Travellog Babah ke Kota Bharu..

Hampir tak jadi!
Disebabkan oleh mesej-mesej yang tular mengatakan bumi Kelantan sedang dilanda banjir besar, ditambah dengan andaian jalan sesak sempena cuti Tahun Baru Cina, Babah hampir tak jadi ke Kota Bharu Kelantan. Jemputan Wan Cik dan Tok Cik untuk majlis pernikahan Mak Andak Anis dan Mak Teh Izzati dengan pasangan masing-masing (Pak Andak Asyharul Azfar dan Pak Teh Akmal Fahim) memang tidak sepatutnya Babah abaikan dan menjadikan pelbagai alasan untuk tidak hadir ke majlis mereka. Sudahlah waktu perkahwinan Mak Long Ili dan Mak De Nadia pun Babah dan Ummi tak berpeluang ke sana (hanya berpeluang mengiringi Mak Long Ili ke Kulai sahaja). Kali ini adalah kali terakhir Wan Cik dan Tok Cik menikahkan anak-anak perempuan mereka. Lepas ni dah tak ada lagi anak perempuan Wan Cik dan Tok Cik. Yang tinggal anak-anak lelaki mereka sahaja yang belum berkahwin. Semoga Allah pertemukan segera jodoh Pak Ngah Syafiq dan seterusnya Pak Lang Azri. Yang lain-lain tu sekarang ni masih belum cukup umur lagi! Hahaha...

Majlis yang telah dirancang adalah pada tarikh 28 Januari 2017. Pada hari khamis sebelumnya (26 Januari 2017), sepanjang hari Babah dan Ummi masih berfikir sama ada nak ke Kelantan dengan menaiki kereta atau kapal terbang. Mesej-mesej yang tular tentang keadaan banjir di Kuala Lipis dan Gua Musang merunsingkan Babah seandainya ditimpa musibah ketika dalam perjalanan nanti. Wan Anjang dan Tok Anjang yang sememangnya dari awal ingin menumpang kereta Babah juga menjadi serba salah sama ada ingin meneruskan niat pergi ke Kelantan atau membatalkannya. Bila Babah cuba meninjau-ninjau harga tiket kapal terbang, memang agak mahal kerana terpaksa membelinya di saat-saat akhir. RM400 untuk seorang perjalanan pergi dan balik dengan menaiki kapal terbang memang diluar kemampuan Babah, Ummi, Wan Anjang dan Tok Anjang. Kalau terpaksa juga, Babah akan bersendirian ke sana dengan menaiki kapal terbang. Huh.. Sehingga hampir lewat tengah malam keputusan belum dibuat.

Kerisauan Ummi dan Kebimbangan Babah
Ummi pula risaukan Abang Adi, Kakak Iman dan Abang Faei yang akan ditinggalkan di rumah seandainya Babah, Ummi dan Amin pergi ke Kelantan dengan menaiki kereta. Walaupun Babah mempunyai sedikit keyakinan untuk meninggalkan mereka berbanding Ummi (sebagai latihan berdikari), tetapi apabila Irfan dan Lisa juga masih di rumah kita yang belum dijemput oleh Mak Teh Yanti (walaupun cuti sekolah telah berlalu sehari), Babah mula jadi bimbang. Bila terlalu ramai kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian, mungkin akan berlaku kecuaian apabila terlalu seronok bermain sehingga terlupa apa yang sedang dan patut dilakukan.

Keputusan
Apabila mengenangkan kemungkinan yang bakal berlaku dalam perjalanan berkereta menuju ke Kota Bharu, Babah merasakan Amin tidak perlu ikut serta. Seandainya terperangkap dalam kawasan banjir, atau kesesakan lalu lintas yang berjam-jam, sudah tentu akan mendatangkan masalah kepada Amin untuk makan dan minum serta membuang air. Jadi, keputusan dibuat dan disepakati bersama Ummi untuk Babah seorang sahaja yang akan ke Kota Bharu. Ummi akan tinggal di rumah sementara Mak Teh Yanti menjemput Irfan dan Lisa dan seterusnya Ummi akan bawa Abang Adi, Kakak Iman, Abang Faei dan Amin ke Pantai Indah Kelang untuk bersama Atok dan Opah Sungai Buloh yang sememangnya telah menempah penginapan dua malam di sana pada tarikh yang sama.

Keputusan tersebut telah membuatkan Pak Long Shukri di Karak ingin bersama Babah, Wan Anjang dan Tok Anjang dalam satu kereta ke Kota Bharu setelah Babah memaklumkannya dalam Group Whatsapp Anak Menantu Sapawi. Malah bukan sahaja Pak Long Shukri, Husna juga turut serta ke Kelantan setelah menunjukkan rajuknya apabila babahnya ingin 'makan angin' mengikut Babah, Wan Anjang dan Tok Anjang. Jadilah kami berlima menaiki kereta Babah menuju ke Kota Bharu dengan melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Perjalanan
27 Januari 2017 (Jumaat). Sememangnya tarikh ini Babah telah awal-awal memohon cuti untuk ke Kelantan. Setelah keputusan dibuat pada sebelah malamnya yang Babah seorang akan pergi tanpa Ummi dan anak-anak Babah yang lain, cuti tersebut akan diteruskan dan tidak perlu dibatalkan. Seawal jam 4:30 pagi Babah dah tersedar dari tidur meskipun sehingga jam 12:30 malam sebelumnya Babah masih berjaga. Bangun mendirikan solat seperti hari-hari yang lain. Namun hari ini Babah tambah dengan solat hajat khusus untuk perjalanan Babah ke Kelantan. Semoga sepanjang perjalanan lancar dan selamat serta tenang. Melihat pemandangan di luar rumah di awal pagi itu yang berkabus tebal menambahkan lagi kebimbangan Babah terhadap keadaan cuaca dalam perjalanan nanti. Bersungguh-sungguh Babah berdoa agar Allah membantu memudahkan segalanya. Ummi pula sejak awal lagi sudah bertungkus lumus di dapur memasak mee goreng sebagai sarapan Babah sebelum memulakan perjalanan. Sedap! Sampai dua pinggan Babah makan. Masuk sahaja azan waktu Subuh, Babah terus mendirikan solat sunat dan seterusnya Solat Subuh. Tanpa berlengah setelah itu, Babah terus memulakan perjalanan ke Bentong untuk menjemput Wan Anjang dan Tok Anjang di Benus. Alhamdulillah.. perjalanan pagi yang sangat lancar dan tenang. Bertolak dari Putrajaya pada jam 6:15 pagi, dan sampai ke rumah Wan Anjang pada jam 7:30 pagi. Hanya sejam suku sahaja sudah sampai ke Bentong.

Di rumah Wan Anjang, Babah dijamu dahulu oleh Mak Long Yana yang siap menggoreng pisang, nasi goreng dan lain-lain. Yang paling best sate kenduri Pak Itam Caer pun masih ada untuk santapan Babah. Memang best sate tu! Dimakan dengan sambal kacang dan nasi impit serta rendang daging. Bertambah-tambah lagi Babah makan. Nasi goreng Wan Anjang pun sedap walaupun wan mengatakan nasi goreng tu biasa-biasa je. Tapi Babah suka sangat! Ikhlas... Kalau ikutkan nak habiskan semua nasi goreng tu, tapi nanti orang lain tak merasa pula. Hahaha...

Lebih kurang jam 8:00 pagi, Pak Uda Faisal sampai ke rumah Wan Anjang membawakan hadiah yang hendak dikirimkan kepada pengantin di Kelantan oleh Wan Cu dan Tok Cu. Kemudian lebih kurang jam 8:30 pagi, kami mula bergerak ke Karak untuk menjemput Pak Long di sana. Dan lebih kurang jam 9:30 pagi, kami semua sudah meninggalkan Karak untuk menuju ke Kota Bharu dalam satu kereta bersama Wan Anjang, Tok Anjang, Pak Long Shukri dan Husna. Atok dan Opah di Karak akan menunggu Pok De Udy yang bekerja separuh hari untuk turut sama ke Kelantan dengan menaiki kereta Estima Pak Lang. Selain Atok, Opah dan Pok De Udy, Ushu Syabil dan Along Syarifuddin juga akan bersama-sama mereka ke Kelantan dengan satu kereta.

Alhamdulillah. Perjalanan pagi Babah yang sangat lancar dan tenang. Pukul 4 petang kami semua sudah sampai ke rumah Wan Cik dan Tok Cik di Kota Bharu. Pada waktu yang sama juga, Atok, Opah, Pok De Udy, Ushu dan Along Syarifuddin baru bertolak dari Karak dengan melalui jalan yang sama. Mereka beriringan dengan sebuah lagi kereta yang dinaiki oleh Tok Long Ujang, Wan Teh, Pok De Joe, Mok De Fatihah dan baby comel mereka Emir! Mereka sampai ke Kota Bharu lebih kurang pukul 12 tengah malam. Alhamdulillah.. Semuanya selamat sampai dengan tenang dan lancar sepanjang perjalanan.

Wajah ceria kami setelah melalui perjalanan lebih kurang 6 jam untuk sampai ke rumah Wan Cik dan Tok Cik di Pengkalan Nangka, Kota Bharu Kelantan dari Karak. Kelihatan Pak Lang Luqman juga telah terlebih dahulu sampai setelah sepanjang malam mereka diperjalanan daripada Muar.

Penginapan
Alhamdulillah. Penginapan kami tiga hari dua malam di Hotel Anisaa Inn yang sangat hampir dengan rumah Wan Cik dan Tok Cik boleh diterima dengan kadar bayaran yang dikenakan. Wan Cik telah menempah terlebih dahulu bilik-bilik hotel tersebut untuk kami sebanyak enam buah bilik. Setiap bilik dilengkapi penghawa dingin, TV (walaupun tanpa siaran yang jelas), dan perkhidmatan wifi secara percuma juga disediakan. Harga bajet yang ditawarkan tidak menyediakan sebarang makanan atau sarapan.

Bilik Aras Bawah:
1) Bilik Manja (RM80*): 1 katil kelamin, 2 katil bujang.
- Babah, Atok dan Opah (satu katil tak berusik)

2) Bilik Cinta (RM70*): 1 katil kelamin, 1 katil bujang.
- Wan Itam, Pak Lang Luqman dan Mak Lang Anis

Bilik Aras Bawah (Luar Bangunan):
3) Bilik Kasturi (RM60*): 1 katil kelamin.
- Wan Anjang dan Tok Anjang

Bilik Aras Satu:
4) Bilik Delima (RM130*): 1 katil kelamin, 2 katil bujang.
- Tok Long, Wan Teh, Pok De Joe, Mok De Fatihah dan Emir

5) Bilik Kasih (RM60*): 1 katil kelamin
- Pak Long Shukri dan Husna

Bilik Aras Dua:
6) Bilik Kristal (RM50*): 1 katil kelamin
- Pok De Udy, Ushu dan Along Syarifuddin.

*Harga bilik adalah untuk penginapan satu malam.

Pemandangan dari luar hotel.

Jalan-jalan
Ini adalah kali pertama Babah menjejakkan kaki ke bumi Kelantan setelah kali terakhir pada tahun 1993. Waktu itu Babah masih di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Agama Pelangai dan Babah telah menyertai rombongan sekolah ke Kota Bharu pada waktu itu. Kesempatan kali ini, Babah teringin sekali berjalan-jalan ke Rantau Panjang mahupun Pengkalan Kubor. Tetapi kesempitan waktu tidak mengizinkan Babah untuk sampai ke sana. Mungkin sebab Ummi tak ikut sama. Kalau Ummi ikut sama, sudah tentu masa itu akan di cari untuk sampai juga ke sana. InshaAllah, mungkin Allah akan takdirkan Babah akan sampai semula ke sana bersama Ummi dan anak-anak Babah semuanya.

Walaupun begitu, kesempatan Babah menjejakkan kaki ke Aeon Mall Kota Bharu yang masih baharu meninggalkan kenangannya yang tersendiri kali ini. Kami telah menjadi pelanggan pertama yang menunggu pintu Mall dibuka. Hampir setengah jam juga menanti diluar bangunan. Mujur ada kerusi untuk berehat. Di sini juga, Babah telah membelikan Opah sebuah telefon bimbit yang baharu (Samsung J3) beserta pakej data dan panggilan percuma sebanyak RM48 sebulan dan diikat kontrak selama setahun diatas nama Babah. Kasihan Opah. Sudah dua minggu Opah tak ada telefon bimbit. Telefon Opah hilang gara-gara Atuk tersalah letak ketika membeli surat khabar di Karak. Sudah dua minggu juga Opah tidak aktif berwhatsapp. Kali ini, masalah Opah selesai dengan telefon baharunya. Siap pakai bil lagi. Tak perlu lagi Opah minta kreditnya dimasukkan seperti sebelum ini. Walaupun bil tersebut atas nama Babah, Babah gembira dapat berbakti pada Opah dengan apa cara sekalipun. Sementara Babah masih punya Opah di dunia ini... atau sementara Opah punya Babah... kerana tidak semestinya Opah yang pergi dahulu. Mungkin juga Babah! Jadi, biarlah nikmat dunia ini dapat Babah kongsikan bersama Opah selagi berpeluang.

Pantai Cahaya Bulan yang suatu ketika dahulu ketika Babah sampai ke sini, namanya adalah Pantai Cinta Berahi. Pantainya tak seindah dahulu. Pantainya telah banyak berubah. Dulu orang tidak seramai hari ini di sini. Kesempatan ini hanya untuk Babah dapat merapatkan kemesraan dengan ahli keluarga yang ada bersama. Berkesempatan untuk makan-makan ringan dan minum coconut shake yang begitu murah sekali. RM21 untuk 12 gelas dan beberapa air yang lain. Tak tahulah sama ada tersalah kira atau memang harganya begitu.







Makan-makan
Betul seperti orang kata, "di Kelantan ni makannya mudah." Maksudnya, kalau berada di sini, soal makanan tak perlu dirunsingkan. Selama tiga hari dua malam di sini, macam-macam yang Babah makan. Makan di rumah pengantin tu sudah pasti. Banyak lagi makanan yang pelik-pelik yang Babah tak pernah jumpa. Antaranya Roti Titab!

Inilah rupa Roti Titab hidangan sarapan pagi yang masyhur di Kota Bharu khususnya di Kopitiam Kita. Harganya RM5 setiap satu.

Kami hampir meninggalkan premis bila tiada langsung meja kosong untuk kami duduk. Mujurlah keberadaan kami diperhatikan oleh tokey kedai ini sendiri yang terus mengajak kami ke ruangan di belakang kedai yang masih ada ruang kosong, cukup untuk kami semua.

Sarapan pagi dengan Roti Titab ditaja oleh Tok Long Ujang dan Pak Long Shukri. Terbaiklah!

Kembar Babah (lain mak lain ayah) juga pernah hadir ke sini rupanya.

Tidak kurang hebatnya hidangan makanan di rumah pengantin. Dari sarapan pagi, makan kenduri, sampailah ke makan malam dengan menu bakar-bakaran dan sup-supan... memang terbaik!

Menu Mee dan Kue Tiaw Sup, hidangan selepas majlis akad nikah

Sarapan pagi dengan menu 'Klate' memang terbaik!

Mari bakar membakar bersama pengantin... Ayam.. Daging.. Kambing..

Perjalanan balik
Setelah dua malam Babah dan ahli keluarga yang lain di Kota Bharu, tiba masanya kami bertolak balik. Setelah selesai majlis menghantar pengantin Mak Andak Anis dan Pak Andak Akmal Fahim, kami semua bergerak balik secara beriringan sebanyak empat buah kereta. Kami melalui jalan yang sama sewaktu perjalanan datang. Kecuali kali ini, kami melalui jalan pantai menuju ke Kuala Terengganu. Disebabkan tidak berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, kami memutuskan untuk menyinggah di Pasar Payang Kuala Terengganu.

Perjalanan agak perlahan kerana kenderaan agak banyak berbanding perjalanan datang. Diperjalanan juga kami sempat singgah di sebuah kafe tepian pantai untuk membasahkan tekak. Tempatnya sangat cantik. Hampir kesemua kami memesan air kelapa dalam buah kelapa. Memang segar dan melegakan. Harganya juga tidak terlalu mahal.


Setelah hampir sejam lebih kami berhenti rehat, perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu. Namun agak mencemaskan apabila dimaklumkan Pasar Payang akan tutup seawal jam 5:30 petang. Petunjuk GPS pula menunjukkan waktu dijangka tiba di Pasar Payang lebih kurang jam enam petang. Namun, kami berharap agar waktu perniagaan di sana dilewatkan memandangkan pada waktu itu adalah waktu cuti sekolah dan cuti perayaan. Kawan baik Babah (Ammu Mazri) juga memaklumkan perkara yang sama dan apabila sampai, sememangnya hanya tinggal beberapa kedai batik sahaja yang masih dibuka dan dalam persiapan untuk ditutup. Akhirnya, sempat juga Babah membeli sehelai kemeja batik bewarna hitam untuk pakaian Babah ke pejabat.

Hampir waktu maghrib, kami semua mula bergerak untuk meneruskan perjalanan pulang. Kecuali Wan Itam dan Pak Lang Luqman serta Mak Lang Anis. Mereka akan bermalam di Kuala Terengganu. Jadi hanya tinggal tiga buah kereta sahaja yang akan beriringan balik. Alhamdulillah.. perjalanan lancar dengan kelajuan yang sedikit lebih dari waktu datang apabila sudah memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Berhenti rehat, makan malam dan solat di Perhentian Rehat dan Rawat Paka selama lebih kurang sejam sebelum meneruskan lagi perjalanan.

Alhamdulillah. Tepat jam 12 tengah malam, selamat sampai ke rumah Wan Anjang dan Tok Anjang di Benus, Bentong. Babah meneruskan perjalanan balik bersama Along Syarifuddin yang minta ditinggalkan di rumah Pok De Udy di Ukay Perdana untuk berjumpa dengan Adam. Lebih kurang jam 1:30 pagi, Babah selamat sampai di Putrajaya dalam keadaan yang begitu penat dan mengantuk. Masuk sahaja ke rumah, semua orang sedang lena dibuai mimpi. Tiada siapa yang sedar Babah sampai termasuk Ummi. Babah letak sahaja beg di atas meja, terus merebahkan diri di sofa dan terus tertidur dengan lena... sehingga satu kucupan di dahi Babah dengan panggilan mengejutkan Babah menunaikan solat Subuh oleh Ummi.

Babah

0 comments:

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............