What? Kakak Iman nak quit STF? (akhirnya...)

Ramai yang menghubungi Babah untuk mengetahui kisah selanjutnya daripada isu Kakak nak quit STF dalam entri Babah sebelum ni.

Hakikatnya Babah berat nak menyambung cerita ni. Macam-macam kemungkinan berlegar-legar dalam fikiran Babah. Sama ada Kakak yang sedang berada di STF ni sendiri akan membacanya dan mungkin terganggu, ataupun persepsi dan tanggapan orang lain terhadap STF daripada apa yang akan Babah ceritakan. Hmm.. tak payah ceritalah ye!

Hakikatnya... perkara yang Kakak luahkan sebagai penyebab Kakak Iman nak meninggalkan STF adalah perkara biasa. Yang boleh berlaku di mana-mana pun. Di rumah, di pejabat, di sekolah apatah lagi. Jadi ianya bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan.

Sejurus selepas Kakak berterus terang tentang sebab mengapa Kakak ingin meninggalkan STF kepada Babah, Babah telahpun berbincang dengan Bonda Pengetua. Bonda Pengetua memahami keadaan yang berlaku dan bersetuju bahawa perkara tersebut bukanlah perkara yang 'terlalu luar biasa'. Bonda Pengetua juga ada bertanyakan Babah sama ada Babah ingin membawa Kakak pulang ke rumah sementara waktu atau melepaskan kepada pihak sekolah untuk 'memulihkan semangat Kakak'. Babah fikir, adalah lebih baik untuk Kakak terus tinggal di STF dan meminta pihak sekolah untuk menguruskan apa yang patut, seandainya tidak atau kurang berhasil, barulah Babah akan membawa Kakak pulang untuk melakukan apa yang sepatutnya.

Alhamdulillah. Setelah beberapa pesanan, nasihat dan motivasi yang Babah berikan kepada Kakak, juga beberapa potong ayat zikir yang Babah minta Kakak amalkan, nampaknya Kakak kembali bersemangat meneruskan perjuangan di STF. Kakak sudah boleh bertanding debat malah juara melawan Sultan Ibrahim Girl's School (SIGS). Tahniah Kakak! Kakak memang  kuat! Kakak memang hebat!

Akhirnya.. Kakak mengambil keputusan untuk terus berjuang di STF. Semoga kekuatan dan kehebatan Kakak akan lebih terserlah pada masa akan datang. Itulah doa Babah dan Ummi selalu untuk Kakak. Amin.

Babah.

What? Kakak Iman nak quit STF? (sambungan)

Seharian hati Babah tak tenteram dek mesej-mesej Kakak tentang hasratnya nak quit STF (seperti yang Babah dah ceritakan dalam entri sebelum ni).

Hari Isnin (6 Februari 2017), setelah Babah melangsaikan tugas Babah di SK Taman Suria (memberi taklimat rintis KSSR Semakan 2017 Bahasa Arab Tahun 3), Babah memandu menuju ke STF yang jaraknya hanya kurang 10 kilometer sahaja. Dalam hati Babah masih teragak-agak sama ada nak pergi berjumpa Kakak untuk bertanyakan hal sebenar kenapa Kakak nak keluar STF, atau membiarkan sahaja Kakak dengan masalahnya yang Babah sendiri tak tahu apa puncanya. Babah tak gemar sebenarnya datang ke sekolah Kakak, berjumpa Bonda Pengetua, semata-mata hendak membincangkan perkara-perkara yang tidak pasti. Mungkin alasan Kakak hanya seperti yang Kakak sebutkan sebelum ini... Kakak homesick. Tak masuk akal lah Kakak...!

Tapi dalam fikiran Babah, sebagai seorang ayah, Babah perlu tahu keadaan sebenar kenapa Kakak beriya-iya benar minta nak quit STF. Jadi, atas alasan itu, Babah teruskan pemanduan Babah ke STF. Dalam fikiran Babah, sudah membayangkan apa yang perlu Babah cakap kepada Bonda Pengetua bila bersua muka nanti.

Sesampainya Babah ke pintu pagar STF, Babah terus memperkenalkan diri Babah kepada pengawal keselamatan sekolah. Babah lengkap bertali leher dan berblazer sebagai pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia ingin berjumpa dengan Pengetua. Setelah diizinkan masuk, Babah terus sahaja menuju ke pejabat sekolah.

Di pejabat, Babah memperkenalkan diri Babah sekali lagi kepada kerani yang menyambut Babah di kaunter pejabat dengan ayat yang sama. Setelah Bonda Pengetua STF datang mempelawa Babah ke biliknya, Babah terus mengatakan padanya yang Babah datang bukan atas urusan rasmi KPM, tetapi atas urusan anak Babah yang bersekolah di situ. Bonda Pengetua terkejut dan terus bertanyakan nama dan tingkatan Kakak.

Memang Babah tidak pernah berkenalan dengan Bonda Pengetua sebelum ini. Itu antara sebab kuat juga Babah ingin ke STF. Disamping ingin menyelesaikan masalah Kakak, Babah juga ingin berkenalan dengan Bonda Pengetua. Semoga perkenalan hari itu akan mengeratkan lagi kerjasama Babah dengan pihak sekolah.

Di pejabat Bonda Pengetua, Babah menceritakan hal dan keadaan yang berlaku hingga menyebabkan Babah terpaksa hadir berjumpa Bonda Pengetua pada hari tersebut. Bonda Pengetua agak terkejut dengan isu Kakak nak keluar daripada STF. Dari perbualan Babah dan Bonda Pengetua, Bonda Pengetua mengenali Kakak kerana Kakak merupakan pendebat junior STF yang merangkul juara dalam Debat Sehebat mengalahkan pasukan dari Indonesia dan final bertemu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat pada tahun lepas. Bonda Pengetua meluahkan rasa kesalnya seandainya Kakak benar-benar ingin meninggalkan STF, kerana Kakak merupakan antara aset sekolah yang berharga. Babah sangat terharu dan bangga dengan pengakuan Bonda Pengetua.

Bonda Pengetua lantas memanggil guru kelas Kakak, guru debat dan guru kaunselor masuk ke pejabatnya. Bonda Pengetua mahu bertanyakan kepada guru-guru tersebut tentang kemungkinan masalah yang Kakak hadapi hingga sanggup untuk buat keputusan keluar daripada STF. Bonda Pengetua menjangkakan Kakak mungkin menghadapi masalah dengan rakan-rakan sekelas atau sebilik. Mungkin bercakap-cakap kasar sesama mereka atau masalah-masalah lain yang berkaitan dengan aktiviti dan penglibatan di sekolah. Namun, kesemua guru tersebut menyatakan Kakak tidak mempunyai sebarang masalah baik dari segi kelakuan, pergaulan mahupun penglibatan Kakak dalam aktiviti debat. Akhirnya, setelah tiada isu yang dapat diandaikan sedang dihadapi Kakak oleh guru-guru tersebut, Bonda Pengetua mengarahkan guru kelas memanggil Kakak masuk ke pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada Kakak.

Kakak melangkah perlahan masuk ke bilik Bonda Pengetua. Dari jauh Babah dapat melihat mata Kakak kemerah-merahan dan berkaca-kaca. Setelah bersalaman dan guru-guru dan Bonda Pengetua, Kakak mendapatkan Babah, bersalaman dan berpelukan. Terasa sayu hati Babah melihat Kakak waktu itu. Babah tak tahu apa masalah yang Kakak hadapi hingga sanggup untuk buat keputusan keluar daripada STF.

Bertalu-talu soalan daripada Bonda Pengetua dan guru-guru yang ada kepada Kakak. Babah juga begitu. Kami semua risaukan Kakak dengan masalah yang Kakak hadapi tetapi kami tidak mengetahuinya. Namun, Kakak hanya menggelengkan kepala bila setiap isu yang ditimbulkan oleh kami, bukanlah masalah yang Kakak hadapi. Kakak hanya cakap yang Kakak homesick. Allahuakbar.. Tak mungkin Kakak! Selama setahun Kakak di tingkatan satu, Kakak tidak pernah homesick!

Akhirnya, Babah mengambil keputusan untuk membawa Kakak keluar dari pejabat Bonda Pengetua. Babah nak bawa Kakak berbual di dalam kereta. Mungkin Kakak malu nak berterus terang di hadapan Bonda Pengetua dan guru-guru yang lain. Bonda Pengetua bersetuju dan membenarkan Babah membawa Kakak keluar ke kereta.

Di dalam kereta, Kakak masih menangis. Terus menangis. Kakak masih tak boleh nak berterus terang masalah yang Kakak hadapi. Lama kita duduk di dalam kereta. Babah terus-terusan cuba memberi semangat kepada Kakak. Mengingatkan kembali azam dan cita-cita Kakak sebelum ke STF. Memujuk dan merayu. Segalanya Babah lakukan untuk puteri tunggal Babah yang seorang ni.

Akhirnya Kakak buka mulut! Kakak nak ceritakan apa sebenarnya yang membuatkan Kakak nak keluar daripada STF.

Bersambung... (kasi saspen sikit)..

Babah.

What? Kakak Iman nak quit STF?

Kali ni Babah nak bercerita tentang Kakak Iman. Kali terakhir Babah bercerita tentang Kakak pada tahun 2011 yang lalu.

Dah banyak cerita tentang Kakak yang dah terlepas. Nantilah sikit-sikit Babah akan cerita satu persatu nanti.

Kakak sekarang sudah masuk tahun kedua di Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru. Ini bererti Kakak Iman sudah berada di Tingkatan 2! Cepat betul masa berlalu.

STF adalah sekolah impian Kakak sendiri. Hasil cerita-cerita Babah pada Kakak tentang mantan bos babah yang merupakan serikandi STF, begitu juga dengan kawan-kawan Babah yang Kakak pernah jumpa (ada di antara mereka juga merupakan serikandi STF), Kakak jadi teruja untuk sekolah di sekolah yang hebat itu. STF satu nama sekolah berasrama penuh yang gah sejak sekian lamanya.






Baru-baru ni, Babah hantar Kakak balik ke asrama setelah seminggu bercuti sempena Tahun Baru Cina. Ummi tidak dapat ikut sama pada kali ni kerana selepas Babah menghantar Kakak balik ke asrama, Babah akan terus berada di Johor Bahru untuk beberapa hari kerana ada tugas di sana. Kalau Ummi dan adik-adik yang lain ikut, sudah tentu mereka terpaksa ponteng sekolah pula.

Petang sabtu hari tu, Babah sampai tepat-tepat jam 6 petang di pintu pagar sekolah Kakak. Kalau terlebih daripada waktu tersebut, pengawal keselamatan sekolah tidak akan membenarkan ibu bapa atau penjaga masuk ke kawasan sekolah. Murid perlu berjalan kaki dari pintu pagar sekolah ke asrama yang jaraknya lebih kurang 200 meter. Kasihanlah Kakak kalau kena macam tu! Barang Kakak banyak.

Setelah siap memunggahkan barang-barang Kakak sehingga menghampiri pintu dorm asramanya, Babah memeluk erat Kakak sambil menciumnya. "Belajar rajin-rajin ye Kakak!" Itulah ucapan yang sentiasa Babah dan Ummi ucapkan kepada Kakak. Babah nak tolong hantar sampai dalam dorm tak boleh. Tak seperti hari pertama Kakak masuk ke STF ni. Babah yang tolong kemas dan hias almari Kakak.

Setelah meninggalkan STF petang tu, Babah terus balik ke rumah kita di Taman Kempas Utama yang kini telah Babah jadikan homestay. (Dilain waktu nanti Babah nak bercerita juga tentang rumah kita yang dah jadi homestay tu. Banyak kisah menarik disebaliknya yang boleh disimpan di sini. InshaAllah). Seperti biasa, bila Babah balik ke homestay tu, Babah tidak akan duduk diam. Macam-macam perkara yang Babah nak buat. Mengemas, membersih, menyusun atur, membaiki barang-barang yang rosak dan sebagainya. Kadang-kadang sampai ke tengah malam Babah tak berhenti bekerja di situ. Samalah keadaannya Babah kali ni.

Sedang Babah sibuk bekerja, tiba-tiba satu SMS masuk ke talifon bimbit Babah. "Hmm.. daripada Kakak!", desus hati Babah. Kali ni Kakak dah bawa talifon bimbit ke sekolah. Meskipun peraturan sekolah tidak membenarkan muridnya membawa talifon, tapi kali ni Kakak nak bawa juga. Babah dan Ummi pun bersetuju untuk membenarkan Kakak membawa talifon. Tapi bukan talifon pintar! Hanya talifon penggunaan asas yang Babah baru belikan untuk Kakak. Talifon jenama Samsung dengan harganya RM80 sahaja. Hanya untuk boleh bercakap dan menghantar SMS. Cukuplah tu! Tak perlulah setiap kali balik, Kakak mengorek tabung duit siling Babah dan Abang Adi lagi.

SMS daripada Kakak malam tu betul-betul mengejutkan Babah. "Babah, Iman nak quit STF"... Itu bunyi mesej pertama. Kemudian disusuli mesej kedua, "Iman homesick.. Iman nak quit STF.. Iman nak balik rumah".

"Oh no!!!" Hati Babah tak tenteram. Kenapa baru sekarang Kakak timbulkan soal homesick? Selama Kakak di Tingkatan 1, Kakak tak pernah sebut pun Kakak homesick. Sebelum ni, bila Babah tanya Kakak kehidupan di STF, Kakak mesti jawab seronok. Tak ada masalah yang besar-besar pun yang Kakak hadapi.

Mesej Kakak tidak berhenti di situ pada malam tersebut. Esoknya (Ahad) Kakak masih menghantar mesej gesaan yang sama kepada Babah dan Ummi. Allahuakbar... Tak kan lah dengan mudah Babah dan Ummi nak menuruti kemahuan Kakak? Mesti ada sesuatu yang menyebabkan Kakak bertindak sedemikian...

Tunggu kesudahan ceritanya selepas ini...


Babah.


Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............