagai seorang guru di Johor Bahru yang mencabar ni. Tempuhlah segala-galanya dengan fikiran positif dan sahutlah segala cabaran yang diberikan dengan berlapang dada dan penuh semangat. Sesungguhnya bidang pendidikan ini jauh bezanya dengan bidang urusan perniagaan yang Mak Cek ceburi sebelum ini. Semoga Mak Cek bakal menjadi seorang guru dan pendidik yang berjaya satu hari nanti. Babah dan Umi juga doakan agar Mak Cek dapat terpilih ke KPLI untuk ambilan yang akan datang.

Selamat Maju Jaya untuk Mak Cek.

Mak Cek (Wani) ni ialah adik perempuan bongsu babah iaitu anak ke7 dari 9 orang adik beradik babah. Babah anak ke 5. Ertinya bawah Mak Cek ada dua orang lagi adik lelaki babah iaitu Shahir (Pak Itam) dan Syabil (Usyu). Tapi dengar-dengar cerita, Mak Teh (Yanti) iaitu kakak atas Mak Cek dan adik bawah babah, pun teringin nak jadi cikgu juga bila dapat tahu Mak Cek seronok jadi cikgu. Terus tak sabar nak bersalin dan habis pantang, nak apply GSTT juga macam Mak Cek. Hmm.. Elok lah tu.. Meneruskan wasilah arwah atuk Abdul Rahman (ayah opah babah) yang menjadi Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaan Janda Baik, Bentong Pahang.

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............