Selamat Pengantin Baru Mak Andak Anis dan Mak Teh Izzati

Didoakan agar pasangan
Mak Andak Anis dan Pak Andak Akmal Fahim
serta
Mak Teh Izzati dan Pak Teh Asyharul Azfar
kekal bahagia sebagai pasangan suami isteri hingga ke jannah.

Majlis Akad Nikah pada 27 Januari 2017 di Masjid al-Karomah, Kota Bharu









Babah

Travellog Babah ke Kota Bharu..

Hampir tak jadi!
Disebabkan oleh mesej-mesej yang tular mengatakan bumi Kelantan sedang dilanda banjir besar, ditambah dengan andaian jalan sesak sempena cuti Tahun Baru Cina, Babah hampir tak jadi ke Kota Bharu Kelantan. Jemputan Wan Cik dan Tok Cik untuk majlis pernikahan Mak Andak Anis dan Mak Teh Izzati dengan pasangan masing-masing (Pak Andak Asyharul Azfar dan Pak Teh Akmal Fahim) memang tidak sepatutnya Babah abaikan dan menjadikan pelbagai alasan untuk tidak hadir ke majlis mereka. Sudahlah waktu perkahwinan Mak Long Ili dan Mak De Nadia pun Babah dan Ummi tak berpeluang ke sana (hanya berpeluang mengiringi Mak Long Ili ke Kulai sahaja). Kali ini adalah kali terakhir Wan Cik dan Tok Cik menikahkan anak-anak perempuan mereka. Lepas ni dah tak ada lagi anak perempuan Wan Cik dan Tok Cik. Yang tinggal anak-anak lelaki mereka sahaja yang belum berkahwin. Semoga Allah pertemukan segera jodoh Pak Ngah Syafiq dan seterusnya Pak Lang Azri. Yang lain-lain tu sekarang ni masih belum cukup umur lagi! Hahaha...

Majlis yang telah dirancang adalah pada tarikh 28 Januari 2017. Pada hari khamis sebelumnya (26 Januari 2017), sepanjang hari Babah dan Ummi masih berfikir sama ada nak ke Kelantan dengan menaiki kereta atau kapal terbang. Mesej-mesej yang tular tentang keadaan banjir di Kuala Lipis dan Gua Musang merunsingkan Babah seandainya ditimpa musibah ketika dalam perjalanan nanti. Wan Anjang dan Tok Anjang yang sememangnya dari awal ingin menumpang kereta Babah juga menjadi serba salah sama ada ingin meneruskan niat pergi ke Kelantan atau membatalkannya. Bila Babah cuba meninjau-ninjau harga tiket kapal terbang, memang agak mahal kerana terpaksa membelinya di saat-saat akhir. RM400 untuk seorang perjalanan pergi dan balik dengan menaiki kapal terbang memang diluar kemampuan Babah, Ummi, Wan Anjang dan Tok Anjang. Kalau terpaksa juga, Babah akan bersendirian ke sana dengan menaiki kapal terbang. Huh.. Sehingga hampir lewat tengah malam keputusan belum dibuat.

Kerisauan Ummi dan Kebimbangan Babah
Ummi pula risaukan Abang Adi, Kakak Iman dan Abang Faei yang akan ditinggalkan di rumah seandainya Babah, Ummi dan Amin pergi ke Kelantan dengan menaiki kereta. Walaupun Babah mempunyai sedikit keyakinan untuk meninggalkan mereka berbanding Ummi (sebagai latihan berdikari), tetapi apabila Irfan dan Lisa juga masih di rumah kita yang belum dijemput oleh Mak Teh Yanti (walaupun cuti sekolah telah berlalu sehari), Babah mula jadi bimbang. Bila terlalu ramai kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian, mungkin akan berlaku kecuaian apabila terlalu seronok bermain sehingga terlupa apa yang sedang dan patut dilakukan.

Keputusan
Apabila mengenangkan kemungkinan yang bakal berlaku dalam perjalanan berkereta menuju ke Kota Bharu, Babah merasakan Amin tidak perlu ikut serta. Seandainya terperangkap dalam kawasan banjir, atau kesesakan lalu lintas yang berjam-jam, sudah tentu akan mendatangkan masalah kepada Amin untuk makan dan minum serta membuang air. Jadi, keputusan dibuat dan disepakati bersama Ummi untuk Babah seorang sahaja yang akan ke Kota Bharu. Ummi akan tinggal di rumah sementara Mak Teh Yanti menjemput Irfan dan Lisa dan seterusnya Ummi akan bawa Abang Adi, Kakak Iman, Abang Faei dan Amin ke Pantai Indah Kelang untuk bersama Atok dan Opah Sungai Buloh yang sememangnya telah menempah penginapan dua malam di sana pada tarikh yang sama.

Keputusan tersebut telah membuatkan Pak Long Shukri di Karak ingin bersama Babah, Wan Anjang dan Tok Anjang dalam satu kereta ke Kota Bharu setelah Babah memaklumkannya dalam Group Whatsapp Anak Menantu Sapawi. Malah bukan sahaja Pak Long Shukri, Husna juga turut serta ke Kelantan setelah menunjukkan rajuknya apabila babahnya ingin 'makan angin' mengikut Babah, Wan Anjang dan Tok Anjang. Jadilah kami berlima menaiki kereta Babah menuju ke Kota Bharu dengan melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Perjalanan
27 Januari 2017 (Jumaat). Sememangnya tarikh ini Babah telah awal-awal memohon cuti untuk ke Kelantan. Setelah keputusan dibuat pada sebelah malamnya yang Babah seorang akan pergi tanpa Ummi dan anak-anak Babah yang lain, cuti tersebut akan diteruskan dan tidak perlu dibatalkan. Seawal jam 4:30 pagi Babah dah tersedar dari tidur meskipun sehingga jam 12:30 malam sebelumnya Babah masih berjaga. Bangun mendirikan solat seperti hari-hari yang lain. Namun hari ini Babah tambah dengan solat hajat khusus untuk perjalanan Babah ke Kelantan. Semoga sepanjang perjalanan lancar dan selamat serta tenang. Melihat pemandangan di luar rumah di awal pagi itu yang berkabus tebal menambahkan lagi kebimbangan Babah terhadap keadaan cuaca dalam perjalanan nanti. Bersungguh-sungguh Babah berdoa agar Allah membantu memudahkan segalanya. Ummi pula sejak awal lagi sudah bertungkus lumus di dapur memasak mee goreng sebagai sarapan Babah sebelum memulakan perjalanan. Sedap! Sampai dua pinggan Babah makan. Masuk sahaja azan waktu Subuh, Babah terus mendirikan solat sunat dan seterusnya Solat Subuh. Tanpa berlengah setelah itu, Babah terus memulakan perjalanan ke Bentong untuk menjemput Wan Anjang dan Tok Anjang di Benus. Alhamdulillah.. perjalanan pagi yang sangat lancar dan tenang. Bertolak dari Putrajaya pada jam 6:15 pagi, dan sampai ke rumah Wan Anjang pada jam 7:30 pagi. Hanya sejam suku sahaja sudah sampai ke Bentong.

Di rumah Wan Anjang, Babah dijamu dahulu oleh Mak Long Yana yang siap menggoreng pisang, nasi goreng dan lain-lain. Yang paling best sate kenduri Pak Itam Caer pun masih ada untuk santapan Babah. Memang best sate tu! Dimakan dengan sambal kacang dan nasi impit serta rendang daging. Bertambah-tambah lagi Babah makan. Nasi goreng Wan Anjang pun sedap walaupun wan mengatakan nasi goreng tu biasa-biasa je. Tapi Babah suka sangat! Ikhlas... Kalau ikutkan nak habiskan semua nasi goreng tu, tapi nanti orang lain tak merasa pula. Hahaha...

Lebih kurang jam 8:00 pagi, Pak Uda Faisal sampai ke rumah Wan Anjang membawakan hadiah yang hendak dikirimkan kepada pengantin di Kelantan oleh Wan Cu dan Tok Cu. Kemudian lebih kurang jam 8:30 pagi, kami mula bergerak ke Karak untuk menjemput Pak Long di sana. Dan lebih kurang jam 9:30 pagi, kami semua sudah meninggalkan Karak untuk menuju ke Kota Bharu dalam satu kereta bersama Wan Anjang, Tok Anjang, Pak Long Shukri dan Husna. Atok dan Opah di Karak akan menunggu Pok De Udy yang bekerja separuh hari untuk turut sama ke Kelantan dengan menaiki kereta Estima Pak Lang. Selain Atok, Opah dan Pok De Udy, Ushu Syabil dan Along Syarifuddin juga akan bersama-sama mereka ke Kelantan dengan satu kereta.

Alhamdulillah. Perjalanan pagi Babah yang sangat lancar dan tenang. Pukul 4 petang kami semua sudah sampai ke rumah Wan Cik dan Tok Cik di Kota Bharu. Pada waktu yang sama juga, Atok, Opah, Pok De Udy, Ushu dan Along Syarifuddin baru bertolak dari Karak dengan melalui jalan yang sama. Mereka beriringan dengan sebuah lagi kereta yang dinaiki oleh Tok Long Ujang, Wan Teh, Pok De Joe, Mok De Fatihah dan baby comel mereka Emir! Mereka sampai ke Kota Bharu lebih kurang pukul 12 tengah malam. Alhamdulillah.. Semuanya selamat sampai dengan tenang dan lancar sepanjang perjalanan.

Wajah ceria kami setelah melalui perjalanan lebih kurang 6 jam untuk sampai ke rumah Wan Cik dan Tok Cik di Pengkalan Nangka, Kota Bharu Kelantan dari Karak. Kelihatan Pak Lang Luqman juga telah terlebih dahulu sampai setelah sepanjang malam mereka diperjalanan daripada Muar.

Penginapan
Alhamdulillah. Penginapan kami tiga hari dua malam di Hotel Anisaa Inn yang sangat hampir dengan rumah Wan Cik dan Tok Cik boleh diterima dengan kadar bayaran yang dikenakan. Wan Cik telah menempah terlebih dahulu bilik-bilik hotel tersebut untuk kami sebanyak enam buah bilik. Setiap bilik dilengkapi penghawa dingin, TV (walaupun tanpa siaran yang jelas), dan perkhidmatan wifi secara percuma juga disediakan. Harga bajet yang ditawarkan tidak menyediakan sebarang makanan atau sarapan.

Bilik Aras Bawah:
1) Bilik Manja (RM80*): 1 katil kelamin, 2 katil bujang.
- Babah, Atok dan Opah (satu katil tak berusik)

2) Bilik Cinta (RM70*): 1 katil kelamin, 1 katil bujang.
- Wan Itam, Pak Lang Luqman dan Mak Lang Anis

Bilik Aras Bawah (Luar Bangunan):
3) Bilik Kasturi (RM60*): 1 katil kelamin.
- Wan Anjang dan Tok Anjang

Bilik Aras Satu:
4) Bilik Delima (RM130*): 1 katil kelamin, 2 katil bujang.
- Tok Long, Wan Teh, Pok De Joe, Mok De Fatihah dan Emir

5) Bilik Kasih (RM60*): 1 katil kelamin
- Pak Long Shukri dan Husna

Bilik Aras Dua:
6) Bilik Kristal (RM50*): 1 katil kelamin
- Pok De Udy, Ushu dan Along Syarifuddin.

*Harga bilik adalah untuk penginapan satu malam.

Pemandangan dari luar hotel.

Jalan-jalan
Ini adalah kali pertama Babah menjejakkan kaki ke bumi Kelantan setelah kali terakhir pada tahun 1993. Waktu itu Babah masih di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Agama Pelangai dan Babah telah menyertai rombongan sekolah ke Kota Bharu pada waktu itu. Kesempatan kali ini, Babah teringin sekali berjalan-jalan ke Rantau Panjang mahupun Pengkalan Kubor. Tetapi kesempitan waktu tidak mengizinkan Babah untuk sampai ke sana. Mungkin sebab Ummi tak ikut sama. Kalau Ummi ikut sama, sudah tentu masa itu akan di cari untuk sampai juga ke sana. InshaAllah, mungkin Allah akan takdirkan Babah akan sampai semula ke sana bersama Ummi dan anak-anak Babah semuanya.

Walaupun begitu, kesempatan Babah menjejakkan kaki ke Aeon Mall Kota Bharu yang masih baharu meninggalkan kenangannya yang tersendiri kali ini. Kami telah menjadi pelanggan pertama yang menunggu pintu Mall dibuka. Hampir setengah jam juga menanti diluar bangunan. Mujur ada kerusi untuk berehat. Di sini juga, Babah telah membelikan Opah sebuah telefon bimbit yang baharu (Samsung J3) beserta pakej data dan panggilan percuma sebanyak RM48 sebulan dan diikat kontrak selama setahun diatas nama Babah. Kasihan Opah. Sudah dua minggu Opah tak ada telefon bimbit. Telefon Opah hilang gara-gara Atuk tersalah letak ketika membeli surat khabar di Karak. Sudah dua minggu juga Opah tidak aktif berwhatsapp. Kali ini, masalah Opah selesai dengan telefon baharunya. Siap pakai bil lagi. Tak perlu lagi Opah minta kreditnya dimasukkan seperti sebelum ini. Walaupun bil tersebut atas nama Babah, Babah gembira dapat berbakti pada Opah dengan apa cara sekalipun. Sementara Babah masih punya Opah di dunia ini... atau sementara Opah punya Babah... kerana tidak semestinya Opah yang pergi dahulu. Mungkin juga Babah! Jadi, biarlah nikmat dunia ini dapat Babah kongsikan bersama Opah selagi berpeluang.

Pantai Cahaya Bulan yang suatu ketika dahulu ketika Babah sampai ke sini, namanya adalah Pantai Cinta Berahi. Pantainya tak seindah dahulu. Pantainya telah banyak berubah. Dulu orang tidak seramai hari ini di sini. Kesempatan ini hanya untuk Babah dapat merapatkan kemesraan dengan ahli keluarga yang ada bersama. Berkesempatan untuk makan-makan ringan dan minum coconut shake yang begitu murah sekali. RM21 untuk 12 gelas dan beberapa air yang lain. Tak tahulah sama ada tersalah kira atau memang harganya begitu.







Makan-makan
Betul seperti orang kata, "di Kelantan ni makannya mudah." Maksudnya, kalau berada di sini, soal makanan tak perlu dirunsingkan. Selama tiga hari dua malam di sini, macam-macam yang Babah makan. Makan di rumah pengantin tu sudah pasti. Banyak lagi makanan yang pelik-pelik yang Babah tak pernah jumpa. Antaranya Roti Titab!

Inilah rupa Roti Titab hidangan sarapan pagi yang masyhur di Kota Bharu khususnya di Kopitiam Kita. Harganya RM5 setiap satu.

Kami hampir meninggalkan premis bila tiada langsung meja kosong untuk kami duduk. Mujurlah keberadaan kami diperhatikan oleh tokey kedai ini sendiri yang terus mengajak kami ke ruangan di belakang kedai yang masih ada ruang kosong, cukup untuk kami semua.

Sarapan pagi dengan Roti Titab ditaja oleh Tok Long Ujang dan Pak Long Shukri. Terbaiklah!

Kembar Babah (lain mak lain ayah) juga pernah hadir ke sini rupanya.

Tidak kurang hebatnya hidangan makanan di rumah pengantin. Dari sarapan pagi, makan kenduri, sampailah ke makan malam dengan menu bakar-bakaran dan sup-supan... memang terbaik!

Menu Mee dan Kue Tiaw Sup, hidangan selepas majlis akad nikah

Sarapan pagi dengan menu 'Klate' memang terbaik!

Mari bakar membakar bersama pengantin... Ayam.. Daging.. Kambing..

Perjalanan balik
Setelah dua malam Babah dan ahli keluarga yang lain di Kota Bharu, tiba masanya kami bertolak balik. Setelah selesai majlis menghantar pengantin Mak Andak Anis dan Pak Andak Akmal Fahim, kami semua bergerak balik secara beriringan sebanyak empat buah kereta. Kami melalui jalan yang sama sewaktu perjalanan datang. Kecuali kali ini, kami melalui jalan pantai menuju ke Kuala Terengganu. Disebabkan tidak berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, kami memutuskan untuk menyinggah di Pasar Payang Kuala Terengganu.

Perjalanan agak perlahan kerana kenderaan agak banyak berbanding perjalanan datang. Diperjalanan juga kami sempat singgah di sebuah kafe tepian pantai untuk membasahkan tekak. Tempatnya sangat cantik. Hampir kesemua kami memesan air kelapa dalam buah kelapa. Memang segar dan melegakan. Harganya juga tidak terlalu mahal.


Setelah hampir sejam lebih kami berhenti rehat, perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu. Namun agak mencemaskan apabila dimaklumkan Pasar Payang akan tutup seawal jam 5:30 petang. Petunjuk GPS pula menunjukkan waktu dijangka tiba di Pasar Payang lebih kurang jam enam petang. Namun, kami berharap agar waktu perniagaan di sana dilewatkan memandangkan pada waktu itu adalah waktu cuti sekolah dan cuti perayaan. Kawan baik Babah (Ammu Mazri) juga memaklumkan perkara yang sama dan apabila sampai, sememangnya hanya tinggal beberapa kedai batik sahaja yang masih dibuka dan dalam persiapan untuk ditutup. Akhirnya, sempat juga Babah membeli sehelai kemeja batik bewarna hitam untuk pakaian Babah ke pejabat.

Hampir waktu maghrib, kami semua mula bergerak untuk meneruskan perjalanan pulang. Kecuali Wan Itam dan Pak Lang Luqman serta Mak Lang Anis. Mereka akan bermalam di Kuala Terengganu. Jadi hanya tinggal tiga buah kereta sahaja yang akan beriringan balik. Alhamdulillah.. perjalanan lancar dengan kelajuan yang sedikit lebih dari waktu datang apabila sudah memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Berhenti rehat, makan malam dan solat di Perhentian Rehat dan Rawat Paka selama lebih kurang sejam sebelum meneruskan lagi perjalanan.

Alhamdulillah. Tepat jam 12 tengah malam, selamat sampai ke rumah Wan Anjang dan Tok Anjang di Benus, Bentong. Babah meneruskan perjalanan balik bersama Along Syarifuddin yang minta ditinggalkan di rumah Pok De Udy di Ukay Perdana untuk berjumpa dengan Adam. Lebih kurang jam 1:30 pagi, Babah selamat sampai di Putrajaya dalam keadaan yang begitu penat dan mengantuk. Masuk sahaja ke rumah, semua orang sedang lena dibuai mimpi. Tiada siapa yang sedar Babah sampai termasuk Ummi. Babah letak sahaja beg di atas meja, terus merebahkan diri di sofa dan terus tertidur dengan lena... sehingga satu kucupan di dahi Babah dengan panggilan mengejutkan Babah menunaikan solat Subuh oleh Ummi.

Babah

Selamat Datang Abang Am, Kak Ruby, Kak Deena & Abang Ejee


Babah nak simpan di sini kenangan kehadiran dua beradik anak buah Babah; Abang Am dan Kak Deena bersama pasangan masing-masing Kak Ruby dan Abang Ejee, ke rumah apartment kuaters kita di Putrajaya.


Ahamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi rezekiNya tidak putus-putus kepada hamba-hambaNya. Dengan izin Allah, mereka semua diberi kesempatan oleh Allah untuk hadir menziarahi kita di Putrajaya. Hampir genap sebulan mereka berdua berkahwin, akhirnya mereka sampai juga menziarahi kita di sini. Satu tempoh yang cepat dengan rutin dan kehidupan mereka yang bekerja. (Terima kasih Pak Andak dan Mak Andak ucapkan pada Am, Ruby, Ejee & Deena)


Pada awalnya Ummi hanya nak sediakan Mee Hoon @ Kuew Tiaw Goreng sahaja sebagai hidangan minum petang. Babah pula nak buat Puding Roti Cokelat dan Puding Karamel. Tapi bila Kakak Deena whatsapp Ummi mengatakan teringin nak makan Nasi Arab, Ummi terus kata pada Babah, "Kita tukar plan lah! Kita buat Nasi Arab. Deena mengidam ni!". Babah terus bersetuju. Tapi kalau baru nak mula masak, bahan-bahan tak ada. Masa pun dah suntuk. So, Ummi dengan rela hati sanggup start kereta untuk beli Nasi Arab tu di Restoran Saba Cyberjaya. Deal! Babah dan Abang Syadi pula siapakan apa yang ada di rumah.


Di rumah, Babah hanya beri arahan dan tunjuk ajar pada Abang Adi untuk menyediakan Puding Roti Cokelat. Plan awal untuk buat Puding Karamel Babah batalkan kerana Babah sendiri tiada keyakinan nak membuatnya. Dah tak berapa ingat caranya. Akhirnya, Babah arahkan Abang Adi buat satu lagi Puding Roti tetapi kali ini Puding Roti Kismis.


Setelah Ummi balik dari membeli Nasi Arab, Babah cadangkan pada Ummi untuk buat satu lagi menu; Lasagna Sardin. Wah, memang Win! Banyak menu untuk hidangan petang yang merangkap makan malam ni. Alhamdulillah, mereka semua sampai pada waktunya. Hidangan semua telahpun tersedia. Langkah kananlah mereka sampai.


Babah dan Ummi memuji sikap Abang Am dan Kakak Deena serta Abang Ejee dan Kakak Ruby. Mereka anak-anak buah Babah yang pandai menghormati orang tua. Babah dan Ummi berharap anak-anak Babah juga mencontohi mereka.


Kita semua gembira dengan kehadiran mereka. Berbual, berjenaka dan bergelak ketawa. Tapi ada satu ketika tu tiba-tiba menangis pulak. Waktu tu kita semua sedang duduk-duduk di sofa sambil bersembang dan membelek album. Tiba part gambar scan Abang Adi ketika masih dalam perut Ummi, Babah menyuruh mereka membaca tulisan yang Babah tulis di sebalik gambar tersebut. Nota yang tertulis di sebalik gambar tersebut Babah tulis sewaktu Ummi mengandungkan Abang Adi, pada hari yang sama gambar scan Abang Adi tu di ambil. Itulah kali pertama Babah dan Ummi melihat Abang Adi sebagai zuriat pertama Babah dan Ummi. Ada cerita pada hari tersebut. Dan Babah abadikan cerita itu di sebalik gambar tersebut. Kakak Ruby dan Kakak Deena hampir menitiskan air mata membaca cerita itu. Dan Kak Ruby bercakap pada Abang Am, "Awak tolong jadi macam ni ye!"


Hari ni Babah baru sedar yang muka Abang Am macam muka Babah. Pada mulanya Mama Yanee yang perasan bila Babah hantar gambar kita semua sedang makan melalui aplikasi whatsapp ke Group Anak Menantu Sapawi. Mama Yanee cakap, "Eh, muka Am dah macam muka Pak Andak". Kemudian, sewaktu membelek gambar-gambar lama Babah, Kakak Ruby dan Kakak Deena juga mengatakan muka Babah sewaktu muda sama macam muka Abang Am. Bila Babah lihat semula, hmm.. memang betul!



Sebenarnya, bukan Babah dan Ummi sahaja yang ternanti-nantikan cahaya mata mereka. Atok dan Opah serta yang lain-lain juga mengharapkan mereka segera mendapat cahaya mata. Sudah tentulah Mama Yanee, Papa Ahnel dan Ayah Ayee. Mereka akan jadi Tok Ma dan Tok Pa. Babah dan Ummi akan jadi Tok Andak dan Wan Andak. Opah dan Atok di Karak pula akan jadi Moyang!


Dikesempatan kehadiran mereka juga, Babah dan Ummi nak menyampaikan hadiah perkahwinan kepada mereka yang Babah dan Ummi masih berhutang dengan mereka. Harap mereka gembira dan seronok. Bukan itu sahaja, Babah dan Ummi juga akan hadiahkan tempat tidur percuma di homestay kita di Johor Bahru. Bila-bila sahaja yang mereka mahu kalau mereka turun ke sana (kecuali tarikh yang dah tak available disebabkan ada guest lain yang telah menempah terlebih dahulu).


Last but not least, Babah dan Ummi sentiasa doakan anak-anak Babah dan Ummi, anak-anak buah Babah dan Ummi kekal bahagia dan berjaya dunia dan akhirat.


Babah.


Sayangi bumi kita

Hijaukan bumi kita.. dan sayangilah bumi kita.


Hari ni kereta JLU Babah tak ubah seperti lori pengangkut sampah. Isk... lupa pulak nak ambil gambar.


Semalam, Babah dan Abang Adi bertungkus lumus menyisih barang-barang yang tidak diperlukan lagi di kuaters apartment kita di Putrajaya. Kertas terpakai, buku-buku kerja yang sudah digunakan, botol-botol plastik minuman dan krim mandian, kotak-kotak minuman, printer rosak dan macam-macam lagi. Penuh satu Estima.


Bukan duit jadi ukuran bila barang-barang kitar semula ni di hantar ke Pusat Kitar Semula, tetapi kesedaran terhadap menjaga alam sekitar itulah yang paling penting. Kalau kertas-kertas tu dibuang di tempat sampah biasa, ia tidak akan dikitar semula. Ia akan menjadi longgokan sampah di tempat sisa pepejal di sana-sini.


Tetapi, kalau dilihat nilai-nilai tukaran barang kitar semula tersebut, adalah lebih baik menyimpan kertas putih terpakai berbanding besi buruk yang nilainya jauh berbeza.



Babah 

2017 tahun penuh cabaran

Bismillahi..
Allahu akbar..


Kesempatan pagi ini sambil menunggu giliran rawatan gigi di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, Babah nak menulis sesuatu tentang cabaran tahun baharu 2017 ini.


Selain cabaran untuk sekolahkan Amin yang Babah tulis dalam beberapa entri sebelum ini, banyak lagi cabaran besar yang Babah, Ummi dan anak-anak Babah semua perlu tempuhi pada tahun ini.


Kalau di dada-dada akhbar, ahli politik, ahli perniagaan dan negarawan akan bercakap tentang cabaran ekonomi negara dan dunia yang semakin meleset. Itu memang tidak dapaf dinafikan. Kejatuhan mata wang ringgit yang paling teruk setakat ini (USD1 menghampiri RM5) sudah tentu memberi kesan yang menyeluruh kepada negara dan kita juga. Kenaikan harga barang keperluan harian dan petrol sudah cukup menjadi sebab kemelut rakyat Malaysia hari ini.


Namun, cabaran dalam negara Babah sendiri bersama Ummi dan anak-anak Babah adalah dengan ketiadaan Bibik Ana mulai awal Januari 2017 lagi. Bertahun lamanya Bibik Ana menabur bakti membantu Ummi menguruskan banyak perkara di rumah. Sejak tahun 2007 lagi keluarga kita mempunyai pembantu rumah. Sejak kelahiran Abang Faei lagi. Kini Abang Faei dah hampir berumur 10 tahun. Lebih kurang selama itu jugalah Babah dan Ummi memerlukan pembantu di rumah.


Tapi kini tidak lagi. Sudah sampai masanya negara Babah dan Ummi ini perlu ditadbir urus oleh Babah dan Ummi sendiri . Sama seperti ibu bapa yang lain. Anak-anak Babah dan Ummi dah besar! Kalau kalian tidak belajar hari ini, bila lagi?


Rutin Babah dan Ummi kali ini berubah 180 darjah. Seawal jam 5:30 pagi lagi Babah dan Ummi dah macam lipas kudung. Menyiapkan makan pakai kita sekeluarga, mengemas rumah dan segala bagai yang perlu diuruskan untuk kelancaran tugas kita sepanjang hari. Alhamdulillah, anak-anak Babah dan Ummi rajin membantu bila diperlukan. Teruskan ya anak-anak.


Kalau bercakap soal kerja, tahun 2017 ni tugas Babah di pejabat semakin mencabar. Tugas Babah makin bertambah. Babah ditugaskan menguruskan satu subjek baharu di samping subjek lama yang masih Babah uruskan. Ummi juga begitu. Tugas sebagai setiausaha HEM cukup membuatkan Ummi sering tak cukup tangan nak buat kerja-kerja sekolah yang lain.


Tahun 2017 ini juga, Abang Adi akan menduduki PT3 dan Irfan pula akan menduduki UPSR. Ummi dan Babah perlu memastikan Abang Adi dan Irfan berjaya dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan mereka. Begitu juga dengan Abang Faei dan Lisa.


Babah dan Ummi akan sentiasa mendoakan kesejahteraan kita sekeluarga. Semoga cabaran-cabaran tajun ini dapat kita semua tempuhi dengan gagah dan jaya. Moga Allah memberi kita rezeki yang melimpah ruah untuk dikongsikan dengan yang lain, keberkatan dan keredhaanNya di dunia dan akhirat. Amin.


Babah

Selamat Pengantin Baru; Am & Deena


#Back dated story

Dua orang anak buah Babah; Abang Am & Kak Deena (anak Mama Yanee dan Ayah Ayiee) dah selamat diijabkabulkan pada bulan Disember 2016 yang lalu.

Tahniah kepada pasangan pengantin Abang Am dan Kak Adawiyah serta Kak Deena dan Abang Ejee. Semoga kalian bahagia hingga ke jannah.

Gambar Babah dan Ummi bersama pasangan pengantin Abang Am dan Kak Adawiyah je yg ada dalam telefon bimbit Babah ni. Gambar bersama pasangan pengantin Kak Deena dan Abang Ejee dalam ipad Kakak Iman yang telah dibawa balik ke asramanya. Kena tunggu Kakak Iman baliklah baru boleh dimuat naik semula.

Majlis persandingan Abang Am dan Kak Deena telah diadakan di Hotel Flamingo Ampang. Memang cukup meriah dan mewah! Tahniah pada Mama Yanee dan Papa Ahnel. Majlis berjalan lancar dengan tetamu yang sangat ramai. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Ramai juga tetamu kenalan Mama Yanee dari kalangan selebriti yang hadir. Antara selebriti penting yang hadir ialah selebriti pengacara TV3 Ahmad Fetri Yahya. Beliau menjadi pengacara majlis pada malam tersebut. Memang cukup menarik tutur katanya sebagai pengacara. Tersusun dan kemas walaupun tanpa sebarang teks. Semuanya dilakukan secara spontan.

Babah sempat berswafoto bersama Ahmad Fetri Yahya ketika sesi raptai di sebelah petang sebelum majlis bermula.


Antara selebriti yang hadir dan sempat bergambar bersama.

Dalam majlis ini, Babah telah diminta oleh Mama Yanee untuk berselawat ketika ketibaan pengantin-pengantin. Pada awalnya, bukan Babah seorang sahaja yang akan berselawat, tetapi Pak Long, Pak Lang dan Ayong Syakirin yang akan berselawat bersama-sama. Namun akhirnya, Babah seorang diri sahaja yang dapat berselawat di hadapan pentas menggunakan pembesar suara. Pada awalnya terketar-ketar juga dalam rangkap oertama. Mujurlah ini bukan kali pertama Babah berselawat dalam majlis sebegini. Akhirnya Babah boleh meneruskan selawat dengan suara yang lebih yakin dan alunan lagu selawat yang lebih baik. Ramai juga yang memuji. Alhamdulillah.

Babah 

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari ketiga, Amin dah seronok pergi sekolah!


Amin dah seronok pergi ke sekolah seawal hari ketiga! Alhamdulillah.. satu peningkatan yang sangat memberangsangkan. Semoga ianya terus kekal begini. Setakat hari ini; entri ini ditulis - hari keenam Amin bersekolah, Amin gembira bangun pagi, gembira gosok gigi dan mandi dan gembira pergi ke sekolah. Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah. Setiap kali Babah dan Ummi teringatkan Amin di sekolah, Babah dan Ummi pasti baca dan sedekahkan al-Fatihah untuk Amin. Semoga Allah bukakan pintu hati Amin, gembirakan Amin dan mudahkan Amin mendapat pelajaran yang diajarkan guru. Seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Tahniah guru-guru Tadika Inspirasi Minda Bestari yang berjaya menjadikan Amin dan kawan-kawan seronok ke sekolah. Setiap kali Amin balik, ada sahaja cerita Amin tentang seronoknya dia melakukan pelbagai aktiviti di sekolah. Mungkin ini pengalaman pertamanya bersekolah, menjadikan dia seronok dengan pelbagai aktiviti di sekolah. 4 tahun lebih sebelum ini, dunia Amin hanya di rumah bersama TV, tablet dan bibik kesayangannya; Bibik Ana. Kini Amin sudah melihat dunia luar! Kehidupan bersama insan-insan lain selain ahli keluarganya sendiri. Allah ma3aka ya habibie waladie saghir...

Babah

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari kedua.




Selepas trauma hari pertama persekolahannya yang ditinggalkan Babah (sedih benar dia kena tinggal dengan Babah), sudah tentu hari kedua adalah hari cabaran bagi Babah untuk menyiapkan Amin ke sekolah.

Sejak dari bangun tidur, memandikan dan memakaikan pakaian sekolah, Amin menangis tak mahu pergi ke sekolah. Hmmm.. Babah mengaku, perangai tak nak sekolah ni memang perangai Babah.. hahaha... Tak hairanlah kalau anak Babah pun mengikut. Puas jugalah Babah memujuk dengan mengeluarkan segala hikmat yang ada untuk menyiapkan juga Amin dalam pakaian sekolahnya. Bila ditanya kenapa Amin tak nak ke sekolah? Jawapannya adalah jawapan semalam, "Nanti Amin tinggal Babah" (Nanti Babah tinggal Amin). Alahai sayunya.

Setelah berjaya menggunakan segala hikmat yang Babah ada, akhirnya Amin berjaya juga dibawa masuk ke kereta. Dari keluar rumah, masuk lif sampai dalam kereta, mukanya adalah seperti muka dalam gambar di atas. Buat muka sayu dan kesian.

Untuk menceriakan Amin, dalam lif Babah ajak Amin main pijak-pijak kasut. Walaupun itu bukan permainan yang baik untuk Amin (sebab nanti dia pijak kasut kawan dia pula), tapi itu idea yang terlintas dalam fikiran Babah ketika itu. Amin seronok cuba untuk memijak kasut Babah. Mujur kami cuma berdua sahaja dalam lif tersebut. Jadi, berjayalah Babah membuatkan Amin ketawa sedikit untuk menghilangkan rasa sedih dan takutnya.

Bila keluar lif, Amin muncung kembali. Katanya tak mahu ke sekolah. Hikmat seterusnya... Babah dukung! Sampailah ke kereta. Amin duduk di kerusi hadapan.

Dalam perjalanan Amin tetap mengulang kata-katanya, "Amin tak nak pergi sekolah". Hikmat Babah seterusnya, "Amin, tengok tu!" sambil Babah menunjukkan sebuah kapal terbang yang sedang terbang di udara. "Amin, itu Ultraman kan!? Dia nak terbang pergi mana tu? Mesti dia nak pergi lawan rasaksa". Babah cuba mengajak Amin berimaginasi untuk melupakan perasaannya. "Dei Babah! Itu kapal terbanglah. Bukan Ultraman" Amin membalas dalam nada marah. Amin memang biasa menggunakan perkataan "dei" merujuk kata-kata Gopal dalan siri animasi Boboiboy di TV3.

Babah ketawa sendiri mendengar jawapan spontan Amin. Dalam masa yang sama, Babah sudah memberi lampu isyarat kenderaan untuk membelok ke kiri memasuki kawasan Desa Pinggiran Putra di mana sekolah Amin dalam kawasan tersebut. Tiba-tiba "No.. no.. no! No Babah!" Amin menjerit. Amin tahu itu simpang jalan ke sekolahnya.

Sesampai di sekolah, ribut taufan telah melanda. Walau didukung Amin tetap menangis menjerit meronta tak mahu ke sekolah. Babah terus serahkan Amin kepada gurunya. Gurunya terus memeluk Amin. Babah pula terus melambai dan meninggalkan kawasan sekolah dengan mencekalkan hati melihat situasi itu. Huh... kesian Amin.

Babah

Hari kedua Amin bersekolah. Babah dan Ummi datang jemput Amin pukul 5:30 petang. Masuk je kereta terus dapat upah.

Amin dah sekolah tahun ni! Cerita hari pertama.

Tahun 2017 ni Amin dah mula bersekolah untuk umur 5 tahun.

Ummi dah Babah pada awalnya agak ragu-ragu nak sekolahkan Amin. Dengan keadaan Amin yang lambat bercakap (Amin mula pandai bercakap diawal usia 3 tahun) dan sikapnya yang manja, memang membuatkan Ummi dan Babah ragu-ragu.

Pertuturan Amin masih belum lancar sepenuhnya. Ayatnya masih lintang pukang walaupun tahun 2017 ni Amin akan masuk usia 5 tahun. Amin masih menerima rawatan terapi pertuturan di Hospital Putrajaya. Kata pakar, kosa kata kerjanya masih belum cukup seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Rasa ragu-ragu Ummi dan Babah alhamdulillah dapat diatasi dengan keyakinan yang tinggi. Disamping terus berdoa untuknya, Ummi dan Babah cekalkan hati untuk menghantar Amin ke sekolah juga pada tahun ni.

Hari Pertama
Amin gembira bangun pagi, mandi dan masuk ke kereta untuk ke sekolah. Sampai di sekolah, Amin juga steady berjumpa guru dan rakan-rakan baharunya. Amin terus masuk ke barisan perhimpunan. Babah hanya memerhati. Dalam diam-diam, Babah masuk ke kereta tanpa Amin sedari. Kalau diikutkan, perjalanan balik tidak perlu melalui kawasan hadapan sekolah Amin lagi. Tapi, dek kerana ingin melihat Amin yang masih berhimpun, Babah membelok kereta ke kanan untuk melalui kawasan hadapan sekolah. Dalam fikiran Babah, Amin masih membelakangkan jalan yang Babah akan lalui. Babah pun memperlahankan kenderaan sambil membuka tingkap kereta untuk meninjau keadaan perhimpunan tersebut. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Babah, tunggu! Amin nak ikut!". Terus babah menekan pedal minyak dan memecut laju.


Dalam hati Babah rasa bersalah meninggalkan Amin begitu tanpa memberitahu Amin yang Babah akan menjemput Amin sebelah petang nanti. Ummi juga berpandangan begitu. Tapi perkara dah berlaku. Tak boleh nak diundur kembali.

Dalam hati Ummi dan Babah, macam manalah keadaan Amin di sekolah. Tiba-tiba Ummi forward satu gambar yang dikirimkan oleh gurunya. Amin ceria di sekolah sambil memegang belon. Sekejap sahaja Amin sedih ditinggalkan. Alhamdulillah. Amin pandai bawa diri.

Tatkala Ummi datang menjemput Amin pada sebelah petang, ayat pertama Amin kepada Ummi, "Kenapa Amin tinggal Babah!?" yang bermaksud "Kenapa Babah tinggal Amin?". Dan bila Amin sampai sahaja di rumah, ayat itu juga yang diucapkan kepada Babah berkali-kali.

Huh... Macam manalah Babah nak menghadapi hari kedua Amin ke sekolah esoknya nanti..

Babah

Mior Muhammad Irhamni

Ini anak Ummi dan Babah yang bongsu. Panggilannya Amin. Babah yang pilih nama panggilan ini sempena nama adik Ummi, arwah Mohd Amin yang meninggal ketika masih dalam hari selepas dilahirkan.

Kisah Amin anak Ummi dan Babah ni masih tak ada lagi dalam blog ni setakat hari ini. Kesian Amin kan!? Hari ini Amin dah berusia lebih kurang 4 tahun setengah. Amin dah masuk sekolah!

Jadi, ini entri pendahuluan dan pengenalan untuk Amin. Selepas daripada ini nak cerita banyak tentang Amin!

Babah.

Selamat Kembali & Selamat Tahun Baharu 2017

Bismillah ar-Rahman ar-Raheem.

Hmm... Lama... Lama sangat! Terlalu lama blog ini terbiar sepi...

Terlalu banyak cerita-ceriti yg dah terlepas untuk dikongsikan di sini. Huh...

Azam tahun 2017 ni, nak aktifkan semula laman Kasih Kami ni... Rindu nak menulis tentang kita. Untuk tatapan anak cucu babah suatu masa nanti. Semoga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayang Allah selalu...

Babah.

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............